#4597: Umair bin al-Humam 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Umair bin al-Humam yang termasuk ahli Badar yang syahid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Beliau ialah ‘Umair bin al-Humam bin al-Jamuh bin Zaid bin Haram bin Ka’ab. Ibunya ialah al-Nuwar bint ‘Amir bin Nabi’ bin Zaid bin Haram bin Ka’ab. Rasulullah SAW telah mempersaudarakan beliau dengan ‘Ubaidah bin al-Harith. Beliau telah terbunuh syahid ketika peperangan Badar. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad, 3/565)

Daripada Ikrimah, bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari Badar:

قُومُوا إِلَى جَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ، فَقَالَ عُمَيْرُ بْنُ الْحُمَامِ : بَخٍ بَخٍ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لِمَ تُبَخْبِخُ ؟ ، قَالَ : أَرْجُو أَنْ أَكُونَ مِنْ أَهْلِهَا ، قَالَ : فَإِنَّكَ مِنْ أَهْلِهَا ، قَالَ : فَانْتَثَلَ تَمَرَاتٍ مِنْ قَرَنِهِ فَجَعَلَ يَلُوكُهُنَّ ، ثُمَّ قَالَ : وَاللَّهِ لَئِنْ بَقِيتُ حَتَّى أَلُوكَهُنَّ إِنَّهَا لَحَيَاةٌ طَوِيلَةٌ ، فَنَبَذَهُنَّ وَقَاتِلَ حَتَّى قُتِلَ.

Maksudnya: “Bangkitlah menuju ke Syurga yang luasnya meliputi langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” Lalu ‘Umair bin al-Humam berkata: “Bakh, bakh.” Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Kenapa kamu sebut bakh, bakh.” Dia menjawab: “Aku berharap untuk menjadi salah seorang daripada penduduknya.” Baginda bersabda: “Kamu adalah salah seorang daripada penduduknya.” Kata perawi: “Beberapa biji kurma telah terjatuh, lalu dia pun mengutipnya. Kemudian dia berkata: “Demi Allah, jika aku terus mengutipnya, sesungguhnya itu adalah kehidupan yang panjang.” Lantas dia terus mencampakkannya dan berperang sehinggalah beliau terbunuh syahid.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/566)

Daripada ‘Asim bin ‘Umar bin Qatadah, katanya: Orang Ansar pertama yang terbunuh dalam Islam ialah ‘Umair bin al-Humam. Beliau telah dibunuh oleh Khalid bin al-A’lam.” Menurut Muhammad bin ‘Umar dan Abdullah bin Muhammad bin ‘Umarah al-Ansari: “Umair bin al-Humam tidak meninggalkan keturunan.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/566)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)