#4587: Hubungan Muslim dengan Selain Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan hubungan antara orang muslim dan kafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كَيْفَ يَكُونُ لِلْمُشْرِكِينَ عَهْدٌ عِندَ ٱللَّهِ وَعِندَ رَسُولِهِۦٓ إِلَّا ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتُّمْ عِندَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۖ فَمَا ٱسْتَقَـٰمُوا۟ لَكُمْ فَٱسْتَقِيمُوا۟ لَهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Bagaimana mungkin ada perjanjian damai dari sisi Allah dan rasul-Nya dengan golongan musyrikin yang mencabuli perjanjian itu; kecuali kaum musyrikin yang telah kamu adakan perjanjian dengan mereka berhampiran Masjid al-Haram semasa perjanjian Hudaibiyah. Selagi mereka berlaku jujur terhadap kamu, maka hendaklah kamu berlaku jujur juga terhadap mereka kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa.”

(Surah al-Taubah: 7)

Frasa (كَيْفَ يَكُونُ لِلْمُشْرِكِينَ) ialah pertanyaan yang memberi maksud mengingkari serta menafikan perjanjian bagi golongan musyrikin. Bahkan ia memberikan makna istihza’ (mempersendakan sikap golongan musyrikin). Yakni mana mungkin wahai orang yang beriman dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW bahawa golongan musyrikin mempunyai perjanjian dengan Allah SWT dan rasul-Nya? Serta ditunaikan janji bagi mereka? Juga mereka dibiarkan aman damai bergerak di seluruh negeri?! Maksudnya, tiada perjanjian dengan mereka. Bahkan menjadi kewajipan ke atas orang Mukmin agar memerangi mereka di mana sahaja mereka ditemui. Kecuali orang yang memberikan janji di Masjidil Haram. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan orang Mukmin supaya menunaikan janji dengan mereka serta beriltizam dengan mereka selagimana mereka juga beriltizam dengan orang Mukmin.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/225)

Hubungan Muslim dengan Kafir

Secara umumnya orang kafir terbahagi kepada dua jenis. Pertama: kafir harbi iaitu orang kafir yang memerangi Islam serta menunjukkan sikap penentangan. Kedua: kafir zimmi iaitu golongan yang mendapat perlindungan negara Islam. Kedua-dua kumpulan ini adalah kafir dari segi akidah. Namun cara hubungan muslim dengan keduanya adalah berbeza.

Kafir harbi idalah golongan yang wajib diperangi serta wajib berwaspada dan bersiap-siaga setiap masa bagi menghadapi mereka. Jika mereka menyerang umat Islam atau negara Islam atau negara yang mendapat perlindungan negara Islam, maka ketika itu jihad menjadi fardu ain. Bahkan negara Islam dibolehkan memerangi mereka terlebih dahulu. Tawanan perang mereka boleh dijadikan hamba dan harta mereka menjadi rampasan perang. Bahkan berjihad melawan mereka adalah kemuncak jihad fi sabilillah.

Manakala kaedah interaksi dengan kafir zimmi pula adalah berbeza. Oleh kerana mereka berada di bawah naungan negara Islam serta mematuhi undang-undang negara Islam, maka negara berperanan menjaga kepentingan mereka. Namun, Islam mewajibkan jizyah kepada mereka sebagai satu jaminan kepatuhan dan ketaatan mereka kepada negara Islam.

Mereka berhak mengamalkan peraturan agama mereka selagimana tidak bercanggah dengan undang-undang negara. Bahkan mereka diberi hak untuk memperoleh penghakiman dan keputusan hukum berdasarkan agama mereka. Namun begitu, mereka juga diberi pilihan jika ingin berhukum dengan undang-undang Islam.

Hak-hak mereka tetap terjaga sehinggakan jika pencabulan dilakukan oleh seorang Muslim terhadap mereka, maka Muslim tersebut akan dikenakan hukuman apabila disabitkan kesalahannya. Semua hak ini terjamin selagimana mereka patuh kepada undang-undang negara Islam. Namun, jika mereka enggan membayar jizyah atau mula menunjukkan penentangan terhadap negara Islam, maka hak keistimewaan tersebut akan dilucutkan. Apabila mereka mula melanggar perjanjian, maka seolah-olah mereka tidak pernah membuat perjanjian tersebut dan negara Islam boleh melayan mereka sama dengan golongan kafir harbi. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/227-228)

Kesimpulan

Muamalat Mukmin dengan orang kafir adalah selagimana mereka berpegang dengan janji. Apabila mereka mencabul perjanjian, maka seolah-olah tiada lagi jaminan keamanan buat mereka. Kekufuran dan keimanan tidak akan bertemu selama-lamanya sekalipun kekufuran dipersembahkan dalam bentuk yang baik dan menarik hati. Justeru, elakkan kekeliruan dengan mempelajari ilmu yang membezakan kedua-duanya. Golongan kafir sentiasa mencari jalan mencabul perjanjian yang dibuat dengan orang Mukmin lebih-lebih lagi apabila mereka menguasai dan memerintah orang Mukmin.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”