#4613: Hukum Jual Beli Anjing

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jual beli anjing?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abu Mas’ud al-Ansari R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melarang daripada mengambil hasil jualan anjing, mahar pelacur (hasil daripada zinanya), dan upah tukang tilik.”

Riwayat al-Bukhari (2234) dan Muslim (1567)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Allah SWT berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Allah SWT menghalalkan perkara-perkara yang baik dan mengharamkan perkara-perkara yang buruk. Pekerjaan yang buruk diharamkan oleh Allah SWT. Termasuk perkara yang diharamkan adalah apa yang terdapat di dalam hadith yang mulia di atas.

Anjing adalah jenis haiwan yang paling najis dan terkotor. Najisnya tidak dapat disucikan, kecuali dengan tanah disertai dengan cucian air sebanyak tujuh kali. Allah SWT melarang memelihara anjing, menjual dan mengambilnya selagi tidak ada keperluan yang mendesak untuk menjaga kambing atau ladang atau dijadikan haiwan pemburu di mana ia dibolehkan untuk dipelihara.

Adapun larangan nilai harganya, maka ia mengandungi dua perkara; salah satunya adalah, sesungguhnya larangan tersebut ada pada nilai harganya, kerana ia memang haram. Pandangan ini disebut oleh ulama yang berpandangan pada batalnya jual beli dan haramnya nilai wang dari jual beli tersebut. Mereka adalah jumhur ulama, antaranya tiga Imam Mazhab; sama ada boleh dipelihara atau tidak.

Adapun Imam Abu Hanifah, maka beliau berpandangan pada sahnya jual beli anjing dan boleh mengambil nilai harganya. Larangan tersebut kerana kehinaan anjing, bukan kerana ia haram.

Pandangan yang rajih adalah pandangan yang pertama.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/232).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”