#2214: Adakah Dajjal Masuk Neraka?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Umum kita tahu bahawasanya Dajjal akan muncul bila hampir datangnya Hari Kiamat. Persoalan saya, adakah Dajjal ini akan menyesatkan manusia atas perintah Allah (sebagai ujian kepada umat Islam)? Dan adakah Dajjal juga akan dimasukkan ke dalam neraka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab (hlm. 236-237) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu,  dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كفر (kufur) atau كافر (kafir).

Antara ciri-ciri Dajjal adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:

الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…

Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir…

Riwayat Muslim (7550)

Ibn al-Athir berkata: “Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Dan al-Masih: ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mamsuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening.” (Lihat Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203)

Daripada Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى ، جُفَالُ الشَّعَرِ ، مَعَهُ جَنَّةٌ وَنَارٌ ، فَنَارُهُ جَنَّةٌ وَجَنَّتُهُ نَارٌ

Maksudnya“Dajjal itu cacat matanya yang kiri, kerinting rambutnya, bersamanya syurga dan neraka. Nerakanya ialah syurga dan syurganya ialah neraka.”

Riwayat Muslim (7474) dan Ibn Majah (4071)

Dajjal menyesatkan manusia atas perintah Allah?

Pertamanya, Allah SWT tidak menyuruh hamba-hambanya untuk melakukan kejahatan sebagaimana firman-Nya:

قُلْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ ۖ

Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”.

(Surah al-A’raf: 28)

Ibn Kathir berkata: “إِنَّ اللَّهَ لَا يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ” , ini bermakna perbuatan yang sedang kamu lakukan adalah perbuatan keji dan tercela. Allah tidak memerintahkan perbuatan seperti itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/402)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Tidak layak bagi kesempurnaan dan kebijaksanaan-Nya untuk memerintahkan hamba-hambanya untuk terlibat dalam perbuatan-perbuatan keji. Ini bukanlah apa yang dilakukan oleh orang musyrik dan selainnya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 286)

Selain itu, setiap apa yang berlaku ini adalah dibawah taqdir Allah SWT, dan bukannya sebagai perintah. Allah izinkan sesuatu itu berlaku bukannya bermakna dia redha dengan perkara tersebut, tetapi sebagai ujian kepada makhluknya. 

Firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)

(Surah al-Qamar: 49)

Dalam syarahan tafsir al-Sa’di menyatakan, ayat ini merangkumi ke semua makhluk termasuk yang berada di atas muka bumi atau di dalamnya. Sesungguhnya Allah SWT maha pencipta dan tiada yang selain daripadanya. Begitu juga setiap perkara yang berlaku dibawah pengetahuan dan pantauannya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/827)

Apabila Allah SWT mengizinkan kejahatan, keburukan dan kezaliman berlaku, bukanlah bermakna Dia tidak berperanan, kerana izin tidak bermaksud redha dan tidak semestinya izin itu beriringan dengan redha. Al-Kafawi mendefinisikan izin sebagai membolehkan sesuatu berlaku, manakala redha bermaksud kasih kepada sesuatu. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 72 & 76)

Allah SWT mengizinkan untuk dajjal untuk menguji dan menyesatkan manusia. Oleh sebab itu kita dituntut untuk berlindung daripada fitnah Dajjal. Rasulullah SAW mengajar kita membaca doa berlindung daripada fitnah Dajjal selepas tahiyyat akhir:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut:  “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-’Arab, 13/317)

Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:

إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”.

Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.

Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.

Adakah Dajjal Masuk Neraka?

Hadith-hadith yang menyebut tentang Dajjal dan apa yang akan ditimbulkannya dan bagaimana dia akan binasa, mengesahkan bahawa dia akan masuk ke neraka. Hal ini kerana dajjal adalah kafir yang mendakwa kenabian, kemudian dia mendakwa bahawa dia adalah Tuhan Yang Maha Kuasa dan dia digelar dajjal kerana dia menutupi kekufurannya untuk manusia dengan banyaknya pembohongan, penipu dan godaan.

Dan telah dibuktikan dalam hadis-hadis yang sahih bahawa kemusnahan dan kematian Dajjal akan berada di tangan Nabi Isa A.S, dan ini sudah cukup menunjukkan bahawa kesudahan Dajjal adalah buruk di Akhirat.

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, sekiranya Dajjal itu seorang manusia yang mukallaf, maka Dajjal berhak untuk dimasukkan ke neraka atas sebab dia mengaku tuhan, membuat pembohongan, membunuh manusia, menyesatkan manusia dan seumpamanya.

Imam al-Nawawi berkata, kisah Dajjal ini menjadi hujah bagi mazhab ahli haq tentang wujudnya. Ia adalah manusia yang Allah uji hamba-hamba-Nya dan diberi kemampuan dengan izin-Nya untuk menghidupkan orang yang mati, yang dibunuhnya, menzahirkan kenikmatan dunia, tanah dan tanaman subur, hujan turun dan lain-lain. Walaupun begitu, Allah lemahkannya untuk mematikan seseorang yang disihirnya. Nabi Isa AS akan membunuhnya. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 18/58)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H