#4619: Ciri-ciri Pokok Gharqad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan secara ringkas ciri-ciri pokok gharqad yang dinyatakan sebagai pokok orang Yahudi? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami katakan bahawa benar pokok gharqad merupakan pokok orang Yahudi. Hal ini adalah sabit melalui hadith, daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ‏ إِلاَّ الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi. Maka kaum Muslimin membunuh mereka sehingga seorang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon, lalu berkata batu atau pohon itu: ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, Yahudi ada di belakangku. Datanglah dan bunuhlah dia.’ Kecuali pohon Gharqad, kerana ia daripada pohon orang Yahudi.”

Riwayat Muslim (2922)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa makna pembunuhan Yahudi ini berlaku ketika keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi Isa AS sebagaimana yang disebutkan secara jelas dalam hadith Umamah ketika meriwayatkan kisah keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi Isa AS. Selain itu, hadith (Abu Hurairah) di atas menunjukkan bahawa di antara tanda lain kiamat ialah segala benda yang tidak bernyawa mampu berkata-kata dan Islam akan terus tertegak sehingga ke hari Kiamat. (Lihat Fath al-Bari, 6/610). Pendapat ini turut disokong oleh Ibn al-Mulaqqin bahawa peristiwa pembunuhan Yahudi akan berlaku ketika Nabi Isa AS turun dan orang Islam akan bersama Baginda. Manakala orang Yahudi pula akan bersama Dajjal. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 17/663).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di antara ciri-ciri pokok gharqad ialah ia sejenis pohon yang berduri. Selain itu, dikatakan juga bahawa ia adalah pokok ‘Ausaj (العوسج) apabila ia besar.

Hal ini adalah jelas sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa pohon Gharqad ialah sejenis pohon yang berduri dan ia terkenal di Bait al-Maqdis (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/45). Begitu juga al-Qurtubi ada menyatakan, pokok ‘Ausaj apabila ia besar ia dipanggil/dikenali sebagai gharqad. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 13/282).

Tambahan lagi, al-Mulla Ali al-Qari turut menjelaskan, pohon gharqad ialah sejenis pohon yang berduri yang dipangil/dikenali sebagai ‘Ausaj. Demikianlah yang disebutkan oleh ulama yang mensyarahkannya. Di dalam kitab al-Nihayah dinyatakan, ia berasal dari jenis pohon ‘idhah (الْعِضَاهِ)[1] dan pohon berduri. Selain daripada itu, dikatakan juga bahawa tanah perkuburan Baqi‘ bagi penduduk Madinah dikenali sebagai Baqi‘ al-Gharqad kerana dahulunya di situ terdapatnya pokok gharqad dan ia telah ditebang. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 8/3409).

ملف:Lycium shrub.jpg

Gambar di atas: Pohon ‘Ausaj (Lycium shawii) dari Wadi al-Ajram di Negev (Naqab).[2] (Sumber gambar: https://ar.wikipedia.org/wiki/%D9%85%D9%84%D9%81:Lycium_shrub.jpg)

Selain daripada itu, Gharqad (Lycium)[3] merupakan satu genus pokok yang mengandungi kira-kira 90 spesies yang tumbuh di zon beriklim sederhana dan subtropika. Selain itu pokok ini juga banyak ditanam di Israel. Secara jelas, tidak diketahui secara pasti bila kaum Zionis-Israel menanam Tanah Palestin dengan pohon Gharqad. Melalui maklumat dari laman web Jewish National Fund (www.jnf.org), di bahagian JNF Store (Trees for Israel Certificate), disebutkan bahawa di Tanah Palestin telah ditanam sebanyak 220 juta batang pohon Gharqad.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Nota kaki:

[1] ‘Idhah (الْعِضَاهِ) adalah merujuk kepada semua pohon yang besar dan mempunyai duri. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الْعِضَاهِ/. Diakses pada 25 November 2023).

[2] Lihat https://ar.wikipedia.org/wiki/عوسج. Diakses pada 26 November 2023.

[3] Namun, ada juga yang mengatakan bahawa pokok Gharqad yang sebenar dikenal pasti dengan sama ada genus Nitraria atau genus Lycium. (Lihat https://en.m.wikipedia.org/wiki/Gharqad. Diakses pada 26 November 2023).