#4583: Israel Sentiasa Mengkhianati Perjanjian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang berlaku pada perjanjian antara Hamas dan Israel pada 22 November 2023 dan hanya bertahan sehari sahaja, benarkah sifat mereka sentiasa mengkhianati janji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa Sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam mendedahkan butiran perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang mula berkuat kuasa hari ini pada pukul 7 pagi (waktu tempatan). Antara petikan perjanjian tersebut yang didedahkan Briged Al-Qassam tanpa sebarang penapisan ialah:

  • Gencatan senjata akan berkuatkuasa selama empat hari bermula pagi Jumaat (hari ini) disertai dengan pemberhentian semua tindakan ketenteraan oleh Briged Al-Qassam, kumpulan Penentang Palestin serta musuh Zionis sepanjang tempoh gencatan senjata.
  • Jet-jet pejuang Israel akan berhenti terbang sepenuhnya di selatan Semenanjung Gaza.
  • Semua jet Israel akan berhenti terbang selama enam jam sehari dari pukul 10 pagi hingga 4 petang (waktu tempatan) di Bandar Gaza dan utara Gaza.
  • Tiga banduan Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak akan dibebaskan untuk setiap seorang tahanan Zionis.
  • Dalam tempoh empat hari, seramai 50 banduan Zionis, wanita dan kanak-kanak di bawah umur 19 tahun akan dibebaskan.
  • Sebanyak 200 lori bantuan dan bekalan perubatan akan dibawa setiap hari ke semua kawasan di Semenanjung Gaza.
  • Empat lori membawa bahan api dan gas memasak akan bergerak masuk ke semua kawasan di Semenanjung Gaza setiap hari.

Pada 23 November 2023, Hamas mengesahkan bahawa gencatan senjata kemanusiaan selama empat hari yang diusahakan oleh Qatar dan Mesir telah dicapai. Pengumuman mengenainya dibuat pada akhir mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. [1]

Kumpulan pejuang Hamas berikrar tidak akan sesekali akan mengabaikan penduduk Gaza jika gencatan senjata yang dipersetujui dengan Israel terbatal sebaliknya berjanji untuk terus memperjuangkan kebebasan mereka daripada cengkaman rejim Zionis. Perjanjian gencatan senjata oleh Hamas dan Israel melibatkan pemberhentian semua tindakan ketenteraan oleh tentera pendudukan di semua kawasan di Semenanjung Gaza untuk tempoh empat hari.

Semasa tempoh gencatan senjata, Israel perlu komited untuk tidak menyerang atau menangkap sesiapa sahaja yang berada di mana-mana kawasan di Semenanjung Gaza dan meminta pergerakan bebas penduduk dari utara ke selatan di sepanjang Salah El-Din. Hamas turut bersetuju dengan pembebasan 50 tawanan wanita dan kanak-kanak sebagai pertukaran untuk pembebasan 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang dipenjarakan di Israel. Perjanjian itu turut membenarkan kemasukan ratusan trak bantuan kemanusiaan, perubatan dan bahan api ke semua kawasan di Semenanjung Gaza serta menghentikan kemaraan kenderaan tentera pendudukan Israel ke Semenanjung Gaza.

Namun begitu, seperti diduga, Israel cuba menunda perjanjian gencatan senjata yang dicapai. Pihak Israel berkata, gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan tidak akan bermula dan hanya akan dilaksanakan paling awal sekitar Jumaat. Penasihat keselamatan Israel, Tzachi Hanegbi menyatakan pembebasan sekurang-kurangnya 50 tebusan Israel dan warga asing yang ditahan oleh Hamas berada di landasan yang betul, tetapi tidak berlaku seawal dirancang pada Khamis.

“Hubungan mengenai pembebasan tebusan kami semakin maju dan berterusan. Permulaan pembebasan akan berlaku mengikut perjanjian asal antara kedua-dua pihak dan bukan sebelum Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan. Malah, penghentian pertempuran juga tidak berlaku pada hari Khamis seperti yang dijangkakan.

Kelewatan itu memberi pukulan hebat kepada keluarga yang terdesak untuk melihat orang tersayang pulang ke pangkuan mereka begitu juga kepada lebih dua juta penduduk Gaza yang berdoa untuk menamatkan peperangan dan kemusnahan selama hampir 47 hari.

Menteri Dalam Negeri Israel, Itamar Ben-Gvir menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘kesilapan bersejarah’ yang akan memberanikan Hamas dan mempertaruhkan nyawa tentera Israel. [2]

Israel Sentiasa Mengkhianati Perjanjian Damai dengan Palestin

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتَّ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِى كُلِّ مَرَّةٍۢ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ ٥٦ فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِى ٱلْحَرْبِ فَشَرِّدْ بِهِم مَّنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ٥٧ وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِن قَوْمٍ خِيَانَةًۭ فَٱنۢبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَآءٍ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْخَآئِنِينَ

Maksudnya: “Mereka ialah golongan yang telah mengikat perjanjian bersamamu; kemudian setiap kali suatu perjanjian dimeterai, mereka melanggar perjanjian itu sedang mereka tidak takut kepada Allah. Oleh itu, jika engkau mendapati mereka dalam peperangan, maka hancurkanlah mereka, supaya golongan lain berasa gerun dengan perbuatan itu; mudah-mudahan mereka mengambil peringatan. Dan jika engkau bimbang berlakunya pengkhianatan daripada suatu kaum, maka batalkan perjanjian itu sehingga kedua-dua pihak jelas tentang pembatalan tersebut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai para pengkhianat”

(Surah al-Anfal: 56-58)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya bahawa jika Baginda berasa khuatir  akan pengkhianatan suatu golongan yang telah mengadakan perjanjian perdamaian, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Baginda membatalkan perjanjian tersebut dengan mereka kerana mereka telah melanggarnya dan kedua belah pihak perlu mengetahui tentang pembatalan perjanjian itu dengan cara yang jelas tanpa sebarang penipuan mahupun rahsia. Kini mereka bermusuhan secara terang-terangan. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melakukan perbuatan khianat, sekalipun terhadap orang kafir. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 595)

Allah SWT juga mengingatkan bahawa janganlah orang-orang kafir itu menyangka mereka akan terlepas daripada Allah SWT dan lari daripada penguasaan-Nya, bahkan mereka berada di bawah genggaman kekuasaan-Nya dan sekali-kali tidak akan dapat lari daripada penguasaan-Nya, sama ada mereka dibunuh ketika di dunia atau diazab dengan api neraka di akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Qasimi, 5/315)

Perkataan Israel pada asalnya bererti pilihan dan ia merupakan satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub A.S. Justeru, Bani Israel merupakan susur galur keturunan Nabi Yaakub A.S. Namun, sekarang Bani Israel lebih dikenali dengan sebutan Yahudi atau Zionis. Sebagai bangsa pilihan, mereka telah dianugerahkan pelbagai limpahan nikmat Allah SWT yang tidak diberikan kepada bangsa-bangsa lain. Di antara nikmat tersebut ialah ramai para nabi dan rasul berasal daripada kalangan mereka, mereka telah diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan bala tenteranya, diturunkan makanan dari syurga iaitu man dan salwa dan lain-lain daripada nikmat Ilahi yang tidak terhitung. Kesemua nikmat itu Allah rakamkan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِىٓ أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّـٰىَ فَٱرْهَبُونِ

Maksudnya: “Wahai Bani Israel! Ingatlah segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian kamu dengan-Ku, agar Aku juga menyempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu, dan hendaklah kamu merasa takut hanya kepada-Ku.”

(Surah al-Baqarah: 40)

Biarpun kenikmatan demi kenikmatan Allah SWT limpahkan kepada bangsa Yahudi tersebut, namun mereka tetap berubah menjadi bangsa yang lupa diri, sombong, mempermainkan ayat-ayat Allah SWT dan ajaran agama, bahkan mereka juga tergamak membunuh para da‘i dan para nabi mereka sendiri yang sentiasa menyeru mereka ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya golongan yang mengingkari ayat-ayat Allah yang diturunkan kepada mereka, membunuh para nabi tanpa suatu alasan yang benar dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah kepada mereka khabar gembira tentang azab yang amat pedih.” (Surah Ali ‘Imran: 21)

Demikianlah juga perilaku kaum Yahudi pada zaman Rasulullah SAW yang hampir sama dengan jejak langkah nenek moyang mereka yang terdahulu. Mereka sangat membenci dan dengki terhadap Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Oleh itu, mereka telah berusaha  keras dengan pelbagai cara dan helah, sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi agar kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur seperti mereka. Perilaku jahat kaum Yahudi ini, telah dirakamkan di dalam al-Quran sebagai satu pengajaran kepada umat Islam selepasnya serta bertujuan untuk mendedahkan sikap dan perilaku sebenar mereka sebagaimana firman Allah SWT:

وَدَّ كَثِيرٌۭ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًۭا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَٱعْفُوا۟ وَٱصْفَحُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

Maksudnya: “Ramai dalam kalangan ahli Kitab yang berharap agar mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir selepas kamu beriman kerana hasad dengki yang ada dalam diri mereka walaupun sebenarnya kebenaran Islam itu sudah jelas kepada mereka. Maka maafkanlah mereka dan berlapang dadalah sehingga Allah memberikan perintah berkenaan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa  atas segala sesuatu.”

(Surah al-Baqarah: 109)

Sejarah Islam juga telah mencatatkan bahawa kaum Yahudi terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janjinya di mana hampir semua perjanjian yang telah termeterai antara mereka dengan Rasulullah SAW dikhianati mereka. Oleh kerana itu, bukanlah suatu perkara yang menghairankan, jika sekarang pun rejim Yahudi di Israel masih tetap mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji sepertimana yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terdahulu. Mereka bukan sahaja telah mengkhianati seluruh isi perjanjian damai dengan bangsa Palestin, malahan mereka dengan bongkaknya tidak mahu tunduk kepada resolusi-resolusi yang telah diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu perdamaian Timur Tengah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/188-189)

Kesimpulan

Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dahulu dan sekarang ini sekaligus membuktikan kebenaran wahyu Ilahi yang mendedahkan tembelang dan sikap mereka sebenarnya terhadap isu keagamaan, kemanusiaan dan keamanan sejagat. Mereka merupakan golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali. Oleh kerana itu, tidak perlu lagi diusahakan sebarang rundingan ataupun perjanjian damai, apatah lagi diadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mereka. Bahkan umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah, harta benda, tanah air dan agama mereka. Manakala bagi pihak umat Islam pula, mereka sewajibnya menyokong perjuangan umat Islam Palestin melalui sumbangan material, jiwa raga dan doa pengharapan kepada Allah SWT supaya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam Palestin dan seterusnya keadilan Islam akan dapat ditegakkan.

Begitulah yang terjadi dalam Taufan al-Aqsa pada 22 November 2023, dikhabar perjanjian atau hudnah selama 4 hari dan juga pertukaran tawanan antara golongan al-Qassam atau Hamas dengan rejim Zionis dan kurang dari 24 jam, kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafi dan membatalkannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.kosmo.com.my/2023/11/24/butiran-perjanjian-gencatan-senjata-gaza/. Diakses pada 24 November 2023

[2] Lihat https://www.utusan.com.my/luar-negara/2023/11/israel-mungkin-batal-gencatan-senjata-hamas-tidak-melatah/ . Diakses pada 24 November 2023