#2468: Sertu Peralatan Merawat Gigi Selepas Digunakan Pada Pesakit Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang doktor gigi di salah sebuah hospital kerajaan di Malaysia. Semua peralatan untuk merawat atau scaling (mencuci) gigi pesakit adalah sama kecuali bahagian-bahagian disposable (atau pakai buang) yang hanya digunakan sekali sahaja kemudian di buang. Bahagian lain perlu dicuci dan melalui proses pensterilan sebelum digunakan untuk pesakit seterusnya. 

Soalan saya, adakah peralatan yang digunakan kepada orang bukan Islam perlu disertu ketika ingin merawat gigi pesakit Muslim, kerana dikhuatiri mereka makan khinzir dan sebagainya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan. Oleh yang demikian, tidak pelik jika kita mendapati kitab-kitab yang dikarang mengenai hukum fiqh kebanyakannya dimulai dengan perbahasan taharah (الطَهَارَةُ), yakni bersuci. 

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji telah meringkaskankan beberapa sebab mengapa syara‘ menuntut umat Islam untuk sentiasa menjaga kebersihan, antaranya:

  • Kebersihan merupakan salah satu tuntutan fitrah. Hal ini kerana manusia secara semula jadi akan lebih cenderung kepada sesuatu yang bersih dan menjauhkan diri dari sesuatu yang kotor.
  • Memelihara kemuliaan seorang muslim dan kehormatannya, maka orang akan lebih selesa untuk bertemu dan duduk bersamanya.
  • Menjaga kesihatan diri. Hal ini kerana kebanyakan penyakin merebak dan tersebar melalui suasana yang tidak bersih dan kotor.
  • Agar umat Islam berdiri menghadap Allah SWT dalam keadaan bersih dan suci dari najis. Ini kerana seseorang muslim apabila dia menunaikan solat, dia sedang bercakap dengan Allah dan mengadu kepadanya. Dan Allah SWT pula menyukai hamba-hambanya yang pembersih. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/29)

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ 

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Melihat kepada persoalan yang diajukan, kami sebutkan terlebih dahulu hadith yang menjadi dalil utama bagi masalah ini. Diriwayatkan daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, dia bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan makan menggunakan bekas-bekas makanan Ahli Kitab. Lalu Rasulullah SAW menjawab:

أَمَّا مَا ذَكَرْتَ أَنَّكَ بِأَرْضِ قَوْمٍ أَهْلِ الْكِتَابِ، تَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَ آنِيَتِهِمْ، فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا ثُمَّ كُلُوا فِيهَا

Maksudnya: “Adapun apa yang kamu ceritakan bahawa kamu tinggal di kawasan Ahli Kitab dan makan menggunakan bekas-bekas makanan mereka, jika kamu menjumpai selain daripada bekas-bekas tersebut maka janganlah makan menggunakan bekas-bekas mereka. Jika kamu tidak menjumpai bekas lain, maka basuhlah bekas-bekas makanaan mereka dan makanlah menggunakannya.”

Riwayat al-Bukhari (5488) dan Muslim (1930)

Di dalam riwayat lain daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, dia bertanya kepada Rasulullah SAW:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمُ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمُ الْخَمْرَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا”

Maksudnya: “Kami berjiran dengan Ahli Kitab, mereka ini kebiasaannya memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selainnya maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.”

Riwayat Abu Dawud (3839)

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan, tiada larangan menggunakan bekas makanan orang bukan Islam jika mereka tidak menggunakannya untuk makan perkara yang dihukumkan sebagai najis. Namun, jika mereka terdapat kebarangkalian mereka menggunakannya untuk perkara itu, dituntut untuk membasuh bekas tersebut terlebih dahulu sebelum menggunakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/80)

Difahami melalui 2 riwayat di atas, bahawa hukum bekas makanan dan minuman yang digunakan oleh orang bukan Islam adalah dibolehkan. Untuk menggunakannya, cukup kita membasuh perkakas tersebut dengan air sebagaimana yang disebutkan dalam hadith.

Berdasarkan riwayat yang dibawakan, ulama’ mengeluarkan beberapa kaedah fiqhiyyah yang menjelaskan bahawa asal sesuatu barang itu adalah suci. al-San‘ani menyebutkan satu kaedah yang berbunyi:

الْأَصْلُ فِي الْأَعْيَانِ الطَّهَارَةُ

Maksudnya: “Hukum asal sesuatu itu adalah suci.” (Lihat Subul al-Salam, 1/158)

Begitu juga kaedah yang lain  apabila seseorang itu syak dan tidak dapat memastikan dengan yakin bahawa sesuatu itu bernajis atau tidak, maka ia mengambil hukum asal sesuatu itu tidak bernajis sehinggalah wujud bukti kenajisan itu. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah:

الْأَصْل بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: “Hukum asal sesuatu barang itu kekal sepertimana keadaan sebelumnya.”

Ibnu Nujaim al-Hanafi dalam mensyarahkan kaedah ini menyatakan bahawa sekiranya ragu-ragu sama ada sesuatu itu bernajis atau tidak maka asalnya adalah suci dan tidak bernajis. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 49)

Profesor Ya‘kub bin Abdul Wahhab al-Bahusain mengatakan, maksud البَقَاءُ itu adalah kekalnya sesuatu itu pada keadaannya yang pertama. Bahkan kaedah ini juga disebutkan dengan maksud Istishab (الاسْتِصْحَابُ). (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 287-288)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili mengatakan bahawa, asal hukum perkakas itu ialah suci dan arahan membasuh yang terkandung dalam hadith di atas ialah sunat, kerana orang bukan Islam tidak menghindarkan diri mereka daripada bahan-bahan bernajis. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/50-51)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, boleh menggunakan bekas-bekas tersebut berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani. Dan perintah untuk membasuhnya adalah sunat kerana adanya kebarangkalian bahawa ianya bernajis disebabkan orang bukan Islam mengambil arak dan makan khinzir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37)

Berdasarkan beberapa hujjah ini, kami cuba mempermudahkan lagi perbahasan ini seperti yang berikut:

  • Hukum asal bagi peralatan merawat dan membersihkan gigi: Suci dan boleh digunakan.
  • Hukum peralatan tersebut selepas ia digunakan kepada orang bukan Islam: Boleh digunakan selepas ianya dibasuh, dan diyakini tidak dijumpai padanya sesuatu yang diharamkan.Hal ini kerana kita tidak mengetahui secara pasti dan yakin sama ada orang bukan Islam itu mengambil makanan yang dihukumkan sebagai najis oleh syara‘ atau tidak.

Maka proses mencuci dan pensterilan yang dilakukan oleh pihak hospital telah mencukupi. Bahkan, steril itu sendiri menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat membawa maksud terpelihara (bebas atau bersih) daripada kuman atau hama. Dengan melalui proses tersebut, pastinya alatan itu lebih bersih dari sekadar membasuhnya dengan air seperti biasa.

Namun, jika dijumpai dan diyakini terdapat sisa atau kesan makanan yang dihukumkan sebagai najis seperti khinzir, maka hendaklah dibasuh tujuh kali dengan air mutlak serta salah satunya daripada basuhan air bercampur tanah. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Penyucian bekas salah seorang daripada kalian apabila dijilat anjing dengan membasuh tujuh kali, yang pertamanya dengan tanah (dalam riwayat lain: salah satunya dengan tanah).”

Riwayat Muslim (279)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa peralatan merawat dan membersihkan gigi yang digunakan oleh doktor tersebut tidak perlu disertu, jika doktor tersebut tidak menjumpai sebarang kesan makanan yang dihukumkan sebagai najis oleh Islam.

Akan tetapi, jika dijumpai apa-apa kesan seperti bau, warna atau zat makanan itu sendiri, maka peralatan yang digunakan tersebut wajib disertu dengan menggunakan 1 kali basuhan dengan air tanah dan 6 kali basuhan dengan air.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H