#3341: Maksud Kaffarah dan Kifarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah maksud kaffarah dan kifarah? Sebenarnya apakah perbezaan antara kedua-duanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, perkataan al-Kaffarah (الْكَفَّارَةُ) diambil daripada perkataan al-Kafru (الكَفْر). Dari segi bahasa, ia bermaksud menutup. Ini kerana ia menutup dosa sebagai keringanan daripada Allah SWT. Selain itu, al-Kafru juga boleh merujuk kepada makna “qaryah” (kampung). Terdapat dalam hadith:

يُخْرِجُكُمُ الرُّومُ مِنْهَا كَفْرًا كَفْرًا

Maksudnya: “Orang Rom mengeluarkan (mengusir) kamu dari perkampungan — iaitu perkampungan Syam.”

Selain itu, dikatakan juga “كَفْرُ تُوثَا” dan seumpamanya iaitu merujuk kepada kampung yang dinisbahkan kepada beberapa lelaki. Begitu juga perkataan Mu‘awiyah: “أَهْلُ الْكُفُورِ” iaitu mereka ialah penghuni kubur. Beliau menyebutkan, hal ini kerana mereka tidak menyaksikan tempat mahupun masyarakat atau seumpamanya.

Begitu juga perkataan al-Kafir (الْكَافِرُ) boleh bermaksud malam yang gelap kerana ia menutupi segala-galanya dengan kegelapan. Setiap perkara yang menutup sesuatu disebut sebagai kafarahu (كَفَرَهُ) — iaitu menutupinya. Selain itu, Ibn al-Sikkit menyebutkan bahawa ia disebut sebagai al-Kafir (الْكَافِرُ) kerana ia menutupi nikmat-nikmat Allah. Selain daripada itu, al-Kafir (الْكَافِرُ) juga boleh diertikan sebagai petani kerana dia menutup (menanam) benih dengan tanah. Jadi, perkataan al-Kuffar (الْكُفَّارُ) boleh bermaksud petani-petani.

Manakala lafaz “أَكْفَرَهُ” bermaksud memanggil seseorang sebagai “kafir”. Dikatakan: “لَا تُكْفِرْ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ قِبْلَتِكَ” (Janganlah kamu mengkafirkan seseorang pun daripada kalangan ahli kiblat). Dalam erti kata lain, janganlah kamu menisbahkan mereka kepada kafir. Kemudian, perkataan kifarah pula kami tidak menemui maknanya dalam bahasa Arab. Perkataan yang paling hampir dengannya ialah Kifar (كِفَارٌ) iaitu kata jamak (plural) kepada perkataan kafir (الْكَافِرِ) sebagaimana perkataan Ja’i‘ (جَائِع) dan Jiya‘ (جِيَاع), perkataan Na’im (نَائِم) dan Niyam (نِيَام). (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 271; al-Fiqh al-Manhaji, 3/113).

Sementara dari segi istilah pula kaffarah (الْكَفَّارَةُ) bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/113). Begitu juga Sa‘di Abu Jaib mendefinisikan kaffarah sebagai perkara-perkara yang diampunkan seseorang yang berdosa itu dengannya seperti sedekah, puasa dan seumpamanya. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 321).

Dalam bahasa Melayu, perkataan kaffarah ini dipanggil sebagai kafarah atau kifarat. Hal ini kerana menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kafarah diertikan sebagai penutup kesalahan (dosa), dan dipanggil juga sebagai kifarat.[1] Begitu juga kifarat diertikan sebagai denda kerana melanggar hukum atau peraturan agama yang tertentu (berupa perbuat­an kebajikan atau lain-lain sebagai memohon ampun akan dosa); ~ zihar denda yang dikenakan ke atas suami kerana menyamakan sebaha­gian anggota isteri dengan mahramnya.[2]

Jenis-jenis kaffarah ini banyak. Di antaranya seperti kaffarah kerana melanggar sumpah, kaffarah dengan sebab berjimak dengan isteri pada siang Ramadhan, kaffarah sebab melanggar nazar, kaffarah zihar (menyamakan anggota isteri dengan mahramnya) dan lain-lain.

Di sana terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan kaffarah ini. Di antaranya firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Ma’idah: 89)

Ayat di atas adalah tentang kaffarah bersumpah (كَفَّارَةُ اليَمِين).

Begitu juga firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِن نِّسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِّن قَبْلِ أَن يَتَمَاسَّا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.

(Surah al-Mujadilah: 3)

Ayat di atas menjelaskan mengenai kaffarah zihar.

Begitu juga dalil daripada sunnah. Di antaranya, riwayat daripada ‘Uqbah bin Amir, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

كَفَّارَةُ النَّذْرِ كَفَّارَةُ الْيَمِينِ

Maksudnya: “Kaffarah nazar sama dengan kaffarah bersumpah.”

Riwayat Muslim (1645)

Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينٍ، فَرَأَى غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَلْيَأْتِ الَّذِي هو خَيْرٌ، وَلْيُكَفِّرْ عَنْ يَمِينِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah, lalu dia melihat yang lainnya adalah lebih baik, maka lakukanlah yang lebih baik itu dan tunaikanlah kaffarah sumpahnya.”

Riwayat Muslim (165)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sebutannya yang lebih tepat dalam bahasa Arab ialah kaffarah (الْكَفَّارَةُ) iaitu dengan baris atas pada huruf kaf dan baris atas berserta sabdu pada huruf fa’. Namun, dalam bahasa Melayu, perkataan kafarah atau kifarat turut boleh digunakan bagi merujuk kepada makna kaffarah (sebagaimana maknanya yang dikehendaki dalam bahasa Arab).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kafarah. Diakses pada 28 September 2023.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kifarat. Diakses pada 28 September 2023.

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445