#4608: Tafsir Ayat 31 Surah al-Taubah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh terangkan kepada kami sebab nuzul dan tafsir ayat 31 daripada surah al-Taubah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَـٰنَهُمْ أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسِيحَ ٱبْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوٓا۟ إِلَـٰهًۭا وَٰحِدًۭا ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

(Surah al-Taubah: 31)

Peristiwa kedatangan Adi bin Hatim[1] RA kepada Nabi SAW dan ketika itu dia masih beragama Nasrani sebelum memeluk Islam. Apabila dia mendengar Nabi SAW membaca ayat yang tersebut di atas tadi, lalu dia berkata: “Hai Rasulullah! Sesungguhnya mereka tidak menyembah paderi dan pendeta itu!” Lantas Rasulullah SAW menjawab:

بَلَى إِنَّهُم حَرَّمُواْ عَلَيْهِمُ الْحَلاَلَ، وَأَحَلُّواْ لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوْهُمْ فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ  إِيَّاهُمْ

Maksudnya: “Bahkan kerana sesungguhnya mereka telah mengharamkan ke atas para pengikut mereka yang halal dan menghalalkan buat mereka yang haram. Lalu mereka mengikutinya. Yang demikian itulah penyembahan mereka.”

Riwayat al-Tirmizi (3095). Beliau telah menghasankannya

Dalam riwayat yang lain, dikatakan bahawa Nabi SAW memberikan penafsiran terhadap ayat tersebut dengan mengatakan:

أَمَا إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُوْنَهُمْ، وَلَكِنَّهُمْ كَانُواْ إِذَا أَحَلُّواْ لَهُمْ شَيئًا إِستَحَلُّوْهُ، وَإِذَا حَرَّمُواْ عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ

Maksudnya: “Memanglah mereka (kaum ahli Kitab) itu tidak menyembah paderi dan pendeta mereka. Akan tetapi, apabila paderi dan pendeta mereka menghalalkan dan pendeta itu mengharamkan sesuatu ke atas mereka, mereka pun ikut mengharamkannya juga.”

Riwayat al-Tirmizi (3293). Hadith ini dinyatakan hasan dengan kesemua jalurnya sebagaimana yang disebut dalam al-Silsilah al-Sahihah (3293)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Sehingga sekarang, penganut agama Kristian mendakwa bahawa al-Masih, iaitu Nabi Isa AS telah memberi kuasa penuh untuk menghalalkan atau mengharamkan apa sahaja – ketika Baginda SAW hendak naik ke langit – sesuka hati mereka, sebagaimana yang tersebut di dalam Injil Mathius 18: 18, yang bermaksud: “Kebenaran yang aku katakannya kepada kamu! Segala yang kamu tegah di atas bumi, akan ditegah pula di langit. Segala apa yang kamu halalkan di bumi akan menjadi halal pula di langit.”

Al-Quran al-Karim juga mengecam golongan Musyrik yang berani mengharamkan atau menghalalkan sesuatu tanpa keizinan daripada Allah SWT. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 19-20)

Marilah sama-sama kita mempelajari ilmu dari para ulama’ dan seterusnya mengamalkannya dengan penuh keikhlasan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota kaki:

[1] Nama sebenarnya ialah Hatim bin Abdullah bin Sa’d bin al-Fadhil bin Imril Qis al-Ta’ie nisbah kepada qabilah Ta’i. Ibunya bernama Utbah binti Afif bin Amr bin Ahzam. Di mana ibunya mempunyai harta dan bersifat pemurah. Ini menyebabkan saudara-saudara ibunya cuba menghalangnya daripada berinfak dibimbangi akan menghabiskan hartanya. Justeru, Hatim terpengaruh dan terkesan dengan sifat kebaikan ibunya dengan dermawan dan pemurah. Beliau tinggal di negeri antara dua gunung yang dikenali sekarang sebagai kawasan Hail yang terletak di utara Arab Saudi. Kuburnya masyhur sehingga sekarang.

Antara ucapan yang masyhur selalu dikatakan dalam bidalan orang Arab, ‘Lebih mulia dan pemurah daripada Hatim al-Ta’ie.’ Namanya tersohor sehingga sampai ke negeri Rom dan India. Sementelahan lagi di tempatnya dan di negeri Arab.

Dikatakan Hatim sanggup membelanjakan semua hartanya untuk orang musafir dan orang yang berhajat dengan memuliakan tetamu-tetamu sehingga sampai ke tahap habis hartanya dan tiada sedikit pun ditinggalkan untuk nafkah anak-anaknya. Ramai orang menyangka Hatim hanya pemurah dalam memberi makan dan minum serta membantu sedikit orang yang memerlukan bantuan. Tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Sehingga beliau sanggup menggadaikan jiwanya kerana menebus jiwa yang lain.