#4599: Sifat Roti yang Dimakan oleh Rasulullah SAW di Rumahnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW tidak pernah kenyang dengan roti yang dimakan di rumahnya dan apakah jenis roti tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Asal perkataan roti dalam bahasa Arab biasanya tepung yang diuli daripada gandum yang dipanggil sebagai khubuz. Terdapat dua hadith, tentang bagaimana keadaan Rasulullah SAW ini.

Antaranya daripada Aisyah R.Anha, katanya:

 ما شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ ﷺ، مِن خُبْزِ شَعِيرٍ يَومَيْنِ مُتَتابِعَيْنِ، حتّى قُبِضَ رَسولُ اللهِ ﷺ.

Maksudnya: “Tidaklah kenyang keluarga Muhammad SAW daripada roti yang diperbuat daripada sya’ir melebihi dua hari secara berturut-turut sehingga Rasulullah SAW wafat.”

Riwayat al-Bukhari (6454) dan Muslim (2970)

Roti daripada syair ketika itu menjadi ghalib kebiasaan makanan utama orang-orang Arab. Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW lapar sehari dia sabar, dan kenyang sehari dia syukur. Sekalipun pernah dibentangkan kepadanya untuk diberi khazanah bumi dan dijadikan gunung ganang Makkah sebagai emas, tetapi Baginda SAW memilih untuk fakir seraya bersabda: “Aku lapar sehari dan aku sabar. Aku kenyang sehari sehari dan aku syukur.” Kerana iman dua bahagi. Sebahagiannya syukur dan sebahagiannya sabar.

Dan adalah Baginda SAW apabila makan roti sya’ir pada satu hari, dia hanya makan sekali sama ada pada waktu petang atau pada waktu pagi. (Lihat Jawab al-Sa’il ‘an Syarh al-Syama’il, hlm. 172-173)

Hadith berikutnya,kata sualim bin amir, aku mendengar Abu Umamah al-Bahili berkata:

 مَا كَانَ يَفْضُلُ عَنْ أَهْلِ بَيْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُبْزُ الشَّعِيرِ.

Maksudnya: “Tiadalah terdapat lebihan dari rumah Nabi SAW roti yang diperbuat daripada syair.”

Riwayat al-Tirmizi (2359) dan Ahmad (22184).

Ini menggambarkan betapa sedikit dan sederhananya kehidupan Rasulullah SAW bersama keluarganya, dan makanannya tidak melebihi keperluannya. Dan tiada lebihan yang wujud pada sufrah atau hidangannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”