#4049: Membuat Lahad dan Meninggikan Tanah Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan untuk membuat lahad dan meninggikan tanah kubur?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan untuk membuat atau menggali lahad, serta meninggikan tanah kubur.

Berkenaan membuat lahad, terdapat riwayat daripada ‘Amir bin Sa‘ad bin Abu Waqqas bahawa Sa‘ad bin Abu Waqqas RA berkata ketika beliau sedang sakit tenat yang menyebabkan kematiannya:

 الحَدُوا لي لَحْدًا، وانْصِبُوا عَلَيَّ اللَّبِنَ نَصْبًا، كما صُنِعَ برَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Buatkan bagi satu liang lahad dan susunkan batu bata ke atasku sebagaimana yang dilakukan dengan Rasulullah SAW.

Riwayat Muslim (966)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

غَسَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَهَبْتُ لِأَنْظُرَ مَا يَكُونُ مِن الْمَيِّتِ، فَلَمْ أَرَ شَيْئًا، وَكَانَ طَيِّبًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَيًا وَمَيِّتًا، وَوَلِيَ دَفْنَهُ وَإِجْنَانُهُ دُونَ النَّاسِ أَرْبَعَةٌ: عَلِيٌّ وَالْعَبَّاسُ وَالْفَضْلُ وَصَالِحٌ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ وَسَلَّمَ وَلَحد لِرَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ لَحْدًا، وَنَصَبَ عَلَيْهِ اللّبَنُ نَصْبًا

Maksudnya: “Aku memandikan jenazah Nabi SAW. Maka aku pergi untuk melihat apa yang ada pada mayat Baginda, tetapi aku tidak melihat apa-apa, dan Baginda adalah baik semasa masih hidup mahupun setelah wafat. Orang yang mengebumikannya dan menutupinya ada empat orang iaitu Ali, al-‘Abbas, al-Fadhl dan Soleh maula Rasulullah SAW. Digali satu liang lahad bagi jenazah Rasulullah SAW dan diletakkan di atasnya batu bata.”

Riwayat al-Hakim (1/362) dan al-Baihaqi (3/388)[1]

Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan, dinyatakan dalam al-Nihayah bahawa lahad ialah lubang/belahan yang dibuat di tepi kubur bagi meletakkan mayat. Kemudian, Syeikh Abdullah menyatakan, al-Wazir menukilkan para imam yang empat bersepakat bahawa lahad (اللحد) adalah sunnah, manakala al-syaq (الشق) (iaitu belahan di tengah) bukanlah sunnah. Sekalipun begitu, para ulama bersepakat (ijma‘) akan keharusan untuk mengebumikan mayat di dalam lahad dan al-syaq. Namun, Imam Ahmad berpendapat, makruh untuk mengebumikan mayat dalam al-syaq tanpa sebarang keuzuran (sebab dan alasan). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/241-242).

Adapun berkenaan meninggikan tanah kubur, terdapat dalam riwayat lain, daripada Jabhir R.A hadith seumpamanya dengan lafaz tambahan:

وَرُفِعَ قَبْرُهُ عَنِ الأَرْضِ قَدْرُ شِبْرٍ

Maksudnya: “Ditinggikan kuburnya dari tanah sekira-kira sejengkal.

Riwayat al-Baihaqi (3/407) dan Ibn Hibban (8/218)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, ditinggikan tanah kubur dari tanah sekira-kira sejengkal tujuannya adalah supaya diketahui ia adalah kubur lalu diziarahi dan dihormati daripada dihinakan dengan terpijak ke atasnya dan seumpamanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/242).

Bahkan, inilah pendapat muktamad yang dipegang dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili bahawa disunatkan untuk meninggikan kubur dengan kadar sekitar sejengkal supaya diketahui  ia adalah kubur lalu diziarahi dan dihormati (dengan menjaga adab-adabnya). Begitu juga supaya kawasan itu tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/639-640). Di samping itu, al-Hajawi daripada kalangan ulama mazhab Hanbali juga ada menyebutkan, ditinggikan kubur dengan kadar sejengkal dan dibonggolkan. (Lihat Zad al-Mustaqni‘, hlm. 72).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa membuat lahad dan juga meninggikan tanah kubur dengan kadar sekira-kira sejengkal adalah dibolehkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

 

Nota Kaki:

[1] Syeikh Dhiya’ al-Rahman al-A‘zami menilainya sebagai sahih. (Lihat al-Jami‘ al-Kamil, 4/284).