Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat sebuah hadith menyatakan bahawa syurga di bawah kilauan mata pedang? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan pedang. Pedang adalah sejenis senjata tajam yang memiliki bilah panjang baik pada satu sisi sahaja mahupun dua. Bilah pedang biasanya dibuat daripada logam keras seperti besi atau keluli; namun batu lain yang sama tahan dan keras juga memadai dalam keadaan tertentu (misalnya senjata bilah obsidian digunakan oleh suku-suku asli Amerika Tengah dan Selatan zaman pra-Columbus. Untuk latihan biasanya pedang kayu yang digunakan, meskipun pedang daripada kayu keras masih berbahaya.
Pedang biasanya dilihat lebih unggul berbanding senjata-senjata lain oleh sesetengah budaya dunia sehingga ia turut menjadi lambang kekuasaan; ada sesetengah pedang yang dihiasi logam mahal seperti emas permata yang digunakan sebagai hiasan sahaja.[1]
Menurut Ibn al-Qayyim, Nabi SAW mempunyai sembilan bilah pedang iaitu Ma’thur (مأثور), yang merupakan pedang pertama yang dimilikinya dan diwarisi daripada bapanya, al-‘Adhb (العَضْب), Zulfiqar (ذو الفِقار) dan ia adalah pedang yang hampir-hampir Baginda tidak mahu berpisah dengannya, al-Qula‘i (القلَعي), al-Battar (البتَّار); al-Hatf (الحَتْف) al-Rasub (الرَّسوب), al-Mikhzam (المِخْذَم) dan al-Qadhib (القضيب). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/123).
Menurut al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, pedangnya yang bernama Zulfiqar diperoleh dalam Perang Badar. Manakala dalam al-Ghurar wa al-Durar dinyatakan, terdapat pendapat menyatakan, ia dihadiahkan oleh al-Hajjaj bin ‘Allat. Itulah pedang yang dilihat Baginda dalam mimpinya tentang Perang Uhud. Asalnya, ia adalah milik Munabbih bin al-Hajjaj al-Sahmi. Terdapat riwayat daripada Abu Musa R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:
رَأَيْتُ فِي رُؤْيَايَ أَنِّي هَزَزْتُ سَيْفًا فَانْقَطَعَ صَدْرُهُ، فَإِذَا هُوَ مَا أُصِيبَ مِنَ المُؤْمِنِينَ يَوْمَ أُحُدٍ، ثُمَّ هَزَزْتُهُ أُخْرَى فَعَادَ أَحْسَنَ مَا كَانَ، فَإِذَا هُوَ مَا جَاءَ بِهِ اللَّهُ مِنَ الفَتْحِ وَاجْتِمَاعِ المُؤْمِنِينَ، وَرَأَيْتُ فِيهَا بَقَرًا، وَاللَّهُ خَيْرٌ، فَإِذَا هُمُ المُؤْمِنُونَ يَوْمَ أُحُدٍ
Maksudnya: “Aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menggoncang sebilah pedang dengan kuat dan bilahnya patah. Ia melambangkan apa yang menimpa kaum muslimin ketika perang Uhud. Kemudian aku menggoncangnya sekali lagi dan ia kembali sempurna seperti sebelumnya. Ia melambangkan bantuan daripada Allah berupa pembukaan (kota Makkah) dan penyatuan kaum Muslimin. Aku melihat lembu-lembu (disembelih) di dalam mimpi itu dan ketentuan Allah bagi yang terbunuh itu lebih baik. Lembu-lembu itu ternyata melambangkan orang-orang Mukmin (yang mati syahid) dalam Perang Uhud.”
Riwayat al-Bukhari (4081)
Baginda mendapat tiga pedang daripada senjata-senjata Bani Qainuqa‘ iaitu pedang Qula‘i,[2] pedang yang dipanggil Battar dan pedang yang dipanggil al-Hanif. Selepas itu, Baginda memperoleh al-Mikhzam, Rasub, yang diperoleh daripada al-Fuls yang dibuat di Tai’.
Anas bin Malik menyebutkan, na‘l[3] pedang Rasulullah SAW adalah daripada perak, begitu juga qabi‘ahnya[4] adalah daripada perak, dan di antaranya pula ada cincin daripada perak. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133-134; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 84).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapatnya hadith yang menyatakan syurga di bawah kilauan mata pedang. Hadith tersebut diriwayatkan daripada Salim Abu An-Nadhr – maula Umar bin ‘Ubaidullah dan juga penulisnya – katanya: Abdullah bin Abu Aufa R.Anhuma menulis surat kepadanya: Bahawa Nabi SAW bersabda:
وَاعْلَمُوا أَنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ
Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa syurga di bawah bayang pedang.”
Riwayat al-Bukhari (2818)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Pedang. Diakses pada 30 November 2023.
[2] Dinisbahkan kepada kawasan yang tidak berpenghuni/padang pasir dipanggil sebagai Maraj al-Qal‘ah. (Lihat Mu‘jam al-Buldan, 4/389). Yaqut al-Ḥamawi menyenaraikan beberapa tempat yang dinamakan Qal‘ah seperti Qal‘ah Abi al-Ḥasan, Qal‘ah Abi Tawil dan Qal‘ah Ayyub. Menurut Muhammad Hasan al-Tihami, ia dinisbahkan kepada sebuah tempat di timur India yang banyak lombong timah. Di situlah pedang ini dihasilkan. Di nota kaki, beliau mencatatkan ia terletak di barat hampir sama dengan Kepulauan Melayu atau timur Bengal. Mengikut catatan Abu Dulaf, “Apabila aku sampai di situ (Kalah), aku melihat tembok yang besar, utuh, dan tinggi, banyak kebun buah dan limpahan mata air. Aku temui bijih besi bagi sejenis logam yang terbaik. Tidak ada tolok bandingnya di seluruh dunia kecuali di kawasan tersebut. Di kawasan itu ditempa pedang-pedang yang terkenal dengan panggilan al-Qal‘iyyah.” (Lihat al-Risalah al-Ula, hlm. 59; Mu‘jam al-Buldan, 4/389). Pentahqiq Dr. Murayzin Sa‘id Murayzin ‘Asiri, pensyarah bidang Tamadun dan Sejarah, Universiti Umm al-Qura menyatakan “Kalah” itu adalah “Kalah Bār” iaitu Kuala Lumpur sekarang. Beliau turut menukilkan pandangan Ibn al-Faqih yang menyatakan ia adalah kerajaan al-Zabij (Srivijaya). Akan tetapi, pandangan yang diterima oleh umum sejarawan adalah, Kalah Bar menurut kajian sarjana Paul Wheatley dalam bukunya the Golden Khersones merujuk kepada Kedah Tua. Wallahu a‘lam.
[3] Na‘l (نَعْلُ) pedang ialah besi di bahagian bawah sarung pedang.
[4] Qabi‘ah (قَبِيعَةُ) pedang ialah besi atau perak yang terdapat di bahagian hujung (bawah) hulunya.