#2228: Perbezaan Pluralisme Agama Dan Toleransi Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mungkin boleh bezakan kepada kami berkenaan dengan pluralisme agama dan toleransi agama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perbezaaan Pluralisme Agama dan Toleransi Agama

Ramai orang terkeliru bahkan mungkin beramal denagn menyangkakan bahawa ia adalah toleransi agama atau beragama. Sebenarnya ini dua hal yang berlainan. Toleransi agama adalah dibolehkan bahkan dalam kehidupan kita terdapatnya satu sistem kehidupan ketika kita berinteraksi dengan non-Muslim yang dikenali sebagai fiqh al-ta’ayush. Justeru, amat penting dibezakan antara kedua-duanya. 

Dr Aizam Mas’od berkata:

Pluralisme agama juga bukan bermakna toleransi agama. Islam sememangnya adalah agama yang toleran dan mengajarkan toleransi kepada umatnya sejak dari awal. Malah, Islam sama sekali tiada masalah dengan toleransi agama. Apa yang menjadi masalah dengan Islam adalah apabila ajaran toleransi Islam cuba dikaitkan dengan pluralisme agama, lalu disimpulkan bahawa Islam adalah agama yang mengajarkan persamaan semua agama.

Anggapan bahawa pluralisme agama adalah sama dengan toleransi agama adalah anggapan yang subjektif, sangat semberono dan kurang cermat berpunca daripada kegagalan seseorang untuk memahami hakikat doktrin pluralisme agama. Malah, tanggapan ini ditolak mentah-mentah oleh golongan pakar dan pendukung pluralisme agama sendiri. Sebagai contoh, Diana L. Eck, pengarah The Pluralism Project di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dalam penjelasan rasmi beliau yang berjudul “What is pluralism?” dan diulangi dalam “From Diversity to Pluralism”. membentangkan empat karateristik utama untuk mengidentifikasi ajaran pluralisme agama secara terperinci. Dalam karakter yang kedua, beliau mengatakan “pluralism is not just tolerance, but the active seeking of understanding across lines of difference. Tolerance is a necessary public virtue, but it does not require Christians and Muslims, Hindus, Jews and ardent secularists to know anything about one another. Tolerance is too thin a foundation for a world of religious difference and proximity. It does nothing to remove our ignorance of another, and leaves in place the stereotype, the half-truth, the fears that underlie old patterns of division and violence. In the world in which we live today, our ignorance of one another will be increasingly costly.”

Dalam perkara ini, Eck secara terus terang mengatakan bahawa “pluralism is not just tolerance” yang bermakna “pluralisme bukanlah sekadar toleransi semata-mata”. Tetapi pluralisme adalah satu pencarian persefahaman yang aktif melangkaui perbezaan antara agama. (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 233-234)

Sempadan yang perlu ada dalam bertoleransi agama adalah tidak boleh merasa cenderung hati dan kasih sayang kepada mereka. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ

Maksudnya: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.

Surah al-Mujadalah (22)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: ‘لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ’, maksudnya, tidaklah menyatu antara orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya. Tidaklah seorang hamba beriman kepada Allah dan hari Akhirat dengan sebenarnya, melainkan pasti melaksanakan tuntutan dan kewajipan iman, iaitu mencintai dan setia terhadap orang yang beriman, serta membenci orang yang tidak beriman dan yang memusuhinya meskipun terhadap orang yang dekat dengannnya sekalipun. Inilah iman yang sebenarnya yang bermanfaat dan yang dimaksudkan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 848)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتَّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H