#4633: Masalah Mimpi Buruk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu bermimpi buruk dan mengigau. Bagaimana saya hendak mengatasi masalah ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mimpi

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, mimpi merupakan sesuatu yang seolah-olah dialami atau dilihat seorang sewaktu tidurnya. Ia merupakan hal keadaan yang biasa berlaku kepada manusia.

Terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadith daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

 Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Guru kami, Syeikh Atiyyah Salim Rahimahullah ketika menafsirkan 46 bahagian kenabian menyebut, ini kerana kerasulan Nabi SAW selama hampir 23 tahun sedangkan muqaddimah kenabian melalui mimpi hampir 6 bulan. Justeru, 6 bulan daripada 23 tahun bersamaan 1/46. Wallahu a’lam.

Ibnu Battal pula berkata, mimpi ada dua jenis:

Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.

Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. (Lihat Fath al-Bari, 19/451)

Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan landasan dalam menghukumkan sesuatu perkara. Imam al-Syatibi berkata, “Sesungguhnya mimpi dari selain para Nabi secara Syar’ie tidak boleh dijadikan landasan untuk menghukumkan perkara apa pun, kecuali setelah ditimbangkan dengan hukum Syariat. Faedah dari mimpi tersebut hanyalah memberi khabar gembira atau peringatan. Adapun menentukan sesuatu hukum dengannya, maka tidak boleh sama sekali.”

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bagi menghidari masalah mimpi buruk ini, antara cara yang boleh diamalkan ialah:

  1. Membaca ayat-ayat pelindung seperti:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.

Daripada Uthman bin Affan RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala sehingga pagi dan barangsiapa yang membacanya pada waktu sebanyak  tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala sehingga petang.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA dan ia diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya (5088). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan

  1. Sentiasa melazimi zikir pagi dan petang.
  2. Melazimi bacaan surah al-Fatihah dan tiga Qul (al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas). Kaedah yang betul adalah dengan membaca tiga Qul ini dengan mengulanginya sebanyak tiga kali dan menyapunya keseluruh badan.
  3. Membaca ayat kursi setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur.

Akhir kalam, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

 Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”