#4588: Hukum Persenda Ayat Allah dan Hukum Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bagi orang yang mempersendakan ayat Allah dan hukum Allah yang telah sabit dalam al-Quran dan al-Sunnah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mempersendakan sesuatu yang telah sabit dalam al-Quran dan al-Sunnah dianggap sebagai perbuatan kufur, berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.” Katakanlah, “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?”

(Surah al-Taubah: 65)

Ayat ini turun kepada sebahagian orang munafik ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya, katanya: “Abdullah ibn Wahab berkata: Hisyam bin Sa‘d mengkhabarkan kepadaku, daripada Zaid bin Aslam, daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Seorang lelaki berkata ketika perang Tabuk dalam satu majlis, ‘Aku dapati para qurra’ kita (orang yang mahir membaca al-Quran dalam kalangan kita), adalah orang yang paling menjaga perut, paling pembohong dan paling pengecut apabila bertempur dengan musuh.’ Seorang lelaki yang berada di masjid ketika itu berkata, ‘Engkau pembohong, dan engkau adalah munafik! Aku pasti akan memberitahu Rasulullah SAW tentang hal ini.’ Lalu berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, lalu ayat di atas diturunkan.” Abdullah bin Umar berkata: “Aku melihat lelaki itu bergantung pada tali kekang unta Rasulullah SAW dan batu terkenanya, sambil dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Adakah dengan Allah dan Rasul-Nya kamu mempersendakan? Janganlah kamu memohon kemaafan, kerana kamu telah kufur selepas keimanan kamu.’” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/171)

Menurut imam al-Nawawi, perbuatan mempersendakan agama bagi seorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/293)

Ibn Hajar al-Haitami pula menyatakan, perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan” atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama. (Lihat al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/48)

Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Kesimpulan

Justeru mempersenda dan mempermain-mainkan hukum Allah SWT sebagaimana dilakukan oleh ahli kitab dan golongan munafik adalah kesalahan yang besar yang boleh menyebabkan kekufuran. Termasuk dalam kategori mempermain atau mempersenda hukum Allah SWT ialah menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)