#2848: Kitab Arab dan Istilah-istilahnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan seorang penuntut ilmu agama mubtadi’ (pemula). Saya ingin bertanya, mengapa kitab-kitab Arab mempunyai banyak istilah? Contohnya: Hasyiah, Mukhtasar, Matan, Syarh, Tahqiq dan sebagainya. Mohon penjelasan dari pihak tuan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami mengucapkan syabas kepada saudara yang bertanya kerana menanam minat untuk menjadi seorang penuntut ilmu agama. Istilah mubtadi’ kebiasaannya digunakan bagi merujuk kepada tahap penguasaan seseorang tersebut yang masih di peringkat permulaan dalam apa jua bidang yang didalaminya. Meletakkan tahapan-tahapan ini tidaklah menjadikan ianya suatu aib kepada orang tersebut, bahkan ini merupakan jalan yang sebenarnya dan seharusnya ditempuhi oleh setiap penuntut ilmu, dimulai dengan tahap mubtadi’ (pemula), kemudian mutawassit (pertengahan), dan seterusnya muntahi (pengakhiran atau tertinggi). Tahapan ini disebutkan sebagai tadarruj (التَدَرُّجُ), yakni berperingkat-peringkat dalam mempelajari ilmu pengetahuan agama.

Hakikatnya, tadarruj ini merupakan asal bagaimana syariat Islam itu diajarkan dan diterapkan dalam diri ummat Islam pada peringkat awal. Kita dapat melihat sendiri bagaimana Allah SWT meletakkan hukum-hakam secara berperingkat. Sebagai contoh, pengharaman arak secara berperingkat. Imam al-Qurtubi menyebutkan bahawa, arak itu tidak diharamkan melainkan pada tahun ke-3 hijrah, selepas berlakunya perang Uhud. Begitu juga sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam fatwa beliau. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/285; Majmu‘ Fatawa, 14/117)

Kami juga berpendapat para ulama atau muallif (pengarang kitab) selalu menyebut tujuan dan karya yang dikarang. Kebanyakan dalam bahasa klasik disebut pada mukadimah sekira-kira begini, telah datang kepada kami atau kepadaku murid-muridku yang memohon untuk menulis sebuah kitab yang ringkas dalam fiqh bermazhab Syafi’i secara mukhatasar. Maka, aku beristikharah kepada Allah atau bertanya kepada guruku, lantas, ianya memberi sokongan dan dokongan kepadaku untuk menulis.

Keduanya, boleh jadi penulisan berdasarkan kepada sesuatu isu yang sedang berlaku dalam masyarakat dan negara ketika itu. Lantas, para alim ulama mengemukakan pandangan masing-masing melalui kitab dan buku yang dikaryakannya.

Ketiganya, boleh jadi beliau merupakan seorang yang amat alim dan bagi memudahkan murid-muridnya maka diringkaskannya atau dibuat hasyiah atau pun disyarahkannya.

Keempatnya, kerana tuntutan dari pihak tertinggi negara seperti khalifah atau pemimpin utama. Sebagai mana Imam al-Syafi’i mengarang kitab al-Risalah kerana diminta oleh Abdul Rahman ibn al-Mahdi. Begitulah, cara para ulama mengarang kitab.

Kami perincikan di sini seperti berikut:

Kitab Arab: Bentuk Penulisannya, Kategori Penulisan, dan Cara Memelihara Teks Asal

Bentuk Penulisan

Teks asal bagi sesebuah kitab Arab dalam bidang Pengajian Islam turut dikenali sebagai matan (المَتْنُ). Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, matan merujuk kepada naskhah asli atau sesebuah teks.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang agama secara umumnya, atau mereka yang memanfaatkan masa mereka dengan pembacaan kitab-kitab dalam bidang Pengajian Islam, pasti tidak asing lagi bagi mereka bahawa setiap kitab daripada pengkhususan yang berbeza mempunyai beberapa bentuk penulisan yang tersendiri. Kebiasaannya, matan dapat dilihat dalam 2 bentuk:

  • Nazm (النَظْمُ): Iaitu penulisan dalam bentuk syair.

منظومة البيقونية

Rajah 1: Sebuah matan berbentuk nazm dalam ilmu Hadith, karya Imam al-Baiquni

  • Nathr (النَثْرُ): Iaitu penulisan dalam bentuk prosa.

الغاية والتقريب متن أبي شجاع

Rajah 2: Sebuah matan berbentuk nathr dalam ilmu Fiqh, karya al-Qadhi Abu Syuja‘

Kategori Penulisan

Kebiasaannya, seseorang penuntut ilmu tidak mampu untuk berpada kepada matan semata-mata. Dia mungkin memerlukan kepada pembacaan tambahan untuk membantunya memahami maksud penulis dalam karya-karya mereka. Para ulama’ terdahulu kebiasaannya diminta oleh masyarakat untuk membuat dirasah atau kajian lanjut bagi matan yang terlalu panjang dan terperinci, atau olahan bagi sesebuah matan, atau merungkai secara mendalam beberapa istilah yang kurang difahami.

Secara ringkasnya, ia dibahagikan kepada beberapa kategori, dan antara kategori yang paling sering dijumpai adalah:

  • Mukhtasar (المُخْتَصَرُ): Ia merupakan ringkasan yang dibuat oleh seseorang ahli ilmu ke atas mana-mana matan ilmu yang agak panjang dan terperinci perbahasannya.

لب الأصول

Rajah 3: Sebuah mukhtasar karya Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari ke atas matan Jam‘ al-Jawami‘ karya Imam al-Subki dalam ilmu Usul Fiqh

  • Syarh (الشَرْحُ): Ia merupakan olahan maksud yang ingin disampaikan dalam sesebuah matan Matan ilmu kebiasaannya menggunakan perkataan yang ringkas tetapi padat dengan maksud. Maka terdapat keperluan untuk mensyarahkan setiap perkataan tersebut agar penuntut ilmu tidak memahaminya dengan kefahaman yang salah.

تحفة المحتاج بشرح المنهاج 4/1 -The #1 Best Online Bookstore - Genuine Stock - COD

Rajah 4: Sebuah syarh karya Imam Ibn Hajar al-Haitami ke atas matan Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi

  • Hasyiah (الحَاشِيَةُ): Ia merupakan perincian olahan ulama’ lain bagi merungkai beberapa istilah yang kurang difahami dalam sesebuah syarh. Terkadang, syarh yang ditulis oleh seseorang ulama’ mungkin menggunakan istilah yang agak tinggi dan sukar difahami oleh pembaca, maka hasyiah bertujuan untuk mengangkat kemusykilan ini dan bertindak memperincikan maksud istilah tersebut, atau juga mungkin meletakkan beberapa tambahan yang dilihat penting untuk dibincangkan dalam sesuatu perbahasan.

حاشية البجيرمي على شرح منهج الطلاب 1/4 بقلم سليمان بن محمد بن عمر البجيرمي : Amazon.com: كتب

Rajah 5: Sebuah hasyiah karya Imam al-Bujairimi ke atas Syarh Minhaj al-Tullab karya Imam al-Khatib al-Syirbini

Cara Memelihara Teks Asal

Manakala istilah Tahqiq (التَحْقِيقُ) yang disebutkan oleh saudara yang bertanya, ia merupakan suatu projek ‘semakan semula’ yang telah sekian lama diperkenalkan oleh ilmuan silam, bertujuan memelihara keaslian teks yang merupakan amanah bagi setiap muhaqqiq (penyemak). Dia juga perlu memastikan keaslian teks tersebut seperti catatan asal, meskipun sebahagian pandangan penulis asal bercanggah dengan kecenderungan peribadi muhaqqiq tersebut. Tujuan lain bagi tahqiq ini adalah untuk memastikan permata-permata ilmu ini dapat dipelajari oleh generasi-generasi akan datang.

Teks asal kebiasaannya dalam bentuk manuskrip tulisan tangan, maka sudah menjadi adat wujudnya sesetengah individu yang mempunyai tulisan tangan yang cantik dan mudah dibaca, dan sesetengah lainnya mempunyai tulisan tangan yang agak sukar untuk difahami terutamanya jika pembaca bukanlah penutur jati bahasa Arab. Oleh yang demikian, menyemak mana-mana manuskrip memerlukan tahap ketelitian serta kefahaman yang tinggi, bukan sekadar menyalinnya sahaja.

Kerana itulah, kita boleh dapati beberapa cetakan yang teruk kualitinya hanya kerana semata-mata bergantung pada salinan manuskrip yang tidak disertakan dengan kefahaman dan ketelitian, diikuti pula dengan kesilapan dan sebagainya.

Semoga dengan perbincangan ringkas ini dapat memberikan sedikit pencerahan kepada saudara yang bertanya, sekaligus memupuk semangat menuntut ilmu dalam diri.

Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445