#4596: Harithah bin Suraqah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca bahawa salah seorang yang syahid dalam Perang Badar bernama Harithah bin Suraqah. Boleh jelaskan sedikit tentang biografinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Berkenaan persoalan di atas, beliau ialah Harithah bin Suraqah bin al-Harith bin ‘Adi bin Malik. (Lihat al-Maghazi oleh al-Waqidi, 1/163).  Beliau merupakan salah seorang sahabat dari Bani ‘Adi bin al-Najjar, dari al-Khazraj. Beliau memeluk Islam dan Nabi SAW mempersaudarakan beliau dengan al-Sa’ib bin Uthman bin Maz’un.

Beliau ikut serta dalam peperangan Badar bersama Nabi SAW, di mana beliau terbunuh syahid. Beliau adalah orang pertama dari kalangan Ansar yang terbunuh dalam peperangan itu. Hibban ibn al-Arqah membunuhnya dengan anak panah ketika beliau sedang minum di sebuah telaga dan mengenai leher Harithah, lantas membawa kepada kematiannya.

Kemudian ibunya, al-Rabi’ bint al-Nadhr datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku tahu kedudukan Harithah daripadaku. Sekiranya dia berada di dalam syurga, maka aku akan bersabar. Jika tidak, aku apa yang perlu aku lakukan?” Lalu Nabi SAW berkata:

 يَا أُمَّ حَارِثَةَ، إِنَّهَا لَيْسَتْ بِجَنَّةٍ وَاحِدَةٍ، وَلَكِنَّهَا جِنَانٌ كَثِيرَةٌ، وَإِنَّ حَارِثَةَ لَفِي أَفْضَلِهَا.

Maksudnya: “Ya Ummu Harithah, ia bukanlah satu syurga, tetapi ia mempunyai banyak (tingkatan) syurga. Dan sesungguhnya Harithah berada di syurga yang terbaik.”

Riwayat Ahmad (3/124), Abu Ya’la (6/219) dan al-Tabarani dalam al-Kabir (3/231). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih mengikut syarat Muslim. (Lihat takhrij al-Musnad, 12252)

Dalam riwayat lain, daripada Anas R.A, katanya:

أُصِيبَ حَارِثَةُ يَوْمَ بَدْرٍ وَهُوَ غُلاَمٌ، فَجَاءَتْ أُمُّهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، قَدْ عَرَفْتَ مَنْزِلَةَ حَارِثَةَ مِنِّي، فَإِنْ يَكُ فِي الجَنَّةِ أَصْبِرْ وَأَحْتَسِبْ، وَإِنْ تَكُنِ الأُخْرَى تَرَى مَا أَصْنَعُ؟ فَقَالَ: «وَيْحَكِ، أَوَهَبِلْتِ، أَوَجَنَّةٌ وَاحِدَةٌ هِيَ؟ إِنَّهَا جِنَانٌ كَثِيرَةٌ، وَإِنَّهُ لَفِي جَنَّةِ الفِرْدَوْسِ».

Maksudnya: “Harithah R.A terbunuh dalam peperangan Badar dan ketika itu dia masih seorang budak, maka ibunya datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah tahu kedudukan Harithah di sisiku. Maka sekiranya dia di syurga maka aku akan bersabar dan mengharapkan pahala. Namun sekiranya yang lain, engkau berpandangan apa yang patut aku lakukan?” Maka Baginda bersabda: “Betapa bertuahnya engkau![1]  Adakah engkau telah hilang akal? Adakah syurga itu hanya satu? Sesungguhnya syurga itu banyak, dan sesungguhnya dia berada di syurga Firdaus.”

Riwayat al-Bukhari (6550), al-Tirmizi (3174), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8232) dan Ahmad (12252)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota kaki:

[1] Ataupun, “Alangkah kasihan engkau ini.”