#4589: Kelebihan Abu Bakar Bersama Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan pengiktirafan al-Quran terhadap Abu Bakar al-Siddiq R.A dalam musafir hijrah mereka berdua?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama Abu Bakar al-Siddiq ialah Abdullah bin Abu Quhafah Uthman bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Taimi. Beliau adalah  sahabat yang paling rapat dengan Nabi SAW. Ketika hijrahnya Baginda SAW ke Madinah, beliau satu-satunya sahabat yang menemani Baginda dalam perjalanan tersebut. Beliau digelar al-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Nabi SAW tatkala orang ramai mengatakan Baginda berdusta dalam peristiwa Isra’ Mi‘raj.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan yang membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Zumar: 33)

Imam Ibn Jarir meriwayatkan dengan sanadnya kepada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa yang dimaksudkan dengan lafaz “وَالَّذِي جَاء بِالصِّدْقِ” (iaitu dan orang yang membawa kebenaran) ialah Nabi Muhammad SAW. Manakala yang dimaksudkan pula dengan lafaz “ وَصَدَّقَ بِهِ” (iaitu dan yang membenarkannya) ialah Abu Bakar al-Siddiq R.A. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/34).

Al-Sya‘bi berkata: “Allah SWT telah memilih Abu Bakar dengan empat ciri yang tidak dimiliki oleh orang lain, iaitu:

  • Allah SWT memanggilnya al-Siddiq dan tidak ada orang lain selain dia yang diberi nama itu.
  • Dia adalah pendamping Rasulullah SAW di dalam gua ketika perjalanan hijrah.
  • Dia adalah sahabat Nabi satu-satunya ketika hijrah.
  • Ketika zaman Nabi, Baginda memerintahkan Abu Bakar untuk memimpin solat dan orang-orang Muslim ada di sana, dan bersaksi.

Dalam sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:

وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلًا مِنْ أُمَّتِي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ، وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ، لاَ يَبْقَيَنَّ فِي المَسْجِدِ بَابٌ إِلَّا سُدَّ، إِلَّا بَابُ أَبِي بَكْرٍ

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menjadikan teman yang paling rapat daripada kalangan umatku, sudah tentu aku akan memilih Abu Bakar. Akan tetapi, mengumumkan persaudaraan dan kasih sayang kepada orang Islam itu lebih utama. Sesungguhnya, tidak ada satu pun pintu untuk masuk ke masjid yang kekal melainkan akan tertutup, kecuali pintu Abu Bakar.”

Riwayat al-Bukhari (466)

‘Amr bin al-‘As R.A pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ: «عَائِشَةُ» قُلْتُ: مِنَ الرِّجَالِ؟ قَالَ: «أَبُوهَا» قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «عُمَرُ» فَعَدَّ رِجَالًا، فَسَكَتُّ مَخَافَةَ أَنْ يَجْعَلَنِي فِي آخِرِهِمْ

Maksudnya: “Siapakah manusia yang paling engkau cintai? Baginda menjawab: ‘Aisyah.’ Aku berkata: ‘Daripada lelaki?’ Baginda berkata: ‘Bapanya.’ Aku berkata: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Umar.’ Lalu Baginda menyebutkan beberapa orang. Aku pun diam kerana khuatir Baginda akan menjadikanku yang terakhir di antara mereka.

Riwayat al-Bukhari (4358) dan Muslim (6328)

Selain itu, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الجَنَّةِ: يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ، فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah, maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga, ‘Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan. Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat, maka akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.’ Setelah itu, Abu Bakar R.A bertanya: ‘Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?’ Baginda menjawab: ‘Ya, dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.’

Riwayat al-Bukhari (1897) dan Muslim (1705)

Abu Bakar R.A seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Ibn al-Jauzi menyatakan bahawa sifat alami Abu Bakar sangat terkenal melalui kesolehannya, ketakutannya terhadap Allah, dan kerendahan hati. (Lihat al-Tabsirah, 1/400).

Pengiktirafan al-Quran Terhadap Status Saidina Abu Bakar R.A Sebagai Sahabat

Saidina Abu Bakar bin Abu Quhafah R.A merupakan sahabat yang agung kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍۢ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ ٱلْعُلْيَا ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Jika kamu tidak menolong Nabi Muhammad, maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya; iaitu ketika kaum kafir mengusirnya dari Makkah dalam keadaan Baginda ketika itu hanya berdua dan ketika mereka berdua berlindung di dalam gua, Baginda berkata kepada sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq, “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.”

(Surah al-Taubah: 40)

Fakhruddin al-Razi menyatakan, kalimah sahib (صَاحِبِه) dalam ayat di atas merujuk kepada Saidina Abu Bakar, dan hal ini merupakan perkara yang telah disepakati secara ijmak oleh para ulama. Oleh kerana itulah Sufyan al-Thauri pernah berkata sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Taimiyyah, bahawa sesiapa yang mengingkari status Abu Bakar sebagai sahabat Nabi, maka dia telah menjadi kafir kerana ia bererti dia telah mengingkari kalam Allah SWT. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 16/51)

Al-Qurtubi menyatakan bahawa sesiapa yang mengingkari status Saidina Umar dan Uthman sebagai sahabat, maka dia merupakan seorang pendusta dan ahli bidaah, namun pengingkar status Abu Bakar sebagai sahabat akan dianggap sebagai kafir. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/146)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa jelaslah bahawa antara kelebihan Abu Bakar R.A yang mana al-Quran mengiktirafnya ketika mana beliau bersama dengan Rasulullah SAW ketika berada di dalam gua semasa penghijrahan mereka ke Madinah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”