Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan perbomohan dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebahagian masyarakat tempatan masih lagi beramal dengan kaedah rawatan tradisional dalam mengubati penyakit yang dialami. Malah sebahagian mereka turut berpegang dengan tradisi rawatan perbomohan. Apa yang membimbangkan terdapat sebahagian pengamal perubatan yang masih mengamalkan ritual perbomohan yang dilihat mengandungi elemen syirik.
Pada hakikatnya tidak mengapa untuk melakukan rawatan perbomohon dan jampi menggunakan ayat-ayat al-Quran. Namun begitu, istilah yang tepat berkenaan hal ini adalah dengan menggunakan istilah ruqyah menggunakan ayat al-Quran untuk melawan sihir dan perbomohan yang menggunakan jin.
Auf bin Malik R.A pernah bertanya kepada Baginda SAW tentang rawatan secara ruqyah ini. Lalu Rasulullah bersabda:
اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ، لَا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْك
Maksudnya: “Tunjukkan kepadaku jampi-jampi kamu. Tidak mengapa melakukan ruqyah (jampi) selagi tiada unsur syirik di dalamnya.”
Riwayat Muslim (2270)
Al-Suyuti meletakkan tiga syarat untuk menjalankan ruqyah Islami iaitu yang dibenarkan oleh syarak iaitu:
- Hendaklah ruqyah tersebut menggunakan ayat al-Quran atau hadith Nabi
- Ayat jampi tersebut mestilah difahami, bukannya lafaz aneh yang tidak difahami
- Muslim tidak boleh beriktikad bahawa jampi tersebut yang menyembuhkannya tetapi Allah jualah yang memberikan kesembuhan. (Lihat Fath al-Majid Syarh Kitab al-Tauhid, hlm. 135)
Bahkan di dalam sebuah hadith Aisyah R.Anha pernah menceritakan Rasulullah SAW sendiri melakukan ruqyah terhadap sahabat yang sakit. Kata beliau:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى الْإِنْسَانُ الشَّيْءَ مِنْهُ، أَوْ كَانَتْ بِهِ قَرْحَةٌ أَوْ جُرْحٌ، قَالَ: النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِصْبَعِهِ هَكَذَا، وَوَضَعَ سُفْيَانُ سَبَّابَتَهُ بِالْأَرْضِ، ثُمَّ رَفَعَهَا «بِاسْمِ اللهِ، تُرْبَةُ أَرْضِنَا، بِرِيقَةِ بَعْضِنَا، لِيُشْفَى بِهِ سَقِيمُنَا، بِإِذْنِ رَبِّنَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW sekiranya salah seorang mengadu sakit, atau mengalami kecederaan, Baginda meletakkan jari telunjuk Baginda ke tanah (lalu perawi bernama Sufyan menunjukkan bagaimana Rasulullah melakukannya, dan mengangkat semula jarinya) dan Baginda membaca jampinya: “Dengan nama Allah, inilah debu tanah kami, dengan ludah sebahagian kami, disembuhkan sakit yang dialami antara kami, dengan izin Tuhan kami.”
Riwayat Muslim (2194)
Secara umumnya amalan perubatan secara jampi dan perbomohan atau istilah tepatnya melalui kaedah ruqyah dengan ayat al-Quran adalah tidak dilarang dalam Islam selagimana ia tidak bercanggah dengan syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/739-740)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”