Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pencerahan berkenaan hukum mengalung tasbih di leher atau meletakkannya di pergelangan tangan oleh sebahagian umat Islam. Adakah ia diharuskan untuk memakai dengan cara sedemikian? Mohon penjelasan Dato’ Seri. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
(Surah al-A‘raf: 26)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).
Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah menutup aurat, lelaki tidak menyerupai perempuan atau sebaliknya, tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik) dan lain-lain.
Secara umumnya, dalam ruang yang terhad ini, kami hanya akan membahaskan sebahagian daripada prinsip-prinsip tersebut yang berkaitan dengan topik yang sedang dibincangkan.
Pertamanya, kami melihat pemakaian tasbih di pergelangan tangan dan digantung di leher dilihat ada persamaan dengan pemakaian gelang di pergelangan tangan dan rantai di leher. Justeru, jika pelaku atau pemakainya adalah wanita, maka tidak menjadi masalah kerana gelang dan rantai sememangnya perhiasan khusus untuk mereka. Apa yang menjadi persoalan adalah jika pelaku atau pemakainya adalah lelaki. Sebagaimana yang kita telah ketahui, Islam mengharamkan penyerupaan jantina yang berlawanan seperti lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki.
Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).
Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)
Badr al-Din al-‘Aini mengulas hadith di atas dengan menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).
Selain itu, dalam riwayat lain daripada ‘Imran bin Hussain R.A bahawa Nabi SAW pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi SAW bersabda:
مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ قَالَ: هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ. قَالَ: انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا
Maksudnya: “Gelang apakah ini? Maka dia menjawab: ‘Ini disebabkan penyakit.’ Lalu Baginda bersabda: ‘Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.’”
Riwayat Ibn Majah (3531)
Jelaslah daripada hadith-hadith di atas, bahawa lelaki dilarang keras untuk memakai perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita seperti gelang, rantai dan seumpamanya.
Tambahan lagi, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga ada menyebutkan bahawa diharuskan bagi seorang lelaki memakai cincin perak kerana mengikut Rasulullah SAW, bahkan hukumnya adalah disunatkan, namun lelaki tidak boleh memakai gelang dan tidak halal baginya, meskipun gelang tersebut diperbuat daripada perak. Hal ini kerana memakai gelang itu mempunyai unsur kewanitaan, dan ia tidak layak dan tidak sesuai dengan sifat seorang lelaki. (Lihat Asna al-Matalib, 1/379).
Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, pada asalnya adalah diharamkan bagi lelaki untuk memakai apa-apa gelang mahupun rantai termasuklah rantai atau gelang yang diperbuat daripada tasbih dengan niat ia sebagai perhiasan. Akan tetapi jika seseorang itu mengalung tasbih di leher atau meletakkannya di pergelangan tangan bukan dengan niat sebagai perhiasan tetapi kerana sebab dan tujuan lain seperti bagi memudahkan untuk berzikir, menghormatinya sebagai alat berzikir dan seumpamanya, maka kami berpendapat tidak mengapa. Ini sebagaimana kaedah yang menyebutkan:
الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan niat.”
Lebih-lebih lagi, jika ia telah menjadi ‘uruf serta kebiasaan yang diterima oleh masyarakat Islam sebagai satu perkara yang dilazimi oleh ahli zikir.
Sekalipun begitu, menjauhkan dan mengelakkan diri daripada melakukannya adalah lebih baik sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf mereka yang melihatnya termasuk dalam penyerupaan kepada wanita. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).
Bukan itu sahaja, kadang-kadang pemakaiannya dengan cara sebegitu dilihat pelik di sesetengah tempat, bahkan ada yang menganggapnya ada unsur penyerupaan dengan agama lain seperti agama Buddha. Berkenaan dengan pakaian yang dilihat pelik, Nabi SAW bersabda:
مَن لبسَ ثوبَ شُهْرةٍ ألبسَهُ اللهُ يومَ القيامةِ ثَوبَ مَذلَّةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah akan memakaikannya pada hari kiamat pakaian kehinaan.”
Riwayat Abu Daud (4029); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (9560); Ibn Majah (3606); Ahmad (5664)
Al-Syaukani ketika menjelaskan hadith di atas membawakan kenyataan Ibn al-Athir yang menyatakan, syuhrah ialah terzahirnya sesuatu. Dalam erti kata lain, pakaian seseorang itu jelas kelihatan di antara orang ramai disebabkan oleh warna yang dipakainya sangat ketara berbeza dengan warna pakaian yang dipakai oleh mereka. Lalu mata orang ramai tertumpu ke arahnya (kerana kagum atau rasa ganjil terhadapnya), dan dia pun berasa hebat dan sombong terhadap mereka. (Lihat Nail al-Autar, 2/131).
Justeru, pakaian yang dilihat sebagai syuhrah di suatu tempat, mungkin tidak menjadi syuhrah di tempat yang lain. Apa-apa pun kesemuanya kembali kepada niat pemakainya. Pakaian yang dilihat selekeh atau biasa sahaja pun, jika tujuannya adalah untuk menarik perhatian atau tumpuan orang ramai kepadanya bagi menimbulkan kekaguman sehingga dia dianggap sebagai zuhud, wali, ahli zikir dan seumpamanya juga termasuk dalam pakaian syuhrah yang dilarang.
Manakala berkenaan larangan menyerupai agama lain, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah dari kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San’ani menyebut bahawa hadith ini menunjukan sesiapa yang menyerupai orang fasik, atau orang kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha’ berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diadabkan (diambil tindakan oleh pemerintah). (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647).
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Lihat Raudhah al-Talibin,10/69).
Sebagai penutupnya, kami juga mengingatkan bahawa sebagai seorang Muslim kita diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz). (Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H