#4635: Menyedari Najis di Pakaian setelah Selesai Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang itu menyedari pakaiannya yang terkena air mazi, setelah selesai solat? Adakah dikira sah solatnya kerana terlupa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Air Mazi

Menurut istilah fiqh, air mazi adalah air jenih yang melekit, yang keluar ketika timbulnya syahwat. (Lihat  al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)

Ia merupakan air yang berwarna putih, halus dan melekit, yang keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, dan kadang-kadang ia keluar tanpa disedari.

Imam al-Nawawi ketika menyatakan perbezaan antara air mazi dan air mani menyebut bahawa, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun air mazi keluar ketika bersyahwat dan tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/141)

 Air Mazi dihukum najis, sepertimana difahami daripada hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Ali R.A, katanya:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِي فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:‏ لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ.

Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi. Aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, maka sabda Baginda: “Jangan kamu lakukan seperti itu. Jika kamu melihat mazi, maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. (Tetapi) jika kamu mengeluarkan air (mani), maka hendaklah kamu mandi.”

Riwayat al-Bukhari (269), Muslim (303), Ibn Majah (504) secara ringkas, Abu Daud (206) dan ini merupakan lafaznya, al-Nasa’i (193) dan Ahmad (868)

Para ulama’ juga telah berijma’ akan najisnya mazi. Imam al-Nawawi berkata:

أَجْمَعَتْ الْأُمَّةُ عَلَى نَجَاسَةِ الْمَذْيِ

Maksudnya: “Umat ini telah berijma’ (sepakat) bahawa mazi adalah najis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/571)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara syarat sah solat adalah badan, pakaian serta tempat solat itu bersih dari najis. Justeru, dalam isu menyedari najis selepas selesai solat, menurut Al-Khatib Al-Syarbini, beliau menyatakan bahawa sekiranya dia tahu pada pakaiannya ada najis, kemudian dia terlupa. Kemudian dia teringat sama ada semasa solat atau selepas, maka batal lah solatnya dan perlu diulangi semula. (Lihat Mughni Al-Muhtaj Fi Ma’rifati Ma’ani Alfaz Al-Minhaj, 1/194).

Adapun jika seseorang perasan ada najis pada pakaian dalam tempoh masa yang lama maka dia tidak perlu mengulangi solatnya. Ini berdasarkan kaedah:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya : “Asal bagi (menetapkan) setiap perkara adalah dengan ditakdirkan dengan waktu yang terdekat.”

Oleh itu, jika najis itu didapati dalam tempoh masa yang lama selepas menunaikan solat, maka tidak perlu untuk mengulangi solatnya kerana ada kemungkinan najis yang ada pada pakaiannya itu melekat dalam tempoh masa selepas menunaikan solat. Akan tetapi, jika dalam tempoh masa yang lama dia yakin bahawa najis yang ada padanya itu adalah najis yang ada sebelum dari itu dan dibawa ke dalam solat, maka wajib untuk dia ulanginya. (Lihat Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/203)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam