#4574: Bersalam Dengan Individu Yang  Berpenyakit Sopak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sopak atau vitiligo adalah sejenis keadaan di mana kulit mengalami kehilangan warna atau pigmennya. Keadaan ini berlaku apabila warna asal kulit kelihatan lebih cerah atau putih daripada yang asal.

Tanda dan gejala

Satu-satunya tanda sopak ialah kehadiran kawasan tompok pudar pada kulit depigmentasi yang sering berlaku pada bahagian tangan dan kaki. Sesetengah orang mungkin mengalami kegatalan sebelum suatu tompok itu berlaku. Tompok-tompok ini pada asalnya kecil, yang kemudiannya membesar dan berubah bentuk. Apabila belur (lesi) kulit berlaku, mereka paling menonjol pada muka, tangan dan pergelangan. Kehilangan pigmen kulit amat ketara di sekitar bukaan (orifis) badan seperti mulut, mata, lubang hidung, alat kelamin dan pusat (umbilikus). Sesetengah lesi meningkatkan pigmen kulit di sekeliling tepinya. Mereka yang diaibkan oleh keadaan sopak mungkin mengalami kemurungan (depresi) atau kecelaruan angin (mood) yang serupa.[1]

Pakar Dermatologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad berkata : “Pesakit yang menghidap sopak akan mempunyai tompok-tompok putih pada kulit malah ada sesetengah terdapat tompokan putih di kening, bulu roma dan rambut bertukar menjadi putih. Ia penyakit kulit yang hanya menukar warna tetapi tidak memberikan kesan sampingan lain seperti sakit atau gatal kepada penghidapnya.”[2]

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kemi katakan penyakit sopak merupakan antara penyakit di mana Rasulullah SAW memohon perlindungan daripada. Yang demikian sebagaimana diriwayatkan daripada Daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: Adapun Rasulullah berdoa (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ ) Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak , gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).

Riwayat Abu Daud (1554) Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’ut sanad hadith ini adalah sahih

Dinyatakan dalam Syarh al-Dua’ min al-Kitab wa al-Sunnah bahawa: “Ia merupakan penyakit yang menampakkan putihan yang aneh dan buruk pada anggota badan yang mengubah mengubah sifat, rupa, dan bentuk, sehingga apabila orang melihatnya, orang yang ditimpa penyakit tersebut  akan merasa sedih, gelisah, dan murung. (Lihat Syarh al-Dua’ min al-Kitab wa al-Sunnah, hlm.362 )

Mereka yang ditimpa penyakit ini dilarang untuk memasuki masjid dan bergaul dengan orang ramai kerana dikhuatiri penyakit tersebut akan berjangkit kepada orang ramai.  Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan pendapat dari para ulama yang menyatakan bahawa seseorang yang menghidap penyakit kusta dan sopak dihalang dari masuk ke dalam masjid dan (dihalang) mendirikan solat Jumaat serta tidak dibenarkan bercampur dengan orang ramai. (Lihat Asna Al-Mathalib, Zakaria Al-Ansari : 1/215).

Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam menjelaskan sebab larangan tersebut adalah kerana takutkan kemudaratan darinya (penyakit yang berjangkit) maka ketika ini perbuatan menghalang tersebut menjadi wajib. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah Al-Kubra, :1/212).

Dalam isu bersalaman dengan mereka yang terkena penyakit ini di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ada menyatakan: Menurut ulama Syafi’i, bersalaman  salam atau bersentuhan dengan orang yang mempunyai penyakit kulit seperti sopak adalah makruh  kerana yang demikian boleh menyakiti , dan terdapat risiko penularannya kepada yang sihat

Justeru kami berpendapat bahawa tidak salah untuk bersalaman dengan seseorang yang menghidap penyakit sopak, tetapi lebih baik untuk mengelakkannya kerana kebimbangan akan penularan penyakit tersebut kepada individu yang bersalaman dengannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Sopak# Diakses pada 23 November 2023

[2] Lihat: https://malaysiagazette.com/2023/07/24/sopak-bukan-penyakit-sumpahan/  Diakses pada 23 November 2023