#4617: Hukum Jual Air Mani Unta

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jual air mani unta?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, katanya:

نَهَى رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم- عن بيْع فَضْلِ المَاءِ” رَوَاهُ مُسْلِمٌ. وَزَادَ فِي رِوَايَةٍ: “وَعنْ بيْع ضِرَابِ الجَمَلِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang menjual air yang berlebihan. Dia menambah di dalam satu riwayat dengan lafaz: “Dan dari menjual sperma unta.”

Riwayat Muslim (1565)

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, dia berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ عَسْبِ الفَحْلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang menjual sperma pejantan.”

Riwayat al-Bukhari (2284)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Maksud ‘ضِرَابِ الجَمَلِ’ ialah air sperma unta pejantan yang dipancarkan ke dalam rahim unta betina. Yang dilarang adalah mengambil upah darinya.

Yang dimaksudkan dengan ‘ضِرَاب’ dan ‘عَسْب’ adalah air sperma yang dipancarkan ke dalam rahim betina. Ada pendapat lain, bahawa ‘عسب الفحل’ adalah penjantan sewaan yang diambil air sperma. Pengertian ini lebih baik kerana air sperma itu sendiri tidak dilarang.

Abu Ubaid berkata:  ‘العَسْب’ di dalam hadith adalah pejantan sewaan. Kesahihan apa yang dikatakan oleh Abu Ubaid ditunjukkan oleh satu riwayat hadith daripada Imam al-Syafi’i: “Bahawa Rasulullah SAW melarang hasil penjualan air sperma.”

Dikatakan dalam al-Qamus: Tempat pelarangan di dalam hadith adalah upah yang diambil daripada menjual sperma.

Maksud ‘الفَحْل’ pula adalah pejantan daripada setiap haiwan sama ada unta, kambing, kuda dan haiwan yang lain.

Hadith di atas menunjukkan larangan menjual sperma pejantan dan wajib memberikannya secara percuma. Ini kerana mengambil upah atas air sperma ini merupakan kehinaan dan kerendahan jiwa. Ia merupakan hal-hal yang sebaiknya menjadi perbuatan kebajikan serta tolong-menolong pada sesama. Ini adalah pendapat jumhur ulama.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/260).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya:Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”