#4546: Ciri-Ciri Taubat Nasuha

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.Apakah ciri-ciri taubat Nasuha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Namun yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan ini adalah mereka yang bertaubat. Sabda Nabi SAW:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan itu adalah yang bertaubat.”

Riwayat al-Tirmizi (2499) dan Ibn Majah (4251)

Perbanyakkanlah beristighfar di dalam kehidupan kita ini. Basahilah lidah kita dengan bacaan istighfar. Sungguh banyak dalil yang merujuk kepada kelebihan beristighfar dan anjuran memperbanyakkan istighfar. Bahkan Nabi SAW yang maksum (terpelihara daripada dosa) juga melazimi istighfar. Dalam sebuah hadis, diriwayatkan:

وَاللَّهِ إِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah! Aku memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada 70 kali.”

Riwayat al-Bukhari (6307)

Golongan salaf dari kalangan para Sahabat R.Anhum dan juga adalah golongan yang melazimi istighfar di dalam kehidupan mereka. Kata Abu Hurairah RA: “Aku beristighfar memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat kepada-Nya sebanyak 1000 kali setiap hari.” (Lihat Al-Hilyah al-Auliya’, 1/383)

Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha pernah berkata: “Beruntunglah bagi mereka yang mendapati buku amalannya dipenuhi dengan istighfar yang banyak.” (Diriwayatkan oleh al-Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman secara mauquf. No: 646)

Sebaik-baik istighfar adalah sayyid al-Istighfar seperti yang telah di- ajarkan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadith:

سَيِّدُ الاِسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَى وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.

Di akhir hadis tersebut menyebutkan barang siapa yang membacanya di waktu siangnya dalam keadaan meyakininya lalu dia mati pada hari berkenaan sebelum datangnya petang, maka dia adalah dari kalangan ahli syurga. Begitu juga bagi sesiapa yang membacanya pada malam hari dalam keadaan meyakininya dan mati sebelum paginya, maka dia juga tergolong dari kalangan ahli syurga.

Riwayat al-Bukhari (6306)

Kita perlu bersegera melakukan taubat dan taubat yang terbaik adalah taubat nasuha yang mana para ulama telah meletakkan ciri ciri taubat nasuha itu adalah seperti berikut:

    •  Ikhlas kerana Allah SWT.
  • Menyesal terhadap dosa yang telah dilakukan.
  • Berhenti daripada melakukan dosa tersebut. 
  • Berazam tidak akan kembali melakukannya.
  • Mestilah bertaubat dalam waktu yang telah ditetapkan. Ini bermakna perlulah bertaubat sebelum tibanya ajal dan jika sudah nazak baru ingin bertaubat, maka sia-sialah taubatnya. Begitu juga mestilah bertaubat sebelum terbitnya matahari dari sebelah barat iaitu sebelum tibanya hari kiamat kerana jika sudah tibanya hari kiamat, taubat dan penyesalan tidak berguna lagi.

Seharusnya dosa-dosa yang kita lakukan diikuti dengan amal kebaikan kerana dengan amal kebaikan tersebut dapat memadamkan dosa-dosa yang kita telah lakukan selama mana ianya adalah dosa-dosa kecil. Firman Allah SWT:

إِنَّ الْحَسَنَتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.

(Surah Hud: 114)

Janganlah kita berputus asa dari rahmat Allah SWT. Meskipun manusia seluruhnya menolak kamu kerana besarnya dosamu, maka di sana sentiasa ada rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan- perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Zumar: 53)

Hadith ini menyentuh perasaan apabila Allah SWT mempamerkan sifatnya Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap seluruh hambaNya. Sekalipun hambaNya melakukan perkara yang mengingkari dan derhaka kepadaNya dengan meninggalkan suruhan dan melakukan tegahannya, namun Allah SWT tetap menerima taubat daripada hambaNya.

Melazimi adab-adab ketika berdoa di samping hati yakin dengan Allah SWT menjadi antara kuatnya doa itu akan diperkenankan oleh Allah SWT. Berdoalah kepada Allah dengan hati yang penuh dengan pengharapan.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”