#4557: Risalah Islam Untuk Siapa?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan untuk siapakah risalah islam ini ditujukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan, ayat ini menyuruh manusia dan jin untuk mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa. Beliau menukilkan kata-kata Ali R.A, Allah SWT tidak menciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyuruh mereka (manusia dan jin) beribadat.  (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/55).

Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

(Surah Ali-Imran : 19)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni menyebut agama yang diterima disisi Allah SWT adalah agama Islam dan tiada agama yang diredai oleh Allah SWT kecuali Islam. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/121)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti menyebut kalimah (الدِّينَ) al-Din yang dimaksudkan pada ayat ini ialah ketaatan hamba kepada Allah SWT dengan melaksanakan setiap suruhanNya serta meninggalkan setiap yang yang dilarang olehNya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 17/115)

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam menafsirkan ayat ini menyebut, “Agama yang diredai atau diterima adalah agama Islam dimana syariat yang diutuskan dengannya nabi-nabi dan rasul yang dibina atas dasar tauhid.” (Lihat Tafsir al-Munir, 3/177)

Qatadah menafsirkan ayat di atas, “ Bersaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah SWT, dan mengaku setiap apa yang datang daripada Allah SWT, iaitu agama Allah yang Allah SWT sendiri yang mensyariatkannya dengan diutuskan bersama agama tersebut rasul-rasul yang bermukjizat serta tidak menerima selainnya (agama Islam) dan tidak menjadikan (syariat-syariat lain) sebagai pegangan hidup. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/400)

Syeikh Abdul al-Qadir al-Jailani menyatakan, “(Agama Islam) syariat yang lurus, diterima serta diredai oleh Allah SWT yang menjadi petunjuk untuk hamba-hamba kepada jalan petunjuk. Agama Islam diturunkan oleh Allah SWT kepada sebaik-baik makhluk iaitu Saidina Muhammad SAW.” (Lihat Tafsir al-Jailani, 1/262)

Risalah Islam untuk Siapa?

Risalah Islam ialah risalah yang diturunkan secara menyeluruh kepada golongan jin dan manusia. Matlamatnya bersifat global, ditujukan kepada seluruh manusia dari timur hingga ke barat kerana ia satu-satunya risalah yang mewakili agama yang benar sebagaimana ia juga adalah risalah terakhir yang diturunkan Allah SWT kepada manusia. Daripada Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُعِثْتُ إِلَى الْأَحْمَرِ وَالْأَسْوَدِ

Maksudnya: “Aku diutuskan kepada golongan manusia dan jin.”

Riwayat Ahmad (14264) Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa sanadnya sahih

Maka sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang diutuskan untuk seluruh alam; manusia dan jin sebagai peringatan kepada mereka. Baginda SAW adalah penutup segala nabi, tiada nabi selepas Baginda SAW. Tiada rasul selain Baginda SAW kecuali Nabi Nuh A.S yang diutuskan kepada sekalian alam. Manakala risalah Nabi Nuh A.S bersifat menyeluruh kepada semua manusia selepas taufan yang melanda dunia pada ketika itu yang memusnahkan seluruh manusia kecuali pengikut-pengikut Nabi Nuh A.S yang boleh dikira sebagai permulaan kehidupan berdasarkan peristiwa tersebut. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/654-655)

Kesimpulan

Kita hendaklah beriman dengan sepenuhnya bahawa al-Quran ialah wahyu yang diturunkan oleh Allah dan bukan seperti yang didakwa oleh kaum musyrikin yang mendakwa Rasulullah mencipta al-Quran. Allah SWT telah memberi jaminan bahawa Allah SWT akan memelihara kesucian dan kebenaran al-Quran. Walaupun pelbagai pihak seringkali membuat pelbagai tuduhan terhadap al-Quran, namun ia tetap relevan sehingga ke hari ini.

Kita hendaklah menjadikan kehidupan kita sepenuhnya bergantung dengan al-Quran. Al-Quran mengubah hidup seseorang daripada kegelapan kepada cahaya. Ia membahagiakan hidup mereka yang beramal dengannya. Justeru, al-Quran bukan sekadar kitab tetapi ia adalah pedoman hidup manusia untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”