Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita menganggap bahawa lafaz al-Quran adalah makhluk? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Surah al-Hijr: 9)
Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, al-Zikr adalah al-Quran. Beliau menyebutkan lagi, Allah SWT sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/68).
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka‘ab al-Qurazi, katanya: Aku mendengar daripada Abdullah bin Mas‘ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Selain itu, Rasulullah SAW turut mengkhabarkan bahawa al-Quran boleh memberi syafaat kepada pembacanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A bahawa Baginda bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.
Riwayat Muslim (804)
Seterusnya, dalam menjawab hal ini, kami katakan bahawa para ulama dengan tegas tidak membenarkan untuk mengatakan lafaz al-Quran sebagai makhluk sebagaimana fahaman muktazilah. Kami kemukakan di sini sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al-‘Attar dan beberapa pendapat ulama yang lain seperti berikut:
Pertama: Al-imam Abu Bakar al-Isma‘ili menyebutkan, sesiapa yang menyangka lafaznya dengan al-Quran itu adalah makhluk yang dikehendaki dengannya al-Quran, maka dia termasuk orang yang mengatakan bahawa al-Quran itu adalah makhluk.
Kedua: Ibn Mahdi al-Tabari menyebutkan, sesiapa yang berkata sesungguhnya al-Quran itu dengan lafaz makhluk atau lafazku dengannya adalah makhluk, maka dia adalah jahil, sesat dan kafir dengan Allah yang Maha Agung. (
Ketiga: Ishaq bin Rahawaih apabila ditanya tentang lafaz al-Quran, beliau menjawab dengan menyatakan, tidak seyogia untuk didebatkan hal ini. Al-Quran adalah kalamullah dan bukan makhluk.
Kesemua ini ada dibahaskan dengan panjang lebar oleh Ibn al-‘Attar dalam al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad (hlm. 157-159).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”