#4620: Bertasbih Menggunakan Jari Tangan Kiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan untuk bertasbih dengan menggunakan jari tangan kiri atau ia dibolehkan tetapi makruh atau mesti dengan jari tangan kanan sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami katakan bahawa syarak sangat menganjurkan kepada kita untuk mengingati dan berzikir kepada Allah SWT pada setiap waktu dan keadaan serta menjelaskan kepada kita berkenaan keutamaannya yang besar. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Zar R.A, katanya:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالُوا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالْأُجُورِ، يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ، قَالَ: أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Ada beberapa sahabat Nabi SAW mengeluh kepada Nabi SAW: ‘Wahai Rasulullah, orang-orang yang kaya telah pergi dengan pahala (yakni dapat memperoleh pahala lebih banyak). Mereka mendirikan solat sebagaimana kami mendirikannya, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, sedangkan mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka.’ Baginda bersabda: ‘Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu …apa yang kamu dapat bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu adalah sedekah, setiap takbir itu adalah sedekah, setiap tahmid itu adalah sedekah, setiap tahlil itu adalah sedekah, amar makruf adalah sedekah dan nahu mungkar juga adalah sedekah.’

Riwayat Muslim (1006)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, dibolehkan bagi seseorang Muslim untuk bertasbih kepada Allah SWT dengan cara apa pun yang diinginkan, sama ada dengan kedua tangannya atau dengan tangan kanannya sahaja atau dengan tangan kirinya sahaja atau cara lainnya. Tidak ada larangan yang jelas daripada bertasbih dengan menggunakan tangan kiri. Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan kepada kaum wanita untuk memelihara/menjaga takbir, mensucikan Allah dan tahlil serta menghitung zikir menggunakan ruas-ruas jari. Hal ini adalah sebagaimana hadith:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُنَّ أَنْ يُرَاعِينَ بِالتَّكْبِيرِ وَالتَّقْدِيسِ وَالتَّهْلِيلِ وَأَنْ يَعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولَاتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan mereka (para wanita) agar menjaga takbir, mensucikan Allah dan tahlil, serta menghitung zikir menggunakan ruas-ruas jari, kerana ruas-ruas tersebut akan ditanya dan diminta untuk berbicara.”

Riwayat Abu Daud (1501)

Maka, ruas-ruas jari termasuk dalam bahagian anggota tubuh yang memberikan kesaksian kepada manusia pada Hari Kiamat, baik tentang perbuatan baik mahupun perbuatan buruk yang dilakukannya. Hadith ini juga tidak mengikat/mengehadkan penggunaan jari-jari hanya pada tangan kanan.

Namun, kita boleh katakan bahawa sesungguhnya Nabi SAW suka untuk mendahulukan anggota kanannya dalam setiap urusannya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ التَّيَامُنَ يَأْخُذُ بِيَمِينِهِ وَيُعْطِي بِيَمِينِهِ وَيُحِبُّ التَّيَمُّنَ فِي جَمِيعِ أُمُورِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW suka memulai sesuatu dengan yang kanan, Baginda mengambil dengan tangan kanan, memberi dengan tangan kanan, dan suka memulai dengan yang kanan dalam segala urusannya.”

Riwayat al-Nasa’i (5059)

Dalam riwayat lain, datang dengan lafaz:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”

Riwayat al-Bukhari (168)

Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.

Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).

Tatkala bertasbih termasuk dalam perkara yang penting dan juga zikir, maka pada asalnya ia adalah dengan tangan kanan. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.A, katanya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْقِدُ التَّسْبِيحَ

Maksudnya: “Aku melihat Rasululullah SAW menghitung tasbih.”

Riwayat Abu Daud (1502)

Dalam riwayat yang sama, Muhammad bin Qudamah, syeikh (guru) kepada Abu Daud menambah lafaz: “بِيَمِينِهِ” (yakni dengan tangan kanannya). (Lihat Sunan Abi Daud, 2/81).

Namun, para ulama hadith telah menjelaskan bahawa penambahan lafaz: “بِيَمِينِهِ” dalam hadith di atas adalah syaz. Ini kerana hadith ini turut diriwayatkan oleh sekelompok daripada huffaz (ulama hadith) dan tidak sabit penambahan tersebut dalam riwayat mereka.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa hal ini adalah luas. Justeru, tidak menjadi masalah bagi seseorang itu untuk menghitung tasbihnya dengan apa cara sekalipun. Ini kerana tujuan menghitung tasbih dengan jari-jari tangan adalah bagi memastikan bilangannya, sama ada dengan menggunakan jari kedua-dua tangan, atau jari tangan kanan sahaja atau jari tangan kiri sahaja. Akan tetapi bertasbih dengan menggunakan jari tangan kanan adalah lebih baik (afdhal).

Sekalipun begitu, tidak sepatutnya diingkari ke atas sesiapapun yang bertasbih dengan selain tangan kanan. Anjuran atau galakan untuk bertasbih dengan menggunakan tangan kanan hanyalah sebagai sesuatu yang menunjukkan kepada apa yang lebih baik (afdhal), tanpa menafikan keharusan (tanpa dihukumkan sebagai makruh) untuk menggunakan tangan kiri bagi tujuan menghitung tasbih.

Ini juga adalah sebagaimana jawapan yang dikemukakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika mana mereka diajukan soalan yang hampir sama.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3611. Diakses pada 27 November 2023.