#4580: Biografi Zu al-Syamalain Bin Abd  ‘Amru

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh kisahkan kepada kami siapa sahabat nabi yang digelar Zu al-Syamalain ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Biografi Ringkas Sahabat  Zu al-Syamalain Bin Abd  ‘Amru

Zu Syamalain nama sebenar beliau adalah ‘Amir Bin ‘Abd ‘Amru Bin Nadlah BIn ‘Amru BIn Ghabsyan Bin Salim Bin Malik Bin Afsa Bin Harithah Bin ‘Amru Bin Amir. Beliau juga dinisbahkan sebagai Abu Umar.  Beliau antara 14 sahabat yang syahid dalam peperangan Badar.

Dikatakan Zu al-Yadain yang terbunuh dalam peperangan Badar, namun Ibn Abd al-Bar menyatakan itu tidak benar, yang mati syahid dalam peperangan Badar adalah Zu Syamalain lelaki dari bani Khuza’ah. (Lihat Istizkar, 1/509 )

Namun ada dikalangan ulama yang menyatakan bahawa sahabat Rasulullah SAW Zu al-Yadain itu merupakan orang yang sama yang digelar Zu al- Syamalain. Ibn Mandah menukilkan dalam kitabnya Ma’rifah al-Sahabah bahawa: Ibn Abi Dawud menyatakan : Tempat bagi Zu al-Yadain ialah Zu al-Shamalain. (Lihat Ma’rifah al-Sahabah, hlm.571 )

Selepas Zu al-Shamalain tiba di Madinah, beliau mengambil bahagian dalam Pertempuran Badar. Ini merupakan Ghazwah pertama dan terakhir baginya. Dalam pertempuran ini, beliau mengorbankan nyawanya untuk Islam dan menjadi syahid Badri, satu keagungan yang hanya dikongsi oleh empat belas individu lain. Dikatakan bahawa sahabatnya, Yazid ibn al-Harith, tidak meninggalkannya walaupun setelah kematian, dan kedua-dua mereka syahid bersama dalam pertempuran tersebut. Zu al-Shamalain hanya berusia 30 tahun pada masa syahidnya. Beliau dan sahabatnya Yazid ibn al-Harith syahid di tangan Abu Usama Jashmi.

Pernah dikisahkan bahawa Zu al-Syamalain pernah menegur Rasulullah SAW yang terlupa rakaat pada solat sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Bakar Bin Sulaiman Bin Abi Hatjmah bahawa beliau berkata:

 أن النبيَّ ﷺ صلّى ركعتين ثم سلم فقال ذو الشمالين بنُ عبدِ عمرٍو: يا رسولَ اللهِ أقصُرتِ الصلاةُ أم نسيتَ؟ فقال رسولُ اللهِ ﷺ: لم تقصرِ الصلاةُ ولم أنسَ قال ذو الشِّمالين: قد كان ذلك يا رسولَ اللهِ فأقبل رسولُ اللهِ على الناسِ فقال: أصدق ذو اليدين؟ قالوا: نعم فقام رسولُ اللهِ ﷺ فأتمَّ ما بقيَ من الصلاةِ

Maksudnya: Rasulullah SAW solat dua rakaat kemudian memberi salam lalu Zu al-Shamalain Bin ‘Abd Amr bertanya : Wahai Rasulullah apakah anda menqasarkan solat atau terlupa ? Rasulullah SAW menjawab : Aku tidak menqasarkan solat mahupun terlupa. Zu Shamalain berkata: Wahai Rasulullah SAW salah satunya telah terjadi.Rasulullah SAW menghadap orang-orang dan bertanya: Adakah Zu al-Yadain benar ? Mereka menjawab : ya benar kemudian Rasulullah SAW bangun dan menyempurnakan solat yang masih berbaki. 

Riwayat Muslim dalam al-Tamyiz (112)

Demikianlah biografi dan kisah ringkas sahabat yang mulia, Zu al-Syamalain, yang merupakan salah seorang yang gugur syahid dalam peperangan Badar pada tahun ke-2 hijrah. Beliau adalah seorang sahabat yang terlibat secara aktif dalam pertempuran tersebut dan memberikan pengorbanan yang besar untuk Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua’la