#4480: Al-Quran Nikmat Agung

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah al-Quran merupakan nikmat teragung umat ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami takrifkan terlebih dahulu makna dan maksud al-Quran:

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. ( (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49)) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Firman Allah SWT:

طه ١ مَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لِتَشْقَىٰٓ ٢ إِلَّا تَذْكِرَةًۭ لِّمَن يَخْشَىٰ ٣ تَنزِيلًۭا مِّمَّنْ خَلَقَ ٱلْأَرْضَ وَٱلسَّمَـٰوَٰتِ ٱلْعُلَى

Maksudnya:Ta. Ha. Tidaklah Kami turunkan kepadamu al-Quran untuk kamu mendapat kesusahan. Melainkan supaya ia menjadi peringatan kepada mereka yang takut kepada Kami. Al-Quran itu diturunkan daripada Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang amat tinggi.

(Surah Taha : 1-4 )

Ibn Jarir al-Tabari menyatakan bahawa Qatadah menjelaskan sehubungan dengan makna firman-Nya: “Tidaklah Kami turunkan kepadamu al-Quran untuk kamu mendapat kesusahan.” (Surah Taha: 2) Tidak, demi Allah, Allah SWT tidak menjadikan al-Quran baginya sebagai kesusahan, tetapi Allah SWT menjadikannya sebagai rahmat, cahaya, dan petunjuk ke syurga. (Lihat Tafsir al-Tabari, 18/269)

Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan Kitab al-Quran dan mengutus rasul-Nya sebagai rahmat buat hamba-hamba-Nya agar manusia ingat kepada-Nya dan mengambil manfaat dari apa yang dia dengar daripada Kitabullah. Al-Quran adalah peringatan yang diturunkan oleh Allah SWT, di dalamnya disebutkan perkara halal dan haram. Al-Quran yang diturunkan kepadamu, wahai Muhammad, adalah daripada Tuhanmu, Tuhan segala sesuatu dan yang Memilikinya serta yang Maha Berkuasa atas apa yang dikehendaki-Nya. Dialah yang menciptakan bumi yang mendatar lagi padat dan Dialah yang menciptakan langit yang tinggi lagi lembut (tidak kelihatan).

Al-Quran Nikmat Terbesar Umat Islam

Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia juga adalah nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada umat manusia. Kita wajib mentaati segala arahan Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran. Dan sesiapa yang mengikuti ajarannya, mereka tidak akan rasa bimbang daripada sesuatu yang tidak baik dan mereka pula tidak akan berdukacita. Firman Allah SWT dalam Surah Taha, ayat 123 bermaksud: “Jika datang kepada kamu hidayah daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikutinya, dia tidak akan sesat dan tidak akan mendapat kesengsaraan.”

Jika melihat kepada keyakinan umat pada masa kini, mereka agak jauh daripada al-Quran. Bacaan al-Quran hanya banyak berlaku pada bulan Ramadhan sahaja sedangkan pada bulan lain amat sedikit yang istiqamah membaca al-Quran. Begitu juga dengan tadabbur dan memahami makna al-Quran. Hanya segelintir sahaja yang berminat dengan ilmu tafsir.

Rasulullah SAW mengadu kepada Allah tentang umatnya yang menjauhi al-Quran. Firman Allah SWT:

وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًا

Maksudnya:Rasul berkata, ‘wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran sebagai bahan tinggalan.’

(Surah al-Furqan: 30)

Sebagai umat Islam yang beriman dengan Allah, Rasulullah dan al-Quran, sepatutnya perlu menjadikan al-Quran bacaan rutin harian, membaca makna dan tadabbur. Perkara yang kita yakin bahawa al-Quran akan datang kepada pembaca dan pengamalnya pada hari akhirat memberi syafaat kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/321-322 )

Kesimpulan

Tujuan penurunan al-Quran bukanlah untuk menyusahkan dan membebankan jiwa, sebaliknya sebagai kitab yang memberi panduan dan peringatan kepada umat manusia. Oleh itu, umat Islam hendaklah mempelajari dan mentadabbur ayat suci al-Quran agar dapat hidup berpandukan ajaran Islam yang sempurna.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”