#4581: ‘Umair bin Abu Waqqas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ceritakan sedikit berkenaan Umair bin Abu Waqqas, siapakah dia? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Nama penuh beliau ialah Umair bin Abu Waqqas bin Uhaib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab al-Qurasyi al-Zuhri. Beliau merupakan saudara lelaki kepada Sa‘ad.

Beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang awal memeluk agama Islam. Beliau di antara sahabat yang menyertai peperangan Badar dan syahid dalam peperangan tersebut, mengikut pendapat majoriti ulama. Dikatakan bahawa beliau telah dibunuh oleh ‘Amr bin ‘Abd Wudd al-‘Amiri, yang mana kemudiannya dia telah dibunuh oleh Saidina Ali pada hari peperangan Khandaq.

Ibn Hibban menyatakan, beliau termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW. Selain  itu, Ibn al-Sakan pula menyebutkan, aku tidak menemukan apa-apa riwayat daripadanya disebabkan oleh awalnya keislaman dan kematiannya.

Selain daripada itu, Ahmad dan Ishaq ada meriwayatkan hadith dengan sanad yang hasan, dan ia dari jalur Hammad bin Salamah, daripada ‘Asim, daripada Mus‘ab bin Sa‘ad, daripada bapanya, katanya:

أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَصْعَةٍ فَأَكَلَ مِنْهَا فَفَضَلَتْ فَضْلَةٌ فَقَالَ: يَجِيءُ رَجُلٌ مِنْ هَذَا الْفَجِّ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ يَأْكُلُ هَذِهِ الْفَضْلَةَ قَالَ سَعْدٌ: وَكُنْتُ تَرَكْتُ أَخِي عُمَيْرًا يَتَوَضَّأُ فَقُلْتُ: هُوَ عُمَيْرٌ فَجَاءَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ فَأَكَلَهَا

Maksudnya: “Dibawakan kepada Rasulullah SAW sebuah piring besar berisi makanan lalu Baginda memakannya dan masih ada yang berbaki (daripada makanan itu). Kemudian Baginda bersabda: ‘Seseorang lelaki dalam kalangan ahli syurga akan datang dari jalan ini, dia akan memakan bak imakanan ini.’ Sa‘ad berkata: ‘Dan ketika itu aku tinggalkan saudaraku, ‘Umair sedang berwuduk, maka aku berkata (dalam hatiku), ‘Lelaki itu pasti ‘Umair,’ akan tetapi orang yang datang ialah Abdullah bin Salam, lalu beliau memakan baki makanan tersebut.’

Riwayat Ahmad (1458)

Begitu juga terdapat hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim dari jalur Isma‘il bin Muhammad bin Sa‘ad, daripada bapa saudaranya, ‘Amir bin Sa‘ad, daripada bapanya, katanya: ‘Umair bin Abu Waqqas menawarkan diri kepada Rasulullah SAW sebagai tentera yang akan menyertai peperangan Badar. Namun, Baginda menolaknya. Maka, ‘Umair pun menangis (kerana Baginda menolaknya sebagai anggota tentera perang Badar). Kemudian, Baginda pun memberikan persetujuan (memberi keizinan kepadanya untuk menyertai peperangan Badar). Lalu diikatkan sarung pedangnya kepada dirinya.

Begitu juga dalam riwayat lain, Ibn Sa‘ad meriwayatkannya daripada al-Waqidi, daripada riwayat Abu Bakar bin Isma‘il bin Muhammad bin Sa‘ad, daripada bapanya, katanya: Aku melihat saudaraku, ‘Umair bin Abu Waqqas bersembunyi sebelum kami menawarkan diri kami kepada Rasulullah SAW pada hari peperangan Badar. Maka aku bertanya: “Apa yang terjadi denganmu, wahai saudaraku?” Beliau menjawab: “Sesungguhnya aku takut Rasulullah SAW melihatku lalu menganggapku masih lagi kecil dan menolakku (daripada ikut menyertai peperangan Badar). Sedangkan aku ingin keluar ikut berperang. Moga-moga Allah mengurniakan kepadaku mati syahid.” Maka beliau pun menawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW (untuk ikut berperang). Namun, Baginda beranggapan beliau masih lagi kecil dan menolaknya. Kemudian, ‘Umair menangis dan Baginda pun mengizinkannya (untuk ikut berperang). Sa‘ad berkata: “Aku mengikat sarung pedangnya disebabkan oleh kecilnya beliau.” ‘Umair telah terbunuh atau syahid dalam peperangan Badar ketika berusia 16 tahun. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/602-603).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)