Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adik kepada ayah saya telah meninggal dunia dan ayah telah berkahwin dengan isterinya .Saya tertanya-tanya apakah hubungan saya dengan anak perempuan bapa saudara saya yang kini telah menjadi anak tiri ayah dan apakah batasan pergaulan aurat atau bersalaman antara saya(lelaki) dengan anak perempuan bapa saudara saya ?Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-Nisa’: 23)
Al-Sa’di berkata : Ayat-ayat ini mengandungi larangan-larangan berhubungan dengan hubungan nasab, hubungan susuan, hubungan semenda, hubungan perkahwinan, dan larangan berhubungan dengan wanita-wanita tertentu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.173)
Oleh yang demikian, berdasarkan ayat di atas perempuan yang dikategorikan sebagai mahram kerana nasab ada tujuh golongan, mereka yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah:
- Ibu kandung termasuk nenek dan seterusnya ke atas
- Anak perempuan kandung termasuk cucu dan seterusnya ke bawah
- Adik beradik perempuan seibu sebapa
- Adik beradik perempuan sebapa
- Adik beradik perempuan seibu
- Ibu saudara sebelah bapa (adik beradik bapa) dan seterusnya ke atas,
- Ibu saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas,
- Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan.
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan hubungan tersebut merupakan hubungan adik beradik tiri yang sebelumnya merupakan sepupu. Ini kerana ayah kepada saudara telah mengahwiwni bekas isteri kepada adiknya yang merupakan bapa saudara kepada saudara. Namun, hubungan tersebut tidaklah menjadi mahram kepada saudara kerana ia tidak termasuk dalam faktor-faktor yang diharamkan untuk berkahwin iaitu 3 perkara:
- Nasab
- Perkahwinan
- Penyusuan.
Oleh yang demikian, anak perempuan kepada isteri ayah saudara merupakan ajnabi yang halal untuk dikahwini dan wajib menjaga batas aurat antara satu sama lain. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin:
لَا تَحْرُمُ بِنْتُ زَوْجِ الْأُمِّ، وَلَا أُمُّهُ، وَلَا بِنْتُ زَوْجِ الْبِنْتِ، وَلَا أُمُّهُ، وَلَا أُمُّ زَوْجَةِ الْأَبِ
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram akan anak kepada suami ibu (adik beradik tiri), tidak juga ibunya (ibu bapa tiri), tidak juga anak perempuan kepada suami anak perempuan kita (yakni cucu tiri), dan tiada juga ibunya (yakni ibu kepada cucu tiri yang merupakan isteri kepada anak lelaki kita), dan tidak juga ibu isteri kepada bapa (yakni ibu kepada ibu tiri). (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/112)
Justeru kami katakan, Tidak halal bagi saudara untuk bersalaman dengan adik beradik tiri yang bukan seibu dan sebapa kerana ia merupakan ajnabi yang halal untuk dikahwini. Selain itu, batas aurat hendaklah dijaga seperti seorang ajnabi iaitu bagi perempuan seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan dan bagi lelaki antara pusat dan lutut.
Ibn Abbas menyatakan :
مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ
Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (wanita itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan:74)
Wallahua`lam.
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H