#4627: Amalan Menghalang Haiwan Perosak dari Merosakkan Tanaman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah amalan untuk menghalang haiwan seperti monyet atau khinzir dari merosakkan tanaman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‏ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).”

(Surah al-Baqarah: 255)

Ibn Kathir berkata: Ayat ini dinamakan dengan Ayat al-Kursi. Ia memiliki kedudukan yang agung. Dalam hadith yang sahih, Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa ayat al-Kursi merupakan ayat yang paling agung dan utama. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/465)

Syeikh al-Sa’di berkata: Ayat ini merupakan ayat yang paling agung dalam al-Quran kerana ayat ini meliputi makna tauhid, kebesaran, dan luasnya sifat Allah, dan Allah mengkhabarkan bahawasanya tidak ada yang berhak memiliki sifat ketuhanan dan peribadahan kecuali hanya Dia. Ayat ini meliputi semua makna yang merupakan makna yang paling mulia yang menyebabkan berhak menjadi ayat yang paling agung di dalam al-Quran, dan orang-orang yang membacanya dengan melakukan renungan dan pemahaman, maka dia berhak akan hatinya dipenuhi dengan keyakinan, pengetahuan dan keimanan, serta dia akan terjaga dengan hal itu daripada kejahatan syaitan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 110)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila ditimpa sesuatu musibah atau bencana, perkara yang perlu kita lakukan adalah berusaha atau ikthtiar terlebih dahulu sebelum tawakal. Maka, dalam hal ini antara kaedah dalam menghalang dari haiwan perosak merosakkan hasil tanaman kita adalah:

1)  Dengan membuat pagar di sekeliling tanaman agar ia tidak dapat dicapai oleh haiwan perosak seperti khinzir dan seumpamanya.

2) Terdapat amalan atau petua yang dilakukan oleh Dato Dr Haron Din dalam menjaga tanaman dari haiwan perosak iaitu dengan mengamalkan ayat Kursi dan ayat dari Surah Yassin:

وَجَعَلْنَا مِن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

(Surah Yassin: 9)

(Lihat Petua Menelusuri Ilmu Pengubatan Islam, hlm 118)

Kami juga syorkan agar banyak berdoa kepada Allah. Antaranya yang kami sebutkan dalam buku kami, Inilah Doaku.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”