#4593: ‘Ubaidah bin al-Harith

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar seorang ustaz di surau menceritakan tentang syuhada’ Badr, antaranya ‘Ubaidah bin al-Harith. Tetapi kisahnya terlalu ringkas, dan namanya pula saya baru pertama kali dengar. Boleh ustaz kisahkan sedikit tentang beliau?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Nama beliau adalah ‘Ubaidah bin al-Harith ibn al-Muttalib bin ‘Abd al-Manaf bin Qusai al-Qurasyi al-Muttalibi, dan ibu beliau berasal dari Bani Thaqif.

‘Ubaidah ini merupakan salah seorang yang terawal memeluk Islam, dan usianya lebih tua 10 tahun berbanding Rasulullah SAW. Beliau telah berhijrah ke Madinah bersama 2 orang saudaranya, al-Tufail dan Husain. Beliau ini orangnya sederhana tinggi dalam kalangan lelaki, rupawan, dan mempunyai kedudukan istimewa di sisi Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Yazid bin Ruman bahawa ‘Ubaidah bin al-Harith ini memeluk Islam di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Dan ketika peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan beliau dengan Saidina Bilal bin Rabah R.Anhuma. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/37)

Kisah Ketika Peperangan al-Badr

Rasulullah SAW memerintahkan beliau untuk mengetuai 60 orang tentera yang mempunyai tunggangan, dan beliau juga ditugaskan untuk memegang panji Islam. Panji tersebut merupakan panji pertama yang dipegang dalam sejarah peperangan Islam.

‘Ubaidah ini antara orang yang berdepan dengan pembesar-pembesar musyrikin ketika peperangan Badr sebagai permulaan sebelum meletusnya peperangan secara besar-besaran. 3 orang pahlawan berkuda Quraisy; ‘Utbah bin Rabi‘ah, Syaibah bin Rabi‘ah dan al-Walid bin ‘Utbah, menentang 3 orang dari pasukan Muslim; ‘Ubaidah bin al-Harith, Saidina Hamzah dan Saidina ‘Ali R.Anhum.

Dikatakan bahawa kewafatan ‘Ubaidah bin al-Harith adalah kerana kecederaan beliau ketika pertempuran. Saidina ‘Ali dan Saidina Hamzah ketika peperangan itu berjaya membunuh ‘Utbah, kemudian mereka membawa ‘Ubaidah yang ketika itu dalam keadaan nafas terakhirnya keluar dari medan peperangan. Beliau wafat di al-Safra’ pada hari ke 10 terakhir dalam bulan Ramadhan. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/256)

Beginilah serba ringkas yang dapat saya kongsikan berkenaan sahabat yang mulia ini. Semoga Allah SWT mengganjari beliau dengan ganjaran yang besar atas pengorbanan beliau memperjuangkan agama Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Wallahu a‘lam