#3339: Membaca al-Quran Dengan Nada Berbisik

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Zul. Boleh ke kita baca al-quran secara berbisik kerana takut mengganggu orang lain? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami’ al-Bayan, 17/68) 

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

 Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa al-Quran boleh memberi syafaat kepada pembacanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A bahawa Baginda bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.

Riwayat Muslim (804)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  Jika pembaca menggerakkan bibirnya dan lidahnya serta bacaan itu didengarinya  sendiri, itu sudah mencukupi, dan pada saat itu dia dikira telah membaca dan diberikan ganjaran atas bacaan tersebut. Namun sekiranya, jika al-Quran dibaca dalam hatinya dan matanya tanpa menggerakkan bibirnya, lidahnya, atau tanpa didengari dirinya sendiri, maka dia dikira sebagai seorang yang bertadabbur, bukan membaca. 

Ibnu Hajib juga menyatakan: Tidak dibolehkan menyembunyikan bacaan tanpa mengerakkan lisan kerana tidak menggerakkan lisan itu tidak dikira membaca akan tetapi ia lebih kepada bertafakur. (Lihat Mawahib Jalil, 1/317)

Oleh itu, kami berpendapat bahawa membaca al-Quran secara perlahan dengan suara berbisik, khususnya apabila orang lain sedang mendirikan solat, adalah satu tindakan yang dibolehkan, malah sepatutnya dilakukan. Ini bertujuan untuk menghormati ibadah orang lain dan tidak mengganggu mereka dalam pelaksanaan solat mereka. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT: 

وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.

(Surah al-Isra’: 110)

Al-Sa’di menyatakan “Dan janganlah kamu membaca pada solatmu  dengan suara yang terlalu nyaring dan terlalu perlahan kerana kedua-duanya adalah perkara yang ditegah. Adapun membacanya dengan suara yang nyaring, maka orang-orang musyrik  jika mereka mendengarnya akan mencaci bacaan tersebut dan mencaci orang yang membacanya. Manakala, jika membacanya terlalu perlahan juga tidak dibolehkan kerana tidak mencapai maksud iaitu bagi orang ingin mendengar bacaan tersebut. Oleh itu bacalah secara sederhana  di antara keduanya.”(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.468)

Dari Abu Sa’id al-Khudri katanya: Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda:

أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Ketahui sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat”.

Riwayat Abu Daud (1332)

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa sekiranya menangkat suara dalam membaca al quran samada dalam solat mahupun luar solat sehingga mengganggu orang lain maka ia tidak diperbolehkan. Ini kerana seseorang apabila mengangkat suara dalam bacaan al-Quran akan mengganggu orang lain yang juga sedang membaca al-quran sehingga dia tidak boleh meneruskan bacaan tersebut akibat terganggu dengan bacaan yang nyaring. (Lihat Syarh Sunan Abu Daud,162/18)

Sebagai kesimpulannya kami katakan bahawa membaca al-Quran dengan nada yang perlahan adalah tindakan yang dibolehkan, terutama untuk menghormati orang sekeliling ketika mereka sedang mendirikan solat ataupun sedang membaca al-Quran. Bacaan yang dilakukan dengan nada yang perlahan juga mendapat ganjaran kebaikan dari Allah SWT, sesuai dengan hadith yang menyatakan bahawa sesiapa yang membaca setiap huruf dari al-Quran akan mendapat ganjaran kebaikan.

Di kesempatan ini juga kami ingin menasihati supaya sentiasa melazimi al-Quran dalam kehidupan seharian dan menjadikan bacaan al-quran sebagai aktivi harian yang perlu dilakukan kerana ia akan membantu kita di akhirat kelak sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith di atas.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa: 

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَاقِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللهم إنا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانًا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445