#4439: Solat Hakiki Mencegah Kemungkaran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah solat yang sempurna dapat mencegah kemungkaran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat merupakan ibadah terpenting dalam kehidupan seharian umat Islam. Kerana ini juga para ulama’ berselisih pendapat tentang status keislaman seseorang yang dengan sengaja meninggalkan ibadah solat dalam keadaan dia mengetahui bahawa Allah SWT telah mewajibkannya pada 5 waktu setiap hari.

Dalam menjelaskan kepentingan ibadah solat, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa solat ini adalah salah satu rukun utama yang terbina di atasnya Islam. Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:  “Islam dibina di atas lima iaitu kalimah bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Apabila seseorang menunaikan solat dengan sempurna maka Allah SWT akan memberikannya ketenangan jiwa. Hal ini kerana, tujuan ibadat solat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan ummah kita untuk terus mencapai kejayaan dan kegemilangan di dunia mahupun akhirat.

Allah SWT telah menjelaskan bahawa solat itu dapat mencegah pelakunya daripada perkara yang jelek dan mungkar. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

(Surah al-‘Ankabut: 45)

Kita berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar solat yang kita kerjakan menatijahkan akhlak yang baik dalam diri kita dan menjauhkan diri kita daripada melakukan segala perkara keji mahupun mungkar, sebagaimana yang disebut dalam satu hadith mauquf, daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

مَنْ لَمْ تَأْمُرْهُ صَلَاتُهُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَاهُ عَنِ الْمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللَّهِ إِلَّا بُعْدًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang solatnya tidak membawanya kepada perkara ma‘ruf, dan tidak mencegahnya daripada perkara munkar, maka sebenarnya dia semakin bertambah jauh daripada Allah SWT.”

Riwayat al-Tabarani (8543)

Namun bagaimanakah seseorang itu dapat mencapai peringkat solat yang seperti ini? Abu al-‘Aliyyah ketika menjelaskan ayat ini berkata bahawa solat yang hakiki itu mempunyai tiga elemen: Ikhlas, takut kepada Allah dan mengingati-Nya. Ikhlas itu akan menyuruhnya kepada perkara ma‘ruf, takut kepada Allah pula akan mencegahnya daripada perkara mungkar, manakala mengingati Allah dengan bacaan al-Quran pula akan menghimpun kedua-duanya sekaligus. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/255)

Tuntasnya, solat yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan menepati kriteria yang ditetapkan syara‘, akhirnya akan menjadi kunci kepada segala kebaikan, dan penghapus segala keburukan.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ رَبَّنَا تَـقَـبَّلْ مِنَّا صَلاَتَنَا وَصِيَامَنَا وَرُكُوْعَنَا وَسُجُوْدَنَا وَقُعُوْدَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا اَلله يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, terimalah solat kami, puasa kami, rukuk kami, sujud kami, duduk kami, kerendahan diri kami, kekhusyukan kami, pengabdian kami, dan sempurnakanlah apa yang kami lakukan selama kami menunaikan solat Ya Allah, Tuhan sekalian alam.”

Wallahu a‘lam