#4566: Tafsir Ayat 3 Surah al-Nasr 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 3 daripada Surah al-Nasr?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَٱسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابًۢا

Maksudnya: “Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan mintalah keampunan daripada-Nya. Dia sesungguhnya Maha Penerima Taubat.”

(Surah al-Nasr: 3)

Allah SWT mengingatkan bahawa ketika urusan agama semuanya telah sempurna, maka hendaklah bertasbihlah menyucikan-Nya serta memanjatkan pujian kepada Allah SWT yang telah menjadikan ajaran itu mulia, menjadikan orang kafir kalah dan menyempurnakan nikmat-Nya walaupun orang kafir membenci. Hendaklah menyucikan Allah SWT dengan memuji-Nya kerana pelbagai nikmat yang telah diberikan, dan di atas kebaikan yang telah dianugerahkan. Hendaklah memuji-Nya kerana memang Allah SWT berhak dipuji kerana Dialah Zat Yang Maha Kuasa lagi tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. 

Di samping itu, mohonlah keampunan untuk dirimu dan sahabat-sahabat yang mengikutmu, yang berada dalam kegelisahan, bingung dan sedih serta putus asa kerana beranggapan pertolongan Allah SWT itu terlambat. Bertaubat daripada kebingungan dilakukan dengan menyempurnakan keyakinan atas kebenaran janji Allah SWT, mengalahkan rasa bimbang yang timbul akibat pelbagai bencana, sekalipun hal ini amat berat bagi manusia. Namun Allah SWT Maha Tahu bahawa jiwa rasul-Nya telah mencapai kesempurnaan itu sehingga Dia memerintahkannya berbuat begitu. Demikian juga halnya orang yang berjiwa sempurna antara para sahabat baginda dan para pengikutnya. Allah SWT Maha menerima taubat mereka. Lalu Allah SWT mengemukakan sebab iaitu disuruhnya Nabi Muhammad SAW memohon: “Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Menerima Taubat hamba-Nya,” kerana Dia mendidik jiwa manusia dengan pelbagai cubaan. Jika jiwa itu lemah, maka didorong untuk mencari kekuatan, dikuatkan kemahuannya dengan janji yang baik. Hal seperti ini berterusan sehinggalah jiwa manusia mencapai darjat kesempurnaan.

Justeru diperintahkan untuk memohon ampun kepada Allah atas perasaan-perasaan yang demikian, agar rasa hati itu bersih kembali, dan kasih dengan Tuhan bertaut lebih mesra daripada yang dahulu. Dan bertaubat daripada kegoncangan fikiran dan keragu-raguan yang mendatang dalam hati adalah dengan menyempurnakan kepercayaan kepada Tuhan: “Sesungguhnya Dia adalah sangat Pemberi Taubat.” Kerana Dia adalah Tuhan, Dia adalah “Kasih” dan “Sayang” akan hamba-Nya, dan Dia mendidik, melatih jiwa-raga hamba-Nya agar kuat menghadapi warna-warni ujian hidup di dalam mendekati-Nya. 

Di sini terdapat penggabungan antara bertasbih kepada Allah yang menunjukkan ketakjuban dari apa-apa yang dimudahkan Allah, daripada hal-hal yang tidak terfikirkan sebelumnya oleh Baginda atau oleh siapa pun, dan bersyukur kepada Allah atas segala kebaikan-Nya dan keagungan pemberian-Nya dengan nikmat ini, iaitu pertolongan dan kemenangan atas Ummul Qura (Makkah), yang mana sebelumnya penduduknya sangat membenci Baginda dan telah mencapai puncak kebencian, hingga sampai pada tahap mengusir Baginda darinya, setelah sebelumnya mereka mereka-reka perkataan batil dan kebohongan yang bermacam-macam, iaitu beberapa dakwaan mereka yang sudah masyhur, iaitu bahawa Baginda adalah seorang yang gila, tukang sihir, penyair, dukun dan sebagainya. 

Kemudian Allah juga menggabungkan itu semua dengan perintah kepada nabi-Nya untuk beristighfar, yakni: “Mohonlah keampunan kepada-Nya kerana dosamu, kerana mengikuti hawa nafsu, kurang dalam melaksanakan amal perbuatan, dan kerana meninggalkan sesuatu yang lebih utama.” Rasulullah merasa diri beliau kurang dalam menjalankan hak-hak Allah SWT, Baginda lalu memperbanyak istighfar dan berdoa, sekalipun Allah SWT telah mengampuni segala kesalahan dan dosa Baginda, baik yang telah lalu mahu pun yang akan datang. 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa istighfar (permohonan ampun) daripada Nabi dan para nabi lainnya merupakan ibadah bagi mereka, bukan untuk meminta ampunan untuk dosa-dosa yang ada pada mereka. Pendapat lain mengatakan bahawa Allah memerintahkan beliau untuk beristighfar hanya sebagai peringatan untuk umat Baginda dan sindiran bagi mereka, seakan-akan sejatinya merekalah yang diperintah untuk beristighfar. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksud “bertasbih” di sini adalah solat. Yang lebih tepat adalah memahaminya dengan makna “pemurnian” Zat Allah dari segala yang tidak layak bagi-Nya, sesuai sepertimana yang telah diisyaratkan, bahawa di dalamnya terkandung makna takjub dengan nikmat yang diterima, dan berbahagia dengan apa-apa yang Allah berikan, meliputi pertolongan pada agama, mengalahkan musuh-musuh, kehinaan pada mereka dan penguasaan terhadap mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/703-704)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Marilah sama-sama kita melazimi zikir, doa dan istighfar di samping beribadat dengan sebaik-baiknya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”