#4604: Perbezaan Cahaya Matahari dan Sinaran Bulan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan perbezaan cahaya matahari dan sinaran bulan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلشَّمْسَ ضِيَآءًۭ وَٱلْقَمَرَ نُورًۭا وَقَدَّرَهُۥ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا۟ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dialah yang telah menjadikan matahari menerbitkan cahaya dan bulan yang memancarkan sinar, dan Dialah juga yang menetapkan fasa-fasa bagi bulan itu supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perkiraan hisab. Tidaklah Allah SWT mencipta semua itu melainkan dengan kebenaran. Dia menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya dengan terperinci kepada golongan yang mengetahui.”

(Surah Yunus: 5)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa Dia mencipta cahaya daripada satu jirim besar bernama matahari yang menerangi seluruh alam tanpa henti dan bulan sebagai lampu pada waktu malam yang memantulkan cahaya matahari ke bumi. Allah SWT menetapkan tempat peredaran bagi bulan dan matahari yang menjadi rujukan dalam penentuan waktu, hari dan tahun yang beredar secara tersusun seolah-oleh dikawal oleh satu sistem yang sangat efisien. Begitu juga pertukaran siang dan malam yang tidak pernah sekalipun terlewat. Walaupun jutaan tahun berlalu, sistem tersebut tidak terjejas walau sedikitpun. Maka, sudah tentu ada kuasa yang maha hebat yang mengatur perkara tersebut. Itulah yang dijelaskan oleh Allah SWT bahawa Dialah yang mencipta dan mengatur segala kejadian sebagai tanda dan peringatan kepada orang yang bertakwa iaitu orang-orang yang takut kepada balasan, kemurkaan dan azab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/248-249; Tafsir al-Bayan, 2/337)

Ayat di atas juga jelas menggambarkan kepada kita mengenai perbezaan antara sinar dan cahaya. Sifat matahari yang bersinar-sinar diterangkan dalam ayat di atas melalui perkataan dhiya’ manakala perkataan nur merujuk kepada cahaya bulan. Menurut Said Hawwa dalam karyanya al-Asas fi al-Tafsir, dhiya’ lebih kuat dari nur kerana matahari bersinar terang bersumberkan cahayanya sendiri tetapi bulan bercahaya kerana pantulan dari sinar cahaya matahari. (Lihar al-Asas fi al-Tafsir, 5/2427)

Allah SWT juga telah menjadikan sifat matahari ini beredar pada paksinya sebagaimana firman Allah SWT:

لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Maksudnya: (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

(Surah Yasin: 40)

Berdasarkan ayat di atas, dinyatakan bahawa matahari akan sentiasa bergerak mengelilingi orbitnya dan tidak akan pernah berhenti. Matahari dan bulan kedua-duanya mempunyai cahaya. Jika matahari matahari terbit mengeluarkan cahayanya, bulan tidak akan ada cahaya dan begitulah sebaliknya. Sesungguhnya, inilah kekuasaan dan ketetapan Allah SWT yang telah menjadikan setiap satunya bergerak pada ketetapan masing-masing. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/440)

Muhammad Ratib al-Nabulsi dalam kitabnya menyebutkan, di antara mukjizat saintifik al-Quran ialah tahun syamsiyyah (suria) yang dipanggil juga sebagai tahun inqilabiyyah iaitu tempoh yang berlalu antara dua peredaran secara berturut-turut bagi matahari dalam satu ekuinoks. Tempoh tahun ini pula adalah selama 365 hari. Tahun syamsiyyah ini juga adalah tepat. Peredarannya menyebabkan berlakunya musim panas, luruh, sejuk dan bunga.  (Lihat Mausu‘ah I‘jaz al-‘Ilmi fi al-Quran wa al-Sunnah, 2/41)

Perbezaan Cahaya Matahari dan Sinaran Bulan

Allah SWT menyebutkan lafaz (ضِيَاءً) bagi cahaya matahari dan (نُورًا) bagi cahaya bulan dalam ayat kelima surah ini, Allah SWT berfirman: “Dialah yang telah menjadikan matahari menerbitkan cahaya dan bulan yang memancarkan sinar.” Menerusi Surah al-Furqan pula, Allah SWT berfirman: “Dia juga menciptakan matahari dan bulan yang bercahaya,” Allah SWT menggelarkan matahari sebagai siraj dan lafaz nur dinisbahkan kepada bulan. Perbezaan lafaz ini bukanlah semata-mata untuk mempelbagaikan kosa kata dalam al-Quran, bahkan Allah SWT meletakkan lafaz tersebut dengan maksud yang amat mendalam.

Ahli tafsir terdahulu seperti al-Samarqandi menjelaskan: “Dijadikan matahari sebagai dhiya’ kerana cahayanya datang bersama kepanasan, manakala disebutkan nur bagi bulan kerana cahayanya tidak panas.” (Lihat Bahr al-‘Ulum, 2/104)

Ibn Taimiyyah pula berkata: “Allah SWT menyebutkan matahari sebagai siraj dan dhiya’ kerana cahayanya yang terang berderang datang bersama rasa panas dan membakar, maka sifatnya lebih hampir kepada sifat api, berbeza dengan bulan, cahayanya yang terang dan tidak terasa panas.” (Lihat  al-Jawab al-Sahih, 4/368)

Dengan perkembangan ilmu sains, khususnya ilmu astronomi, para saintis dapat mengetahui bahawa bulan sebenarnya tidak mempunyai cahayanya yang tersendiri, sebaliknya bulan memantulkan cahaya matahari. Oleh itu sebahagian pengkaji mengaitkan penemuan ini dengan perbezaan lafaz yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Allah SWT meletakkan dhiya’ kepada matahari kerana cahayanya adalah cahaya yang muncul daripada sumbernya sendiri, dan disebutkan nur bagi bulan kerana cahayanya adalah cahaya primer, atau pantulan daripada cahaya matahari.[1] Maka ini adalah suatu bukti kehebatan Allah SWT dan kemukjizatan al-Quran. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/338)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa ramai para muafassirin berpendapat bahawa نُوْر merupakan cahaya yang tiada bahang, berbeza dengan ضِيَاء yang mengandungi sinaran yang lebih panas dan boleh menyakitkan. Namun begitu, walaupun نُوْر dan ضِيَاء merupakan perkataan sinonim pada asalnya, namun di dalam al-Quran ada isyarat yang menunjukkan perbezaan antara cahaya bulan dan matahari, iaitu Allah SWT menyifatkan matahari pada ayat yang lain sebagai lampu dengan lafaz سِرَاج, sedangkan bulan tidak pernah disifatkan sedemikian. Hal ini menunjukkan cahaya matahari umpama lampu dari sudut sumber asal cahaya dan cahaya yang berhaba, sedangkan bulan pula hanya kelihatan bercahaya ketika memantulkan sinaran cahaya daripada matahari, tanpa membawa bahangnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat al-Quran dan Fizik, oleh Kamarul Azmi Jasmi dan ‘Atiqah Selamat. hlm. 31-33.