#4640: Ibn Abbas dan Ijtihad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Ibn ‘Abbas juga cenderung kepada ijtihad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dahulu manaqib Ibn ‘Abbas R.Anhuma seperti berikut:

Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutalib bin Hasyim, kunyah beliau ialah Abu al-Abbas. Beliau merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Ibunya bernama Lubabah binti al-Harith al-Hilali. Ibn Abbas telah lahir 3 tahun sebelum berlakunya hijrah dari Kota Mekah. Beliau dikenali sebagai tinta (dakwat) atau lautan disebabkan ilmunya
yang begitu luas.

Antara sifat beliau ialah ketajaman dalam berfikir, seorang yang faqih di dalam agama, mempunyai lidah yang fasih dan lain-lain lagi. Ini adalah disebabkan berkat doa Rasulullah SAW kepadanya agar beliau menjadi seorang yang faqih dan mengetahui akan takwilan-takwilan  di dalam agama sebagaimana doa baginda SAW kepada Ibn Abbas:

اللَّهُمَّ فَـقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Maksudnya: “Ya Allah Kau berikanlahnya (Ibn Abbas) faqih (faham) di dalam agama serta Kau ajarkanlah kepadanya ta’wilan-ta’wilan”.

Riwayat al-Bukhari (143) dengan lafaz ‘اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ’ dan Muslim (2645) dengan lafaz ‘اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ’.  Riwayat Imam Ahmad (3032), al-Harith dalam al-Musnad (1006), Ibn Hibban (7055) dan al-Bazzar (5075). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadis ini sahih.

Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi SAW dan menjadikan Ibn Abbas salah seorang sahabat yang agung dan besar walaupun usianya muda. Selain itu, beliau telah membaca dan mempelajari al-Quran daripada Ubai bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit sehingga beliau digelar sebagai “Tarjuman al-Quran” yang bermaksud orang yang
pakar dalam menafsirkan ayat al-Quran.

Abdullah bin Mas’ud telah berkata: “Sebaik-baik orang yang menafsirkan al-Quran ialah Abdullah Ibn Abbas.”

Di samping itu, Ibn Abbas merupakan seorang yang pakar di dalam bidang tafsir al-Quran sehingga dinisbahkan kepada beliau sebuah kitab tafsir yang dikenali sebagai “Tanwir al-Miqbas fi Tafsir Ibn Abbas”. Kitab ini telah menghimpunkan tafsiran-tafsiran ayat al
Quran dan pendapat-pendapat daripada Abdullah Ibn Abbas.

Umar bin al-Khattab telah memasukkannya ke dalam majlis walaupun usianya masih kecil dan meminta bantuan dengan ilmunya yang luas dan akalnya yang besar. Ini menunjukkan akan tahap keilmuannya yang dihormati oleh para sahabat besar yang lain tanpa melihat kepada usia.

Menurut Ibn al-Jauzi, beliau telah menghafal dan meriwayatkan sebanyak 1660 buah hadis daripada Rasulullah SAW. Manakala di dalam musnad Imam Ahmad pula sebanyak 1692 buah hadis.

Antara kelebihan dan pujian terhadap Ibn Abbas sebagaimana yang dikhabarkan oleh para sahabat dan generasi yang sempat bersama beliau:

  •         Abdullah bin Mas’ud berkata: “Sebaik-baik orang yang menafsirkan al-Quran adalah Abdullah bin Abbas.”
  •         Al-Rib’iy bin Harrash telah berkata: “Muawiyah telah bertanya kepada Ibn Abbas tentang beberapa masalah, lalu Ibn Abbas menjawab masalah-masalah tersebut. Maka Muawiyyah berkata: Engkau benar wahai Ibn Abbas, aku bersaksi bahawa engkau adalah lidah bagi ahli keluargamu. Kemudian berkata orang-orang yang berada di situ: Aku tidak pernah bercakap dengan beliau melainkan beliau dalam keadaan yang sentiasa bersedia.”
  •         Mujahid juga berkata: “Adapun Ibn Abbas digelar sebagai lautan disebabkan ilmunya yang banyak.”
  •         Ibn al-Hanafiyyah  berkata: “Sesungguhnya Ibn Abbas adalah tinta kepada umat ini.”
  •         Thaus telah berkata: “Aku tidak pernah melihat orang yang betul-betul menjaga larangan-larangan Allah SWT daripada Ibn Abbas.”
  •         Al-Dhahhak juga pernah berkata: “Aku tidak pernah melihat sebuah rumah yang penuh dengan roti, daging dan ilmu berbanding rumah  Ibn Abbas.”

Ketika kewafatan Rasulullah SAW, beliau baru sahaja masuk usia baligh. Beliau telah wafat di Taif pada tahun 68 hijrah walaupun terdapat khilaf dalam menentukan tarikh kewafatan Ibn Abbas.Jenazahnya telah disolatkan oleh Muhammad bin Ali al-Hanafiyyah dan Muhammad menggelar Ibn Abbas sebagai seorang rabbani bagi ummat ini. Dikatakan ketika Ibn Abbas wafat, telah datang seekor burung putih dan burung tersebut telah masuk ke dalam kain kafannya. Kemudian terdengar daripada kuburnya ayat al-Quran dan  tidak diketahui siapa yang membacakan ayat tersebut:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي

Maksudnya: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!. Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu!. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, 4/394)

Menjawab persoalan di atas, Dr Ahmad Sanubir berkata:

Ibn ‘Abbas R.Anhuma memang cenderung kepada pandangan dan ijtihad dan dia berani melakukannya. 

Syeikh Abd al-Majid Mahmud berkata:  Sebenarnya Ibn Abbas antara para sahabat yang empat iaitu Aisyah, Ibn Abbas, Abu Hurairah dan Ibn Umar yang paling  banyak menggunakan ijtihad dan amat prihatin dengan makna. Ini kerana penguasaannya dalam ilmu bahasa Arab, syair dan kemampuannya dengan uslub Arab yang banyak membantunya memahami dengan mendapatkan maksud yang dikehendaki daripada lafaz dan di sebalik lafaz tersebut. (Lihat al-Ittijahat al-Fiqhiyyah inda Ashab al-Hadith, hlm. 163)

Adapun keberaniannya dalam berfatwa dengan menggunakan ijtihadnya sekalipun bertentangan pandangan yang masyhur, yang digunakan di kalangan sahabat amat ketara.

Pernah Sulaiman bin Yasar berkata: Aku membahagikan masaku untuk mencari ilmu dan menuntutnya dari Ibn Abbas dan Ibn Umar. Aku dapati paling banyak aku dengar daripada Ibn Umar berkata: Aku tidak tahu. Sedangkan Ibn Abbas tidak akan menolak seseorang pun yang bertanya. Sehingga aku pernah dengar Ibn Abbas berkata: pelik Ibn Umar yang menolak orang ramai. Tidakkah dia fikir apa yang dia syak itu. Jika ia telah diputuskan dengan Sunnah, maka dia berpendapat demikian. Dan jika tidak, sepatutnya dia boleh memberi pendapat. (Lihat Tazkirah al-Huffaz oleh al-Zahabi, 1/32)

Sesungguhnya perbendaharaan Islam yang luas, dan kaedah yang ditinggalkan, Kitabullah dan Sunnah serta ijtihad yang tidak menyeleeng sebagaimana hadith Muaz bin Jabal jelas menunjukkan betapa Ibn Abbas R.Anhuma yang digelar sebagai habrul ummah menggunakannya dengan sebaik-baik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”