#4428: Menunaikan Amanah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah kita diperintahkan untuk menunaikan amanah dan haram mengkhianatinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya),

(Surah al-Nisa’: 58)

Ibn Kathir berkata: “Allah khabarkan kepada kamu agar kamu laksanakan amanah kepada yang berhaknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/331)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita diperintahkan untuk menunaikan amanah dan tidak boleh mengkhianatinya. Ini adalah sebagaimana diceritakan bahawa sebelum diturunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, golongan ahli kitab telah mencabul perjanjian mereka dengan Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Maudu‘i li al-Suwar al-Quran al-Karim oleh Mustaffa Muslim, et al., 1/478).

Di antara janji mereka adalah hendaklah beriman dengan Nabi Muhammad SAW apabila diutuskan nanti, namun janji tersebut tidak ditunaikan. (Lihat al-Asas fi al-Tafsir, 2/805). Mereka juga mengetahui kebenaran lalu mencampuradukkannya dengan kepalsuan. Selain daripada itu, hukum-hukum dan undang-undang syariah yang terkandung dalam kitab suci mereka juga ditinggalkan. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/212). Setelah semua peristiwa tersebut berlaku, Allah SWT memilih untuk menyerahkan amanah-Nya kepada kaum lain, iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh penduduk alam. Adalah menjadi keperluan kepada umat Islam pada hari ini untuk mengambil iktibar daripada peristiwa lalu yang telah terjadi kepada ahli kitab. Seterusnya menunaikan amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT sebagai mematuhi perintah-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah SWT dan Rasulullah SAW; dengan meninggalkan suruhannya serta melakukan apa yang dilarang. Dan janganlah pula kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui tentang akibat perbuatan khianat tersebut.”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Maraghi menjelaskan larangan mengkhianati amanah Allah SWT iaitu dengan mengabaikan perintah-Nya atau melampaui batasan agama dan melanggar larangan-larangan-Nya yang telah dijelaskan kepada semua melalui al-Quran dan juga larangan mengkhianati Rasulullah SAW dengan cara tidak mengikuti penjelasan yang datang daripada Rasulullah SAW tetapi sebaliknya mengikut hawa nafsunya, atau mengikuti pendapat guru-gurunya, atau bapanya atau perintah-perintah pemerintahnya. Bukan itu sahaja, termasuk dalam pengkhianatan itu juga adalah dengan meninggalkan sunnah Rasulullah SAW dan mendakwa mereka lebih mengetahui apa yang dikehendaki Allah SWT dan rasul-Nya berbanding dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/193).

Selain itu, mengkhianati amanah termasuk dalam ciri-ciri orang munafik sebagaimana sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ الـمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Maksudnya: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia berbicara dia berdusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianat.

Riwayat al-Bukhari (33)

Oleh itu, umat Islam mestilah sehabis mungkin menghindari sifat memungkiri janji ini. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang diazab oleh Allah SWT kerana telah mengkhianati amanah yang telah diberikan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/431-432).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”