#4556: Maksud Kalimah al-Samad (ٱلصَّمَدُ)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan maksud kalimah al-Samad dalam surah al-Ikhlas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ

Maksudnya: “Allah yang menjadi tempat pergantungan seluruh makhluk.”

(Surah al-Ikhlas: 2)

Menurut Ibn Asyur, perkataan al-Samad membawa maksud tuan. Iaitu Allah adalah Tuan kita di muka bumi ini. Kita tidak seharusnya memperhambakan diri kita kepada makhluk. Manakala al-Zamakhsyari pula menjelaskan bahawa perkataan al-Samad membawa maksud tempat kebergantungan semua makhluk. Kedua-dua pengertian literal ini membawa satu maksud iaitu Allah adalah satu-satunya Tuan kita dimuka bumi ini dan Dialah tempat segala makhluk bergantung kepadanya.  (Lihat  al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/617) 

Di samping itu, Abu Hayyan juga menjelaskan kalimah al-Samad membawa maksud tempat bergantung seseorang, apabila seseorang itu memerlukan sesuatu. Tambahan itu juga, al-Samad ini membawa maksud tuan bagi tempat bergantung yang dicari dan tempat yang ditumpu untuk mendapatkan segala hajat. (Lihat al-Bahr al-Muhit Fi al-Tafsir, 10/570)

Uniknya kalimah al-Samad (ٱلصَّمَدُ) tidak wujud dalam al-Quran kecuali hanya pada ayat ini sahaja. Ia juga seolah-olah memberi makna sebagai seorang Islam dan beriman kepada-Nya, pergantungan yang mutlak, doa serta tawakkal dan mengadukan hajat hanya kepada Allah SWT. Maka konsep ‘إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ’ adalah bertepatan dengan cara seorang Muslim yang hakiki dengan beribadat dan mengabdi kepada Allah SWT, kemudian memohon pertolongan kepada-Nya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”