#4561: Kisah Kesudahan Abu Lahab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan pengakhiran hidup Abu Lahab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza bin Abdul Muthalib (Abdul Uzza dengan makna hamba kepada berhala Uzza). Nasabnya adalah seperti berikut: Abdul Uzza bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab. Lebih dikenal dengan nama Kun-yah: Abu Lahab berbanding nama sebenarnya. Lahab bermaksud menyala-nyala. Ada yang mengatakan bahawa yang memberi gelaran Abu Lahab adalah ayahnya, Abdul Muttalib, kerana Abu Lahab wajahnya sangat cerah dan kemerah-merahan.

Beliau terkenal dengan sifat memusuhi agama Allah. Cukuplah kalimah beliau mencelakan Nabi SAW, maka Allah SWT menurunkan Surah al-Masad:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (١) مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ (٢) سَيَصْلَىٰ نَارًۭا ذَاتَ لَهَبٍۢ (٣) وَٱمْرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلْحَطَبِ (٤) فِى جِيدِهَا حَبْلٌۭ مِّن مَّسَدٍۭ

Maksudnya: Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya. Dia akan merasai bakaran neraka yang mempunyai api yang marak membakar. Begitu juga isterinya; menjadi pembawa kayu api yang dahulunya suka menyebar fitnah dan mengadu domba. Di lehernya pada hari kiamat ada tali yang tersimpul mati untuk menariknya ke neraka.

(Surah al-Masad: 1-5)

Al-Maraghi berkata dalam mentafsirkan ayat di atas: Dia kelak akan menderita bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu. Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya tersia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gagal, harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan tidak pula dapat menolong dirinya.

Ini disebabkan Allah SWT mengangkat seruan rasul-Nya, menyebarkan dakwah-Nya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari Kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7735)

Dikatakan Abu Lahab tidak hadir dalam peperangan Badar kerana usianya sudah tua tetapi apabila mendengar berita tersebut, beliau amat berdukacita.

Manakala dalam Tafsir al-Bayan, dikisahkan bahawa Abu Lahab menemui ajal tujuh hari selepas peperangan Badar selepas mengalami sejenis penyakit yang dinamakan adasah dan ia umpama taun. Tiga hari jenazahnya tidak diuruskan sehingga membusuk. Akhirnya, mereka telah menggali satu lubang dan menolak mayatnya dengan kayu sehingga jatuh ke dalam lubang dan melontar batu-batu sehingga tertimbus lubang tersebut. Abu Lahab akan masuk neraka yang bernyala-nyala iaitu Neraka Jahanam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/716)

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan kisah yang berlaku selepas perang Badar di Kota Mekah:

Abu Rafi’ ialah seorang hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW. Beliau berkata: Dahulu aku adalah hamba milik al-Abbas. Ketika itu Islam telah sampai kepada seluruh Ahli Bait. Al-Abbas masuk Islam, kemudian aku dan Ummu Fadhl juga masuk Islam. Namun al-Abbas menyembunyikan keislamannya. Pada waktu peperangan Badar, Abu Lahab tidak ikut berangkat. Tatkala berita kekalahan Quraisy sampai kepadanya, Allah memalukan dan menghinakannya. Sedangkan kami memperoleh sedikit kekuatan di dalam diri kami.

Ketika itu aku seorang yang lemah. Aku bekerja membuat anak panah. Aku merautnya di dalam sebuah bilik yang berhampiran telaga zamzam. Demi Allah, ketika aku sedang duduk meraut anak panahku di sana, sementara Ummu Fadhl duduk berhampiran denganku dan kami sedang bergembira kerana berita kemenangan tentera Islam yang sampai kepada kami, tiba-tiba Abu Lahab datang dengan menyeret kedua-dua kakinya, sehingga dia duduk tepat di hadapan kain penutup bilik dan belakangnya bersandar pada belakangku. Ketika dia sedang duduk, orang ramai berkata, “Inilah Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Muttalib. Dia datang.”

Maka Abu Lahab berkata: “Ke marilah! Dekatilah aku! Engkau pasti membawa banyak berita.” Abu Sufyan lantas duduk berhampiran dengannya, sementara orang ramai berdiri di hadapannya. Abu Lahab bertanya, “Hai anak saudaraku, beritakanlah kepadaku apa yang terjadi.”

Abu Sufyan menceritakan, “Tiada lain kecuali pasukan mereka berhadapan dengan kami, lalu kami menyerahkan belakang kami kepada mereka. Mereka membunuh orang-orang kita semahu mereka. Mereka juga menawan orang-orang kita sesuka hati mereka. Demi Allah, walaupun begitu, aku tidak mengancam siapa pun, sebab kami berhadapan dengan orang-orang yang berpakaian putih yang turun memakai kuda belang di antara langit dan bumi. Demi Allah, kuda-kuda itu tidak meninggalkan jejak sedikit pun dan tidak berpijak pada apa-apa pun.”

Abu Rafi’ meneruskan, “Aku buka kain penutup bilik dengan kedua-dua tanganku, lalu aku berkata, “Demi Allah, itu malaikat.”

Mendadak Abu Lahab mengangkat tangan, lalu memukul wajahku dengan kuat. Aku menerkamnya, tetapi dia mengangkat tubuhku, lalu membalingku di tanah. Kemudian dia berlutut di atas tubuhku sambil memukulku. Waktu itu aku orang yang lemah sehingga Ummu Fadhl mengambil salah satu tiang penyangga bilik, lalu digunakannya untuk memukul Abu Lahab sehingga kepalanya luka parah. Ummu Fadhl berkata, “Kau berani menyeksa orang ini semasa tuannya tidak ada?”

Abu Lahab beranjak pergi dengan kepala tertunduk. Demi Allah, dia hanya hidup tujuh hari selepas itu, sehingga Allah menimpakan pada lukanya bernanah yang biasanya membuatkan orang ramai Arab berasa jijik, lalu kesan itu membunuhnya. Tidak ada saudaranya yang mahu mengurusnya, sehingga mayatnya dibiarkan begitu sahaja selama tiga hari tanpa dikuburkan. Disebabkan khuatir akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, maka barulah mereka menggalikan liang kubur untuknya. Kemudian mereka menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu, lalu melemparnya dengan batu-batu dari jauh sehingga jasadnya tertimbun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 335-336)

Begitulah pengakhiran hidup Abu Lahab, orang yang kuat memusuhi Islam dan menentang dakwah Rasulullah SAW semasa hidupnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”