#4592: Asbab al-Nuzul Ayat 74 Surah al-Taubah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan sebab turunya ayat 74 Surah al-Taubah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ مَا قَالُوا۟ وَلَقَدْ قَالُوا۟ كَلِمَةَ ٱلْكُفْرِ وَكَفَرُوا۟ بَعْدَ إِسْلَـٰمِهِمْ وَهَمُّوا۟ بِمَا لَمْ يَنَالُوا۟ ۚ وَمَا نَقَمُوٓا۟ إِلَّآ أَنْ أَغْنَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ مِن فَضْلِهِۦ ۚ فَإِن يَتُوبُوا۟ يَكُ خَيْرًۭا لَّهُمْ ۖ وَإِن يَتَوَلَّوْا۟ يُعَذِّبْهُمُ ٱللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًۭا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَمَا لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍۢ

Maksudnya: “Mereka bersumpah dengan nama  Allah bahawa mereka tidak mengatakan sesuatu yang buruk terhadapmu, padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan yang kufur itu, lalu terzahirlah kekufuran mereka setelah dahulunya mereka menzahirkan keislaman. Mereka juga ingin melakukan sesuatu yang mereka tidak dapat mencapainya iaitu membunuh dirimu. Mereka tidak mencaci dan mencela Islam melainkan kerana kufur dengan nikmat walaupun setelah Allah dan rasul-Nya memberi kesenangan kepada mereka daripada kurniaan-Nya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; sebaliknya jika mereka berpaling, Allah akan menyeksa mereka dengan azab yang sangat pedih di dunia dan di akhirat; serta mereka tidak akan mendapati sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga penolong.”

(Surah al-Taubah: 74)

Menjawab persoalan di atas, sebab nuzul ayat ini adalah sebagaimana riwayat ‘Urwah, katanya:

 كَانَتْ أُمُّ عُمَيْرِ بْنِ سَعِيدٍ عِنْدَ الْجُلَاسِ بْنِ سُوَيْدٍ فَقَالَ الْجُلَاسُ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ: إِنْ كَانَ مَا يَقُولُ مُحَمَّدٌ حَقًّا فَلَنَحْنُ شَرٌّ مِنَ الْحَمِيرِ، فَسَمِعَهَا عُمَيْرٌ فَقَالَ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَى إِنْ لَمْ أَرْفَعْهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَنْزِلَ الْقُرْآنُ فِيهِ، وَأَنْ أُخْلَطَ بِخَطِيئَتِهِ، وَلَنِعْمَ الْأَبُ هُوَ لِي، فَأَخْبَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَدَعَا الْجُلَاسَ فَعَرَفَهُ وَهُمْ يَتَرَحَّلُونَ فَتَحَالَفَا، فَجَاءَ الْوَحْيُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَكَتُوا فَلَمْ يَتَحَرَّكْ أَحَدٌ، وَكَذَلِكَ كَانُوا يَفْعَلُونَ لَا يتَحَرَّكُونَ إِذَا نَزَلَ الْوَحْيُ، فَرُفِعَ عنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: (يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ مَا قَالُوا۟ وَلَقَدْ قَالُوا۟ كَلِمَةَ ٱلْكُفْرِ ) [التوبة: 74]- حَتَّى – (فَإِن يَتُوبُوا۟) [التوبة: 74]. فَقَالَ الْجُلَاسُ: اسْتَتِبْ لِي رَبِّي، فَإِنِّي أَتُوبُ إِلَى اللَّهِ وَأَشْهَدُ لَقَدْ صَدَقَ ( وَمَا نَقَمُوٓا۟ إِلَّآ أَنْ أَغْنَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ مِن فَضْلِهِۦ) [التوبة: 74].

Maknanya: “Ibu kepada ‘Umair bin Sa‘id berada bersama al-Julas bin Suwaid. Al-Julas bin Suwaid berkata ketika perang Tabuk: ‘Jika apa yang dikatakan oleh Muhammad itu benar, maka kita lebih buruk daripada keldai.’ ‘Umair mendengarnya (yang ketika itu bersama ibunya) lalu dia berkata: ‘Demi Allah sesungguhnya aku takut jika aku tidak menyampaikannya kepada Nabi SAW nescaya akan turun al-Quran mengenainya (menghukum atau mencelanya), dan aku dikira turut sama (bersetuju) dengan kesalahannya, dan al-Julas adalah sebaik-baik bapa kepadaku (kerana al-Julas selalu memberikan belanja kepadanya sehingga dia dianggap seperti bapa).’ ‘Umair memberitahu Rasulullah SAW. Baginda memanggil al-Julas dan Baginda memberitahunya sambil mereka sedang menunggang, kedua-duanya saling bersumpah. Lalu wahyu datang kepada Nabi SAW, mereka diam dan tiada seorang pun yang bergerak. Begitulah yang mereka lakukan, tidak bergerak apabila turunnya wahyu. Apabila wahyu selesai diturunkan kepada Nabi SAW maka Baginda pun bersabda: ‘(يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ مَا قَالُوا۟ وَلَقَدْ قَالُوا۟ كَلِمَةَ ٱلْكُفْرِ) hingga: (فَإِن يَتُوبُوا۟).’ Al-Julas berkata: ‘Mohonlah keampunan untukku daripada Tuhanku, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dan bersaksi bahawa ‘Umair berkata benar: ( وَمَا نَقَمُوٓا۟ إِلَّآ أَنْ أَغْنَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ مِن فَضْلِهِۦ).’”

Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (18303)

Imam al-Tabari berkata: Berlaku perbezaan pendapat di kalangan ahli tafsir mengenai apa yang diturunkan dalam ayat ini, ada pendapat yang menyatakan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah berkenaannya, iaitu dia menyumpah dengan nama Allah terhadap apa yang dikatakan. Sebahagian yang lain mengatakan: yang dimaksudkan dengan turunnya ayat ini ialah al-Julas bin Suwaid bin al-Samit.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/569)

Ibn Kathir berkata: “Dan tiada dosa yang dimiliki Rasulullah di sisi mereka melainkan Allah telah menyegerakan mereka dengan berkat-Nya dan limpahan rahmat utusan-Nya. Jika kebahagiaan diberikan kepada mereka, maka Allah akan memberi petunjuk kepada mereka sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah. Seperti sabda Rasulullah SAW kepada Ansar: “Bukankah Aku temui kamu dalam keadaan sesat, lalu Allah memberi petunjuk kepada kamu melalui Aku? Dan bukankah kamu berada dalam keadaan terpecah-belah, lalu Allah menyatukan kamu melalui Aku? Dan bukankah kamu miskin, lalu Allah mencukupkan kamu melalui Aku?” Setiap kali beliau mengatakan sesuatu, mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Dan bentuk ini diucapkan di tempat yang tidak ada kesalahan, sebagaimana yang diucapkan oleh Allah Taala: “Dan mereka tidak mendendam ke atas mereka melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” (Surah al-Buruj: 8). Dan sebagaimana yang diucapkan oleh baginda SAW bahawa Ibn Jamil tidak mendendam kepadanya melainkan kerana dia miskin, lalu Allah mencukupkan dia.

Kemudian Allah Taala memanggil mereka untuk bertaubat, lalu Allah berfirman: “Jika mereka bertaubat, itu lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, Allah akan menyiksa mereka dengan seksaan yang pedih di dunia dan akhirat.” Iaitu, jika mereka terus berjalan di jalan mereka, Allah akan menyeksa mereka dengan pembunuhan, kegelapan, dan kesedihan, di dunia, iaitu dengan hukuman yang menyakitkan dan dalam akhirat, iaitu dengan seksaan, hukuman, kehinaan, dan kalah. “Dan mereka tidak akan memperoleh pelindung dan pembela di muka bumi.” Iaitu, tidak ada seorang pun yang akan membahagiakan atau menolong mereka, dan tidak ada yang dapat memberikan kebaikan kepada mereka atau menjauhkan keburukan dari mereka. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/183)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”