#2135: Zikir Atau Membaca al-Quran?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, dalam keadaan kita santai, berseorangan dan tiada aktiviti. Yang manakah lebih afdhal, berzikir atau membaca Al Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya ucapkan tahniah kepada saudara kerana tidak membazir masa. Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ‎﴿١﴾‏ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ‎﴿٢﴾‏ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ‎﴿٣﴾

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-‘Asr (1-3)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Saidina Ali RA membacanya dengan, “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian dan sungguh ia berada di dalamnya hingga akhir masa.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/589)

Kami huraikan dengan panjang lebar berkenaan peri pentingnya masa melalui buku kamiyang bertajuk Masa Peliharalah. Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa ijma ulama, membaca al-Quran itu secara mutlaknya leih afdhal daripada zikir akan tetapi, zikir ketika wujudnya sebab lebih afdhal daripada bacaan al-Quran. 

Contohnya, melakukan zikir yang ma’thur selepas solat. Begitu juga, menjawab azan lebih afdhal daripada bacaan al-Quran. Adapun selain daripada itu, membaca al-Quran jauh lebih afdhal daripada zikir. 

al-Imam al-Nawawi menyebut dalam Sahi Muslim bahawa kalam yang paling afdhal dan disukai di sisi Allah SWT ialah subhanallahi wa bi hamdih. Dalam satu riwayat lebih afdhal ini ditanggung pada kalam atau ucapan anak Adam. Kalau tidak, maka bacaan al-Quran lebih afdhal. Begitu juga, bacaan al-Quran lebih afdhal daripada tasbih dan tahlil secara mutlak.

Inilah jawapan kami berkenaan dengan kelebihan membaca al-Quran berbanding dengan zikrullah. Walaupun begitu, setiap zikir dan juga bacaan al-Quran ada kehendak dan maksudnya yang perlu dilakukan pada masa dan keadaannya. 

Kami kemukakan di sini beberapa fadhilat atau kelebihan bagi mereka yang mempelajari dan membaca al-Quran:

  • Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. 

Riwayat Muslim (804)

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. 

Riwayat Muslim (2699) 

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. 

Riwayat al-Tirmizi (2835) 

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu(di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”. 

Riwayat Abu Daud (1464)

  • Daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. 

Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT golongkan kita di kalangan mereka yang suka membaca al-Quran dan cintakan al-Quran. Amin. 

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H