#4610: Mubassyir bin ‘Abd al-Munzir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar seorang ustaz di surau menceritakan tentang syuhada’ Badr, antaranya Mubassyir bin ‘Abd al-Munzir. Tetapi kisahnya terlalu ringkas, dan namanya pula saya baru pertama kali dengar. Boleh ustaz kisahkan sedikit tentang beliau?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍۢ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌۭ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

(Surah Ali ‘Imran: 3)

Rentetan dari peperangan Badr yang berlaku antara umat Islam dan kaum Quraisy, sebilangan sahabat Rasulullah SAW telah gugur syahid di medan pertempuran. Antara mereka adalah Mubassyir bin ‘Abd al-Munzir.

Nama beliau adalah Mubassyir bin ‘Abd al-Munzir bin Zanbar bin Zaid bin Umayyah bin Zaid bin Umayyah bin Zaid bin Malik bin ‘Auf bin ‘Amru bin Malik bin al-Aus al-Ansari. (Lihat Usud al-Ghabah, 5/53)

Ibn Sa‘d mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mempersaudarakan dia dengan ‘Aqil bin Abu al-Bakir, atau dikatakan juga dengan ‘Aqil bin Abu al-Bakir dan Mujzir bin Ziyad. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/348)

Kisah Ketika Peperangan al-Badr

Beliau gugur syahid di dalam peperangan Badr bersama 2 orang saudaranya, Abu Lubabah bin ‘Abd al-Munzir dan Rifa‘ah bin ‘Abd al-Munzir.

Dikatakan bahawa beliau dibunuh oleh Abu Thaur. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/455; al-Tabaqat al-Kubra, 3/348)

Beginilah serba ringkas yang dapat saya kongsikan berkenaan sahabat yang mulia ini. Semoga Allah SWT mengganjari beliau dengan ganjaran yang besar atas pengorbanan beliau memperjuangkan agama Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Wallahu a‘lam