#4595: Mahja‘ bin Soleh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ceritakan sedikit berkenaan latar belakang Mahja‘ bin Soleh yang merupakan salah seorang syahid dalam peperangan Badar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Dalam menjawab soalan di atas, beliau ialah Mahja‘ bin Soleh maula Umar bin al-Khattab. Ibn Ishaq berpendapat, beliau berasal dari Yaman. Namun, Ibn Hisyam pula menyebutkan, beliau pada asalnya dari suku ‘Ak, kemudian dia dijadikan tawanan suku Saba’ lalu Umar memberinya kebebasan dan membebaskannya. Beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang awal memeluk agama Islam, menyertai peperangan Badar dan mati terbunuh sebagai syahid dalam peperangan tersebut.

Musa bin ‘Uqbah menyebutkan, beliau adalah yang awal syahid dalam peperangan itu. Begitu juga Ibn ‘Abd al-Barr turut menyatakan, beliau adalah yang awal terbunuh dalam kalangan tentera Muslimin di antara dua barisan (tentera yang bertentangan), anak panah datang kepadanya dari arah barat dan membunuhnya. Dikatakan orang yang telah membunuhnya ialah ‘Amir bin al-Hadhrami.[1]

Selain itu, Ibn Mandah ada menyebutkan dari jalur al-Kalbi, daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas bahawasanya beliau termasuk dalam kalangan orang yang diturunkan ayat ini iaitu firman Allah SWT:

وَلَا تَطْرُدِ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata.

(Surah al-An‘am: 52)

Inilah sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Hafiz Ibn hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (6/182-183) dan Ibn ‘Abd al-Barr dalam kitabnya, al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab (4/1486).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota kaki:

[1] Lihat https://ar.islamway.net/article/85090/-4-مهجعبنصالحالعكي. Diakses pada 24 November 2023.