#4621: Dipaksa Lafaz Cerai Kerana Gangguan Sihir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya hendak bertanya mengenai lafaz cerai. Saya sakit 5 tahun disebabkan gangguan dari keturunan dan sihir. Benda ini berulang-ulang datang ganggu selama saya berubat ada beberapa gangguan yang sudah hilang, Alhamdulillah. Cuma ada dua benda yang kuat mengganggu berulang sihir pemisah untuk buat saya dan suami bercerai. Setiap kali berubat mahkluk tu paksa suami sebut perkataan cerai. Selama 5 tahun ini berubat dengan perawat islam tidak pernah lagi suami saya sebut perkataan cerai walaupun dia dipaksa berkali-kali oleh benda yang masuk dalam badan saya itu. Baru-baru ini saya berubat di tempat baru dengan seorang ustazah. Benda yang ganggu saya ini berdegil dan tidak mahu lepaskan saya sekiranya suami tidak sebut cerai. Ustazah itu suruh suami saya sebut katanya cuma main-main sahaja untuk tipu makhluk itu supaya keluar dari badan saya dan lepaskan ikatan sihir itu. Makhluk itu berjanji hendak lepaskan dan putuskan sihir itu. Suami saya sebut perkataan ‘cerai’ sebab tidak sanggup tengok saya kesakitan meraung-raung dan kesihatan saya semakin merosot beberapa bulan ini. Jadi, saya hendak bertanya adakah jatuh lafaz cerai itu? Suami saya cakap dia tidak ada niat cuma lafaz untuk selamatkan saya dan dalam keadaan terdesak. Mohon jawapan dan pencerahan dari ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala. Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan kayu ukur sekiranya seseorang itu betul-betul berada dalam paksaan:

  1. Orang yang memaksa mempunyai kekuatan dan mampu menguasai orang yang dipaksa
  2. Merasa terancam sekiranya permintaan tidak dipenuhi dan dalam masa yang sama tidak mampu untuk melawan atau melarikan diri.
  3. Memudaratkan orang yang dipaksa dengan ancaman bunuh, penderaan, merampas harta dan sebagainya.

Kami menyatakan bahawa tidak jatuh talak sekiranya seseorang itu dipaksa untuk melafazkannya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: “Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.”

(Surah al-Nahl: 106)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan, ayat ini menunjukkan bahawa perkataan yang diucapkan dengan terpaksa dalam talak tidak dikira dan tidak ada hukum syarak yang dikenakan kepada orang yang dipaksa. Jika seseorang tidak dihukum kerana perkataan kufur yang diucapkan dengan terpaksa, maka pada perkara yang lain juga tidak akan dikenakan hukuman. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 450).

Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampuni kesalahan umatku: Kelupaan mereka dan perbuatan yang dilakukan kerana paksaan.”

Riwayat Ibn Majah (2035)

Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali.

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan, tidak jatuh talak kerana dipaksa. Talak jika diucapkan beserta dengan niat dan pilihannya sendiri maka jatuhlah talak ke atasnya dan jika seseorang melafazkannya kerana terpaksa maka ia tidak dikira dan talak tersebut terbatal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/470).

Begitu juga turut dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (3/111) bahawa penceraian terjadi daripada setiap orang yang baligh, berakal dan kerana pilihan sendiri. Tidak terjadinya penceraian daripada orang yang dipaksa, orang yang mabuk yang tidak menyedari apa yang dikatakannya, atau orang yang marah yang tidak tahu apa yang dikatakannya. Selain itu, penceraian juga tidak terjadi daripada orang yang salah, lalai, lupa, gila, dan sejenisnya.

Selanjutnya, kami katakan juga bahawa “dipaksa” terbahagi kepada dua; pertama, ikrah mulji’ (الْإِكْرَاهُ الْمُلْجِئ) dan ikrah ghairu mulji’ (الْإِكْرَاهُ غَيْر الْمُلْجِئ). Jika sekiranya paksaan tersebut hanya biasa-biasa, maka tidak boleh dia menceraikan isterinya. Akan tetapi jika paksaan itu membawa kepada ancaman nyawa dan badan, serta berat, maka ketika itu barulah ia dikira.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat dalam kes atau situasi di atas, kami berpendapat bahawa lafaz cerai yang diucapkan itu tidak jatuh kerana suami puan mengucapkannya dalam keadaan terpaksa tanpa sebarang niat untuk menceraikan puan. Suami puan melafazkannya dalam keadaan terpaksa kerana tidak sanggup lagi melihat puan berada dalam kesakitan meraung-raung, ditambah kesihatan puan semakin merosot disebabkan oleh gangguan yang dialami.

Sekalipun begitu, kami juga berpandangan sebaik-baiknya, puan dan suami merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah  satu usaha untuk membuktikan adakah telah jatuh talak ataupun tidak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”