#4638: Kisah Nabi Yunus A.S dan Ikan Nun

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami kisah Nabi Nuh A.S yang ditelan ikan Nun?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ (١٣٩) إِذْ أَبَقَ إِلَى ٱلْفُلْكِ ٱلْمَشْحُونِ (١٤٠) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ ٱلْمُدْحَضِينَ (١٤١) فَٱلْتَقَمَهُ ٱلْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌۭ (١٤٢) فَلَوْلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُسَبِّحِينَ (١٤٣) لَلَبِثَ فِى بَطْنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (١٤٤) ۞ فَنَبَذْنَـٰهُ بِٱلْعَرَآءِ وَهُوَ سَقِيمٌۭ (١٤٥) وَأَنۢبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةًۭ مِّن يَقْطِينٍۢ (١٤٦) وَأَرْسَلْنَـٰهُ إِلَىٰ مِا۟ئَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ (١٤٧) فَـَٔامَنُوا۟ فَمَتَّعْنَـٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍۢ (١٤٨)

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang dicampakkan (ke laut). Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak. Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar. Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).”

(Surah al-Saffat: 139-148)

Kumpulan ayat ini dimulakan dengan perkhabaran daripada Allah SWT bahawa Yunus bin Matta termasuk dalam kalangan para nabi Bani Israel. Baginda ialah Zunnun dan termasuk dalam kalangan para nabi yang diutuskan kepada kaumnya iaitu penduduk Ninawa, menyeru mereka mentauhidkan Allah SWT dan meninggalkan penyembahan berhala. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 452)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ini merupakan pujian Allah SWT kepada hamba dan rasul-Nya, iaitu Nabi Yunus A.S sebagaimana Dia memuji saudara-saudaranya dalam kalangan para rasul dengan kenabian dan kerasulan serta berdakwah kepada Allah SWT. Selain itu, Allah SWT juga menyebutkan bahawa Dia telah menghukum Baginda A.S dengan hukuman dunia sebagai didikan buat dirinya, lalu menyelamatkannya daripada hukuman tersebut disebabkan oleh keimanan dan amalan soleh. (Lihat Taysir al-Karim al-Rahman, hlm. 707)

Daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ يَنْبَغِي لِعَبْدٍ أَنْ يَقُولَ: أَنَا خَيْرٌ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى

Maksudnya: “Tidak boleh bagi seseorang mengatakan: ‘Aku lebih baik daripada Yunus bin Matta’.”

Riwayat al-Bukhari (3395) dan Muslim (2376)

Kemudian diceritakan secara ringkas peristiwa tatkala Nabi Yunus A.S melarikan diri daripada kaum dan negerinya disebabkan oleh kemarahannya terhadap pendustaan mereka. Lalu Baginda menaiki sebuah kapal yang sarat dengan penumpang dan barangan. Tiba-tiba kapal tersebut terumbang-ambing dan hampir tenggelam kerana ribut taufan dan ombak besar yang bergelora, maka para penumpangnya melakukan undian untuk mengeluarkan sebahagian daripada mereka ke dalam laut, bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kapal agar mereka yang berada di atasnya terselamat. Nabi Yunus A.S termasuk orang-orang yang kalah dalam undian, sekalipun undian telah diulang sebanyak tiga kali. Ketika Baginda melemparkan dirinya ke dalam laut, seekor ikan besar telah menelannya. Hal ini kerana Baginda telah melakukan satu kesalahan lantaran keluar meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah SWT hanya kerana kemarahannya terhadap mereka. Sepatutnya Baginda mesti tetap terus bersabar atas gangguan dan pendustaan kaumnya. Selain itu, keluar tanpa izin Allah SWT adalah merupakan salah satu kesalahan besar di sisi para rasul. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1370; al-Tafsir al-Munir, 23/140-141; Zubdah al-Tafasir, hlm. 595)

Selanjutnya Allah SWT mengkhabarkan pula seandainya Nabi Yunus A.S bukanlah orang yang banyak berzikir kepada Allah SWT dan mendirikan solat sebelum ujian yang menimpanya ini, nescaya Baginda akan terus berada di dalam perut ikan itu sehingga hari kiamat. Namun, Baginda A.S termasuk dalam kalangan orang yang selalu berzikir kepada Allah SWT dengan mengucapkan tasbih atau mengucapkan:

لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَـٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

(Surah al-Anbiya’: 87)

Iaitu sebelum terjadi ujian itu lagi, bahkan Baginda tetap terus berzikir kepada-Nya sekalipun sedang menghadapi ujian tersebut sehinggalah Allah SWT menyelamatkannya daripada dalam perut ikan tersebut. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 21/108; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/137)

Kemudian Allah SWT mengeluarkan Nabi Yunus A.S dengan memerintahkan ikan besar untuk memuntahkan Baginda ke tanah tandus di daratan pantai yang kosong dan tidak didiami oleh seorang manusia pun. Bahkan tanah itu juga kosong daripada sebarang pepohon mahupun teduhan, sedangkan Baginda A.S dalam keadaan lemah dan sakit disebabkan oleh penahanannya di dalam perut ikan besar itu sehingga menjadi seperti anak ayam yang ditarik keluar daripada telurnya. (Lihat Taysir al-Karim al-Rahman, hlm. 707; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/40)

Setelah itu, Allah SWT menumbuhkan sejenis tumbuhan bagi meneduhi dan melindungi tubuhnya sehingga keadaan Baginda kembali pulih dan kuat seperti sediakala. Pohon tersebut ialah pokok labu dan Allah SWT menjadikannya tumbuh dalam tempoh yang sangat cepat. Setelah Nabi Yunus A.S sudah pulih dan kembali sihat, datang kepadanya perintah Ilahi untuk kembali kepada kaumnya iaitu penduduk Ninawa yang mana bilangan mereka telah mencecah seramai seratus ribu orang atau bahkan lebih daripada itu kerana mereka sebenarnya memang sudah melebihi bilangan tersebut. Lalu Baginda A.S sekali lagi menyeru mereka kepada Allah SWT. Terdapat riwayat menyatakan bahawa Baginda A.S diutuskan kepada kaum lain setelah keluar daripada perut ikan besar dan bukan kepada kaumnya yang dahulu.

Namun, tidak mustahil pada akal bahawa Baginda A.S memang diperintahkan untuk kembali kepada kaumnya yang dahulu setelah keluar daripada perut ikan besar itu kerana tidak ada halangan yang membawa kepada penafiannya sebagaimana yang disebut oleh Ibn Kathir. Pada kali ini, mereka membenarkan dan beriman dengan risalah yang dibawa olehnya setelah mereka menyaksikan tanda-tanda kenabiannya serta tanda-tanda azab. Allah SWT memberi mereka kesempatan untuk menikmati kehidupan di dunia ini sehinggalah ajal menemui mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 23/141-142;  Ma‘alim al-Tanzil, 4/48; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/40)

Seorang ahli geologi Islam, Dr. Zaghlul al-Najjar, tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Nabi Yunus A.S ditelan oleh ikan Nun. Sebaliknya menurut beliau, ikan tersebut hanya memasukkan Baginda ke dalam mulutnya tanpa menelannya. Pendapat ini didasari dengan penggunaan kalimah الْتَقَمَهُ bermaksud ia menyuap Baginda, berbanding ابْتَلَعَهُ yang bermaksud menelan. Tanpa menafikan tafsiran “menelan” oleh ahli tafsir yang mengatakan Baginda ditelan tetapi tidak dikunyah atau dihadam, Dr. Zaghlul berpendapat kemungkinan besar ikan Nun itu ialah ikan paus biru. Menurut beliau, ikan paus biru tidak mempunyai gigi, mengamalkan diet makanan mikroorganisma, dan mempunyai ruang mulut yang membolehkan seseorang duduk di dalamnya. Paus biru juga ialah mamalia yang bernafas menggunakan paru-paru, justeru ia akan naik ke permukaan air untuk bernafas setiap 15 minit.[1]

Ikan Paus Biru. Kredit: https://asset-a.grid.id/crop/0x67:720×493/700×465/photo/nationalgeographic/201604292142805_b.jpg

Justeru, akal yang sihat menerima fenomena manusia boleh hidup di dalam mulut ikan tanpa mati dalam tempoh yang singkat sebagai perkara yang bersifat harus pada akal dan juga adat. Pastinya tanpa bantuan dan pemeliharaan Allah SWT yang berlaku pada nabi dan rasul, kemungkinan seseorang itu mati dalam keadaan sebegitu adalah tinggi.

Kisah manusia ditelan ikan paus tetapi tidak mati turut direkodkan dalam dunia moden. Contohnya kisah James Bartley (1870-1909) yang hidup pada awal abad kesembilan belas. Dia didakwa pernah ditelan oleh seekor ikan paus dan hidup di dalam perut ikan tersebut beberapa hari sehinggalah ikan tersebut mati akibat sembelit. Dia dikatakan mendiami perut ikan tersebut selama 36 jam sebelum dikeluarkan dalam keadaan kulitnya sudah terluntur kerana kesan daripada asid penghadaman ikan paus. Matanya juga buta sepanjang hayat dan dia mati 18 tahun selepas kejadian itu.[2]

Kesimpulan

Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk beriman dengan kejadian yang berlaku kepada Nabi Yunus A.S seperti mana yang telah disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Sememangnya terdapat pelbagai riwayat, versi-versi daripada Israiliyyat serta teori-teori berkenaan kejadian tersebut. Namun apa yang penting, kesemua naratif tersebut tidak boleh menafikan tujuan asal yang kisah itu disebutkan dalam al-Quran, iaitu sebagai pedoman kepada Rasulullah SAW dan orang-orang beriman tatkala berdepan dengan gangguan golongan musyrikin Makkah.

Kisah ini memfokuskan larangan berputus asa daripada perjuangan, galakan untuk mengingati Allah SWT di saat senang supaya dibantu- Nya di saat genting, dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa dalam menguruskan alam ini dengan perintah dan izin-Nya, serta galakan untuk bertaubat dengan kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat.”

Wallahu a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=DaRkMAx7JQU. Diakses pada 27 November 2023.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/James_Bartley#:~:text=James%20Bartley%20(1870%E2%80%931909),which%20was%20dead%20from%20harpooning. Diakses pada 27 November 2023.