Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah ada amalan atau doa yang saya boleh amalkan untuk menghilangkan sifat gemuruh dan gagap?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Gemuruh
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, gemuruh bermaksud perasaan berdebar-debar atau gementar kerana ketakutan.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan gemuruh atau gagap menjadi salah satu sifat manusia apabila ditimpa suatu ujian atau musibah. Maka, antara doa yang boleh kita amalkan bagi menghilangkan perasaan tersebut adalah:
Firman Allah SWT:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي (25) وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي (26) وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي (27) يَفْقَهُوا قَوْلِي
Maksudnya: Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku.
(Surah Taha: 25-28)
Dalam pada itu, di samping kita berdoa, antara usaha yang boleh kita lakukan adalah:
- Mengulanginya sehingga sebutan benar-benar lancar.
- Memahami isi kandungan teks yang ingin kita sampaikan disamping menghafalnya.
Begitu juga, disarankan untuk kita membaca doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)
Doa ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri R.A, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Didapati pada waktu tersebut ada seorang sahabat daripada kalangan Ansar – dikatakan beliau adalah Abu Umamah R.A – sedang duduk di sana. Baginda lalu bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan pada waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”
Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Terdapat perbezaan antara lemah dan malas. Malas adalah meninggalkan sesuatu yang mampu untuk dilakukan, manakala lemah adalah meninggalkan sesuatu kerana tidak mampu melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 16/95)
Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW mengajar kita agar berlindung kepada Allah SWT daripada lapan perkara. Setiap dua perkara memiliki makna yang saling berkaitan sepertimana disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim di dalam Badai’ al-Fawa’id (2/207). Kami nukilkan seperti berikut:
Pertama dan Kedua : al-Hamm (الْهَمِّ) (kegelisahan) dan al-Hazan (الْحَزَن) (kesedihan).
Kedua-dua perkara ini akan menjadikan jiwa tidak tenang. Al-Hamm adalah kegelisahan terhadap perkara yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Manakala al-hazan adalah kesedihan terhadap sesuatu yang telah terjadi atau kehilangan orang dicintai.
Ketiga dan keempat: Al-‘Ajz (الْعَجْز) (lemah) dan al-Kasal (الْكَسَل) (malas).
Kedua-dua perkara ini juga akan menghalang seseorang untuk mencapai sesuatu yang diingininya. Al-‘Ajz (lemah) adalah apabila seseorang tiada kemampuan untuk melakukan sesuatu walaupun dia ada kemahuan. Manakala al-kasal (malas) adalah tidak adanya kemahuan untuk melakukan pekerjaan walaupun dia berkemampuan.
Kelima dan keenam: Al-Jubn (الْجُبْن) (penakut) dan al-Bukhl (الْبُخْل) (kedekut).
Kedua-dua perkara ini menunjukkan kerisauan yang ada dalam diri seseorang tentang nasib diri dan hartanya pada masa akan datang, lalu dia menjadi penakut dan kedekut. Penakut adalah bagi orang yang takut jiwanya terancam, manakala bakhil khusus bagi orang yang takut hartanya habis. (Lihat Badai’ al-Fawa’id, 2/207)
Ketujuh dan Kelapan: Ghalabat al-Dain (غَلَبَة الدَّيْنِ) (Hutang yang membelit) dan Qahr al-Rijal (قَهْرالرِّجَالِ) (penguasaan orang).
Kedua-dua perkara ini adalah perkara yang sering berkait. Ini kerana apabila seseorang mempunyai hutang yang banyak, maka dia secara tidak langsung berada di bawah kekuasaan orang yang memberi hutang kepadanya.
Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berkata, maksud daripada tekanan hutang adalah, seseorang itu tidak memiliki apa-apa lagi untuk melunaskan hutangnya ketika orang yang memberi hutang menagihnya.”
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)