#4555: Sikap Muslim Ketika Berlakunya Fitnah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam era moden ini, bagaimana sikap kita apabila bertembung dengan fitnah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (١٩) وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang suka agar tersebarnya berita perbuatan yang keji dalam kalangan orang yang beriman, maka mereka akan mendapat azab yang amat pedih di dunia dan akhirat. Ingatlah, Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. Dan jika bukan kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya atas kamu, tentulah Dia telah menimpakan azab untuk kamu. Dan sesungguhnya Allah Maha Penyantun, lagi Maha Penyayang.”

(Surah al-Nur: 19-20)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini mengatakan: “Ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk, kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/195)

Ayat ini menjelaskan tentang kecaman terhadap golongan yang suka menyebarkan berita-berita palsu seperti pertuduhan zina terhadap orang-orang yang beriman. Mereka yang suka untuk menyebarkan berita palsu dalam kalangan orang-orang yang beriman akan beroleh azab di dunia melalui  hukuman hudud jika mereka membuat tuduhan zina tanpa membawa saksi. Pada hari akhirat nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jika mereka tidak bertaubat. Allah SWT mengetahui segala perkara dan segala pembohongan yang mereka lakukan. Pada hakikatnya tindakan mereka ini menggambarkan tentang sifat rahmat Allah SWT yang tidak mengenakan hukuman dan bala terus atas kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman. Allah SWT menjelaskan bahawa jika tidak kerana adanya limpah kurnia Allah SWT dan rahmat-Nya kepada mereka yang beriman dan jika tidak kerana rahmat Allah SWT yang amat luas belas kasihan-Nya, sudah tentu mereka akan ditimpa azab yang segera. Namun dengan rahmat-Nya, Allah SWT mengampunkan mereka yang bertaubat dan menjatuhkan hukuman kepada orang melakukan qazaf. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/609-610)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ

Maksudnya: “Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia”

Riwayat Ibn Hibban (655)

Selain itu, Nabi SAW juga bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“.‏ قَالَهَا ثَلاَثًا

Maksudnya: “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali”

Riwayat Muslim (2670)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadith ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/461)

Definisi Fitnah

Fitnah pada asalnya berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296; Maqayis al-Lughah, 4/472].

Ibn Athir pula menambah bahawa asalnya fitnah digunakan oleh kebanyakan bangsa arab sebagai ujian, kemudian penggunaanya juga masyhur bagi menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. [Lihat: al-Nihayah, 3/410]

Untuk itu, fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” (Lihat Fath al-Bari, 3/27)

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat] Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”

Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)

Imam Nawawi berkata: Dalam riwayat yang lain disebut dengan kalimah ‘قتات’. Ia juga memberi makna pemfitnah. Maksud nammam seperti kata ulama’ ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai dari seseorang kepada seseorang untuk merosakkan hubungan mereka. al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata dalam Ihya‘nya: Ketahuilah bahawa sifat fitnah diitlaqkan pada kebanyakannya terhadap orang yang memindahkan kenyataan orang lain kepada orang lain sepertimana dia berkata, ‘si fulan berkata dan mengata kepada kamu begini dan begini’. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/112)

Sikap Seorang Muslim Ketika Berlakunya Fitnah

Dalam era moden ini, media sosial merupakan platform yang paling mudah untuk penipuan dan fitnah berlaku. Dengan teknologi moden yang canggih, gambar atau rakaman video seseorang turut boleh diubahsuai atau disunting bagi memberikan gambaran yang buruk tentangnya. Ketika fitnah sebegini berlaku, seorang Muslim haruslah mengambil langkah yang sangat teliti dalam menerima berita yang tidak pasti. Ini dibimbangi boleh menyebabkan seseorang terjerumus dalam kancah fitnah yang membinasakan. Pelajarilah sikap seorang sahabat daripada golongan al-Ansar iaitu Abu Ayyub Khalid bin Zayd R.A ketika beliau menghadapi peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah ini. Ketika berita ini disampaikan kepada beliau, lantas terucap daripada mulutnya:

سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Maha Suci Allah SWT, sesungguhnya ini ialah fitnah yang besar.”

Riwayat al-Bukhari (7370)

Inilah sikap yang sepatutnya dipamerkan oleh orang-orang yang beriman. Mereka tidak mudah untuk menerima berita yang tidak pasti, apatah lagi sekiranya berita tersebut datang dari sumber yang meragukan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/611-612 )

Setiap muslim apabila menerima sesuatu berita itu, mestilah memastikan kebenaran dan keabsahan sesuatu berita itu melalui beberapa proses. Oleh itu, beberapa faktor-faktor yang patut diambil berat ialah:

  • Mestilah berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita
  • Memastikan tidak akan berlakunya salah faham dan kesalahan dalam fakta yang boleh menyebabkan fitnah
  • Memastikan kesahihan dan kebenaran berita yang diterima atau yang akan disampaikan.
  • Tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan sesuatu berita
  • Menanamkan prasangka yang baik dan menjauhi su’u zhan (prasangka buruk) sesama manusia.
  • Menjaga silaturrahim dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim diantara masyarakat.

Kesimpulan

Setiap orang muslim mestilah berjaga-jaga daripada menerima dan menyebarkan fitnah yang boleh memberikan kesan buruk kepada kehidupan bermasyarakat dan mengundang murka Allah. Allah SWT melarang seseorang itu menyakiti saudara muslim dan menjanjikan azab yang berat kepada siapa yang mencemarkan kehormatan saudaranya. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.

(Surah al-Ahzab: 58)

Kami akhiri untuk sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa mendapat petunjuk dan dihindari daripada didedahkan aib.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا وَاحْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ يَمِينِنَا وَعَنْ شِمَالِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا وَنَعُوذُ بِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keampunan dan afiat di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keampunan dan afiat pada urusan agama kami dan dunia kami. Begitu juga keluarga kami dan harta kami. Ya Allah! Tutuplah aib dan aurat kami. Amankanlah perasaan takut kami. Ya Allah! Peliharalah kami dari arah depan kami, belakang kami, kanan kami, kiri kami, atas kami dan kami berlindung dengan-Mu daripada kami dibala melalui bawah kami.

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam