#4548: Ibn al-‘Attar dan Sejarahnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami siapakah Ibn al ‘Attar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, nama sebenarnya Ibn al-‘Attar ialah al-Imam ‘Ala’uddin Ali bin Ibrahim dan beliau lebih dikenali sebagai Ibn al-‘Attar. Beliau dilahirkan pada tahun 654 Hijrah dan menurut Ibn Jabir al-Wadi Asyi (salah seorang ulama yang hidup sezamannya), beliau dilahrikan pada malam Aidilfitri atau sebelumnya satu malam. Sejak kecil lagi, beliau telah menghafaz al-Quran dan mempelajari segala ilmu asas seperti matan-matan yang mukhtasar (ringkas). 

Di antara guru-gurunya yang terkenal ialah Imam al-Nawawi, di mana beliau mula belajar dengannya sekitar tahun 669 hijrah sehinggalah gurunya itu meninggal dunia. Permulaan pertama bertemu dengan gurunya Imam al-Nawawi ketika beliau berusia 15 tahun. Ketika itu beliau sedang membaca kitab-kitab fiqh yang besar secara tashih dan ta‘liq. Justeru, dapat difahami bahawa sebelumnya beliau telah menghasilkan atau menguasai banyak ilmu seperti ilmu bahasa Arab, tafsir, qiraat dan menghafal matan-matan. Beliau terkenal dengan kerajinan menuntut ilmu terutamanya ketika berguru dengan Imam al-Nawawi dan telah membaca banyak kitab-kitabnya. Ini menyebabkan Imam al-Nawawi memberi perhatian dan kecaknaan kepadanya serta mengkhususkannya berbanding dengan murid-muridnya yang lain. 

Ibn al-‘Attar menyebutkan, aku belajar dengan Imam al-Nawawi fiqh secara tashih dan syarah, mendhabit secara khusus dan umum. Begitu juga ulum hadith sama ada mukhtasar dan lainnya secara tashih, hafazan, syarahan, kajian, ta‘liq yang khas dan umum. Imam al-Nawawi amat mengasihiku sehingga beliau tidak membenarkan orang lain untuk berkhidmat kepadanya melainkan aku. Imam al-Nawawi terkenal dengan sifat zuhud dan tawaduknya. Sehingga akhirnya beliau mengizinkanku untuk membetulkan apa-apa yang tersilap dalam karya-karyanya seraya berkata: “Sekiranya aku mati dan menghadap Allah maka sempurnakanlah syarah al-Muhazzab dari kitab-kitab ini,” tetapi ia tidak ditakdirkan oleh aku untuk melaksanakannya. (Lihat Tuhfah al-Talibin, hlm 54).

Beliau juga byk bermusafir untuk menuntut ilmu dengan guru-guru yang besar dalam pelbagai bidang. Di antara tempat yang dikunjungi oleh beliau ialah kota Makkah untuk mendengar atau mengambil ilmu daripada Abu al-Yumni bin ‘Asakir, di Madinah untuk mendengar dan mengambil ilmu daripada Ahmad bin Muhammad al-Nasibi, di Quds untuk mendengar dan mengambil ilmu daripada Qutbuddin al-Zuhri, di Nablus untuk mendengar dan mengambil ilmu daripada al-‘Imad ‘Abd al-Hafiz, dan di Kaherah untuk mendengar dan mengambil ilmu daripada al-Abarquhi dan Ibn Daqiq al-‘Id. Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, Ibn al-‘Attar telah mendengar dari dua tanah haram, Nablus dan Kaherah daripada beberapa orang guru (masyayikh) yang jumlahnya melebihi 200 orang. Hal ini diperakui oleh muridnya sendiri, Imam al-Zahabi yang telah mengeluarkan senarai guru-gurunya dalam satu jilid kitab. 

Ibn al-‘Attar juga telah meninggalkan ramai murid yang hebat. Di antaranya ialah, Kamaluddin Ibn al-Zamalkani, Syamsuddin Ibn al-Fakhr, Syihabuddin Ibn al-Majd, ‘Alamuddin al-Birzali, Abu al-Qasim al-Muqatili, Muhyiddin al-Hazbani, Burhanuddin Abu Ishaq, Imam al-zahabi dan ramai lagi. 

Beliau mempunyai sifat yang baik dan akhlak yang unggul. Al-zahabi menyifatkannya sebagai seorang muhaddith, al-hafiz, luas dalam ilmu fiqh yang digelar sebagai al-imam al-faqih al-mufti. Imam al-Zahabi juga menggelarnya sebagai baqiyatussalaf. (Lihat al-Mu’jam al-Mukhtas, hlm. 106)

Ibn al-‘Attar tidak memegang sebarang jawatan secara rasmi tetapi hanya mengajar di sekolah-sekolah atau madrasah-madrasah untuk menyebarkan ilmu. Di antaranya, Dar al-Hadith al-Nuriyyah, Dar al-Hadith al-Qausiyyah dan Dar al-Hadith al-Dawadariyyah. Ibn al-‘Attar juga ada memberi dan mengeluarkan fatwa. 

Antara karya Ibn al-‘Attar ialah Ikhtisar Nasihah Ahl Hadith, al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, Adab al-Khatib, Tuhfah al-Talibin, Tartib al-Fatawa al-Nawawiyyah, Hukm al-Ihtikar ‘inda Ghala’ al-As‘ar, Hukm al-Balwa wa Ibtila’ al-‘Ibad, Risalah fi Ahkam al-Mauta wa Ghaslihim, Risalah fi Bayan al-Firaq al-Dhallah, al-Fiqh fi Hukm Siyam Jami‘ Sya‘ban wa Rajab, Majlis fi Ziarah al-Qubur, Mu‘jam al-Syuyukh, al-Watha’iq al-Majmu‘ah dan lain-lain. 

Pada akhir kehidupannya, beliau telah ditimpa dengan penyakit hemiplegia (lumpuh separuh badan) iaitu pada tahun 701 Hijrah. Oleh itu, beliau telah diusung dari tempatnya untuk dibawa ke Jami‘ atau sekolah tempat mengajarnya. Beliau meninggal dunia pada awal Zulhijjah di kota Damsyik, pada tahun 724 Hijrah, sekitar usia 70 tahun. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)